- -

Terima Kasih Atas Sokongan Anda Terhadap Nukilan Saya. Saya Akan Cuba Uploadkan Hasil Nukilan Saya Sekerap Yang Saya Mampu. Semoga Ia Memberi Pengajaran Dan Bererti Kepada Anda. Saya Juga Mengalu-alukan Komen Dari Anda Semua Untuk Memperbaiki Kelemahan. Selamat Membaca..

Novel : Misteri Cinta Rafflesia

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 || Bab 10 ||

Novel : Hati Kian Sepi

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 ||

Thursday, June 18, 2009

Sampai Menutup Mata

Minah ni suara power gila...

Wednesday, June 10, 2009

BAB 7 : Misteri Cinta Rafflesia (Novel)

BAB 7 : RACUN UNTUK RAFFLESIA.

“Aku tersentak sejenak mendengar berita itu. Sukar untuk aku mempercayainya. Bukan sehari dua aku mengenali Shah. Kami kenal begitu lama semenjak di Sabah lagi. Tak mungkin Shah akan berlaku curang atau ingin mempermainkan aku kerana paksi cinta kami begitu kukuh dan tak mungkin akan tergugat...”.



RAFFLESIA :

Suasana petang Sabtu di Taman KLCC hari ini tidak seperti biasa. Memang hari ini aku tetap ke sini namun aku langsung tiada nafsu untuk berjoging. Lebih suka membiarkan lemak terus terpendam di dalam tubuh. Bebarapa kali aku cuba mengatur langkah tetapi nyata langkahku longlai. Tidak kencang seperti biasa. Akhirya aku mengambil keputusan untuk duduk bersendirian di kerusi batu menanti Suzy rakan serumahku selesai berjoging.

Jika di Tambunan aku dapat melihat keindahan puncak Gunung Kinabalu tapi di sini aku dapat melihat puncak menara KLCC. Sayup-sayup kelihatan begitu tinggi. Panorama yang sungguh indah walaupun tidak seindah puncak Kinabalu.

Teringat kembali kejadian beberapa minggu lalu semasa aku sedang berjoging di sini kemudian aku disapa oleh pemuda gila yang memanggil dan menyeringai kepada ku. Aku langsung tidak mengendahkan dan akibatnya aku telah dicolek oleh Danial Afendi 2 minggu lalu.

Peristiwa yang awalnya agak misteri tetapi begitu menusuk jiwa bila aku seakan dapat merasakan betapa Danial benar-benar terseksa oleh gangguan Rafflesia. Dan kini aku pula seakan terjebak dengan apa yang telah berlaku terhadap Danial. Aku pula menjadi tidak tenang, tak mampu mengatur langkah untuk berjoging lalu membiarkan Suzy berjoging bersendirian.

Memang sebelum ini aku begitu pelik dengan lelaki gila yang mengenali aku itu. Memanggil nama ‘Rafflesia’ dan berlari mengejar aku… Aku tak sangka lelaki itulah yang bernama Danial Afendi yang begitu misteri yang membantu menyelesaikan penemuan mayat Noni.

Kalaulah aku tahu si gila itu adalah Danial Afendi sudah lama aku melayannya. Sudah lama aku akan cuba memulihkannya. Aku sedar kini Danial menjadi seperti ini kerana Noni. Aku harus bertanggungjawab ke atas Danial Afendi.

Entahkah apa yang telah berlaku ke atas Danial Afendi, tapi aku yakin Danial telah hilang kawalan terhadap dirinya sendiri. Semangat ‘Rafflesia’ begitu kuat mempengaruhinya sehingga menyerap ke dalam mindanya.

Mungkin juga di kala Danial melancong ke Sabah, dia mengalami tekanan perasaan yang amat kuat. Kemudian apabila Misteri Si Rafflesia melanda Danial terus hilang arah, tidak dapat mengawal diri dan perasaan akhirnya dia hilang kawalan diri hingga menjadi gila. Entahlah itu hanyalah teori aku. Kenyataannya tuhan yang Maha Kuasa yang lebih mengetahui.

“Nani.. Termenung sendiri nampak… Ingatkan Shah ke?” Suara Suzy rakan serumah aku segera saja membangkitkan aku dari lamunan. Dia sudah selesai berjoging rupanya, langsung aku tidak perasan.

“Eh!! tak adalah… saja je.. seronok tengok puncak menara tu teringat dengan Gunung Kinabalu pula…” Aku menafikan.

Memang beberapa hari ini aku sudah hilang tumpuan terhadap Shah. Ingatan aku lebih kepada Danial Afendi. Sukar untuk aku melupakan peristiwa penculikkan yang mengerikan tetapi penuh dengan perasaan cinta Danial Afendi terhadap Noni Rafflesia.

“Suzy… apa pendapat kau tentang Danial Afendi…?”

Aku cuba mendapatkan buah fikiran dari Suzy seorang kawan yang paling rapat di Kuala Lumpur ini. Dialah yang membawa aku ke dunia permodelan. Perkenalan kami memang sudah lama semenjak belajar di Australia lagi.

“Danial Afendi… Aku rasa dia mangsa keadaan. Kau kena bantu dia Nani… Dia tangungjawab kau. Kau mesti tahu kan kenapa dia boleh jadi macam tu…” Suzy memberi pendapat.

Memang itulah yang aku fikirkan beberapa hari ini. Aku rasa aku saja insan yang mampu memulihkan Danial. Aku sajalah harapan untuk membolehkan Danial sembuh seperti sedia kala jika diizinkan Tuhan.

“Memang tu yang aku fikirkan… Aku kesian sangat dengan dia… Dia tak bersalah… Dia mangsa keadaan..” Aku memberitahu Suzy. Suzy tersenyum tanda faham.

“Dah tu macam mana… Kalau kau rasa itu tanggungjawab kau… Kau kena berkorban untuknya Nani.. Kesian Danial..” Suzy memberi kekuatan kepada aku. Aku harus berkorban bukan hanya kerana Danial Afendi… tetapi juga kerana Noni Rafflesia.

“Tapi Suzy… tak kan aku nak tinggalkan Shah… Kesian dia kalau aku ke Johor…” Memang aku kesiankan Danial, namun aku perlu juga menjaga hati Shah. Bagaimana hubungan kami nanti jika kami berjauhan, tidak dapat bersama selalu.

“Nani… aku nak cakap sikit. Aku harap kau tak kecil hati… Demi kawan aku rasa aku perlu beritahu kau” Suzy berkata sambil memandang aku dengan wajah yang agak serba salah. Seperti ada suatu rahsia yang aku tidak tahu yang ingin dia pecahkan.

“Kau kan kawan aku… cakap saja Suzy… Aku tak kisahlah..” Aku membalas.

“Sebenarnya aku dah beberapa kali terserempak Shah dengan perempuan lain. Mereka sungguh mesra..” Suzy memberitahu. Nampak begitu bersungguh-sungguh dia dalam menyampaikan berita itu.

Aku tersentak sejenak mendengar berita itu. Sukar untuk aku mempercayainya. Bukan sehari dua aku mengenali Shah. Kami kenal begitu lama semenjak di Sabah lagi. Tak mungkin Shah akan berlaku curang atau ingin mempermainkan aku kerana paksi cinta kami begitu kukuh tidak mungkin akan tergugat.

Hubungan aku dengan Shah bukannya hubungan cinta biasa tetapi lebih kepada meneruskan cinta yang lalu antara Shah dan Noni. Kami begitu rapat semenjak Shah menjadi kekasih Noni lagi.

Selepas kematian Noni, akulah yang menjadi penggantinya. Aku kasihan dengan Shah yang begitu kecewa dengan pemergian Noni yang tidak disangka-sangka. Atas dasar itulah aku sanggup menjadi pengganti Noni walaupun mungkin tidak sehebat kasih dan sayang Noni terhadap Shah. Aku hanya cuba yang terbaik.

“Aku cakap sebab kau kawan aku Nani… kalau kau tak percaya terpulanglah…” Suzy kembali cuba meyakinkan aku apabila dia menyedari aku seakan endah tak endah dengan berita yang disampaikan tadi.

“Bukan aku tak percaya… tapi… tak kan lah… Shah….” Aku tak mampu meneruskan kata-kata. Amat berat untuk aku percaya. Aku rasa aku sangat mengenali Shah.. Dia seorang yang baik dan sungguh menyayangi aku sebagaimana dia pernah menyayangi Noni suatu ketika dulu.

Namun dalam aku mempercayai Shah sukar untuk menolak kata-kata rakan paling karib aku… Suzy. Bukan sehari dua juga aku mengenali Suzy... begitu lama semenjak kami sama-sama belajar dulu di Australia dulu.

“Terpulanglah pada kau Nani… Aku rasa sebagai kawan, aku bertanggung jawab untuk memberitahu apa yang aku tahu…” Suzy memberitahu dengan muka seakan rasa bersalah.

“Aku faham Suzy… Terima kasihlah beritahu aku. Malam ni aku akan jumpa Shah. Pandailah aku selesaikannya…” Aku memberitahu. Mungkin maklumat itu akan melegakan hati Suzy yang seakan bersalah membocorkan rahsia kecurangan Shah.

“Baguslah Nani… ibarat menarik rambut di dalam tepung… Rambut tidak putus, tepung tidak berselerak..” Suzy memberi sedikit nasihat. Aku hanya diam saja dan sedikit mengangguk tanda paham apa yang diperkatakannya.

Memang Suzy seorang kawan yang baik…. Mungkin dia tidak mahu aku berpisah dengan Shah kerana kami bertiga kini semakin rapat. Shah adalah kekasih aku, Suzy pula adalah teman karib aku. Kami bertiga sememangnya mesra dan selalu bersama. Atas dasar itu aku akan cuba menyelesaikan konflik dalaman ini dengan cara yang terbaik agar penyelesaiannya tidak merugikan sesiapa.

Tuesday, June 2, 2009

Hati Danial

Danial duduk bersila sambil menongkah daku di tepi kolam memerhatikan ikan Kap yang bermain girang. Cuaca panas yang mencecah 38 Darjah Celsius langsung tidak dihiraukannya. Bebola matanya begitu fokus pada setiap gerak geri ikan-ikan kap yang berenang berkejaran. Lagak ikan-ikan itu begitu girang sekali namun sedikit pun tidak mampu membuat Danial tersenyum walau sedikit.

Seperti biasa jam 2.00 petang Danial akan pulang dari sekolah. Usianya baru 7 tahun dan baru berada pada tahun 1 sekolah kebangsaan. Dia seperti kanak-kanak lain yang pastinya akan berlari menuju ke pintu pagar rumah setiap kali pulang dari sekolah.

Entahlah apa seronoknya pulang ke rumah. Mungkin berada di sekolah itu suatu yang amat membosankan atau itu memang sifat semula jadi kanak-kanak yang mungkin tidak sabar mahu mengkhabarkan keceriaan dan keseronokan di sekolah kepada ibu bapanya.

Namun kali ini sifat Danial begitu berbeza. Dia menuruni anak tangga bas dengan lemah kemudian melangkah dengan begitu longlai. Perlahan dia membuka selak pintu pagar yang tidak berkunci lalu memesongkan langkah ke kolam ikan dan terus saja dia duduk di tepinya sambil memerhatikan ikan Kap yang bermain.

Rautnya sedikit monyok dan langsung tiada keceriaan tidak seperti hari-hari yang biasa. Seperti ada kerungsingan yang cuba disembunyikan dari raut wajah anak kecil ini. Perlahan dia melonggarkan kasut lalu meletakkannya di sebelah. Kemudian ditanggalkan kedua-dua belah stokin lalu disumbatkannya ke dalam kasut setiap satunya.

“Danial… buat apa kat panas tu.. masuk sini..” Herdikan Rini, ibu Danial segera menyentap lamunan anak kecil itu.

Danial tersentak lalu segera bangkit sambil mencapai kedua-dua belah kasut yang telah ditanggalkan tadi. Dia menghayun langkah yang agak deras dan cuba mengukir senyuman semata-mata mahu menyembunyikan sesuatu kepada ibunya.

“Macam mana kat sekolah tadi?”

“Tak ada apa-apa…” Jawab Danial Ringkas terhadap soalan yang ibunya ajukan.

“Cuci tangan lepas tu pegi makan…” Perintah Rini.

Danial tidak banyak cakap dan menurut saja. Setelah mencuci tangan dia terus duduk di kerusi sambil menghadap makanan yang telah dihidang oleh Rini. Kemudian dia menadahkan kedua belah tangan untuk membaca doa…

“Allah huma barik lana fima rozaktana wakina azabannar… Amin Ya rabbal alami. Minna waminkum taqabal ya karim..”

“Hai Danial… Perlahan je baca doa hari ni… selalu kuat..” Rini menegur

“Ye lah…” Jawab Danial lalu mengulangi bacaan doa dengan suara yang lebih kuat seperti biasa.

Rini hanya tersenyum melihat gelagat anaknya. Kadang kala sikap kanak-kanak memang sukar diramal. Namun setiap yang dilakukan pasti ada sebabnya kerana jiwa kanak-kanak itu luhur, murni dan masih belum tercemar. Mereka tidak pandai menipu, tidak pandai berpura dan jujur dalam setiap perbuatan.

“Kenapa makan tak habis ni?” Tanya Rini.

“Tak selera” Jawab Danial lagi.

Rini menerima saja jawapan Danial. Namun dalam hatinya terdetik ada sesuatu yang tidak kena pada anaknya. Dia mendekati Danial lalu meletakkan belakang telapak tangan pada dahi Danial. Ternyata ada sedikit kenaikan suhu pada anaknya. “Mungkin Danial tidak sedap badan lantas dia kurang selera makan.” Rini membuat andaian.



Malam Hari….

Hasrul pulang kerja agak lewat hari ini. Selalunya sebelum maghrib dia pasti sudah sampai di rumah untuk mengimamkan solat. Namun hari ini dia pulang lewat sekitar jam 11 malam atas urusan kerja.

“Danial dah tidur ?” Soal Hasrul kepada Rini.

“Dah kot…” Jawab Rini ringkas.

Hasrul segera masuk ke bilik air untuk membersihkan diri setelah seharian bekerja. Tidak lama kemudian dia keluar semula dengan kain pelikat yang bergulung di bahagian pinggan dan tuala yang disangkutkan di bahu sebelah kanan. Kemudian dia mengenakan T-Shirt putih yang telah disediakan oleh Rini dan diletakkan di atas katil.

Setelah itu Hasrul terus mencapai sejadah lalu membentangkannya di bahagian tengah rumah yang bertentangan antara bilik tidurnya dan bilik Danial lantas dia segera menunaikan rukun Islam yang ke 2.

Selesai saja solat Hasrul bingkas bangun lalu menolah ke belakang. Di saat itu dia seaka terpandang kelibat Danial yang sedang mengintainya dari celah pintu bilik. Dia hanya tersenyum dan terus melangkah ke bilik tidur Danial.

Pintu bilik dibuka luas tetapi jelas Danial sudah pun tidur. Hasrul datang mendekati lalu mengucup dahi anaknya itu seperti biasa. Rutin yang dilakukannya setiap malam sebelum melelapkan mata. Di waktu itu dia terlihat mata Danial berkelip-kelip sedikit.

“Ah.. Dia belum tidur..” Bisik hati Hasrul lalu melabuhkan punggung di sisi tubuh Danial.

“Kenapa Danial tak tidur lagi ?” Tanya Hasrul sambil mengusap anak rambut Danial.

Danial tersentak. Dia tidak tahu bagaimana ayahnya boleh tahu dia sebenarnya berpura-pura melelapkan mata. Dia membuka Mata lalu mengukir senyuman.

Hasrul merenung mata Danial. Sayu saja mata anak kecil itu seakan ada masalah yang dipendam.

“Mama marah Danial ke?” Tanya Hasrul cuba mengorek rahsia.

“Tak…”

“Dah tu kenapa?” Tanya Hasrul lagi yang memang masak dengan setiap perlakuan anaknya,.

“Danial tak jadi ketua kelas lagi… Cikgu tersalah anggap…” Jawab Danial yang membuka satu lembaran cerita baru.

Hasrul terdiam sejenak. Ternyata anaknya itu mengalami masalah tersendiri. Benaknya terfikir sesuatu kemungkinan anaknya telah melakukan kesalahan semasa di sekolah.

“Kenapa macam tu? Apa yang cikgu salah anggap?” Tanya Hasrul cuba mengambil perhatian Danial.

“Tadi Maisara tak ambil penyapu… sebenarnya Danial bukan penat nak ambil penyapu tapi Danial nak ambil bergilir-gilir. Sepatutnya Maisara yang ambil. Tak kan Ketua kelas saja yang ambil penyapu setiap hari.” Danial memberi penjelasan.

Hasrul tenang mendengarnya. Mahu saja dia mengukir senyuman namun dia menahan saja demi menjaga hati anak kecilnya itu. Mungkin bagi seseorang dewasa itu bukan lah suatu masalah tetapi bagi anak kecil seperti Danial perkara seperti ini bisa membuatkannya sukar melelapkan mata.

“Danial dah terangkan pada teacher?” Soal Hasrul lagi.

“Tak sempat. Teacher terus marah Danial dan tukar ketua kelas yang baru.” Rintis Danial lagi.

Hasrul semakin faham. Dia sedar anaknya memang petah berkata-kata namun mungkin kali ini Danial tidak diberi ruang untuk mempertahankan diri.

“Jadi apa Danial nak buat sekarang?” Tanya Hasrul. Sengaja dia mahu melihat sendiri apa idea yang bakal dijelmakan oleh Danial

“Papa tolong Danial buat surat. Danial nak beri pada teacher.” Danial menyatakan cadangannya. Hasrul tersenyum takda setuju.

“Ok… Kejap Papa ambil kertas nanti Danial tulis…” Hasrul menyatakan persetujuan dan Danial mula tersenyum sedikit puas.


Kepada Teacher Aini

Assalamualaikum

Sebenarnya teacher salah faham.

1. Saya bukan penat nak ambil penyapu, tapi saya telah sediakan jadual untuk ambil penyapu setiap hari. Hari ini giliran Maisara tapi dia terlupa nak mengambil penyapu.

2. Saya ketua kelas jadi saya tak mahu saya saja yang ambil penyapu. Semua pelajar juga harus bekerjasama. Tak kan ketua kelas saja yang kena ambil penyapu.

3. Saya mahu jadi pelajar yang baik. Saya mahu jadi ketua kelas bukan tukang pengambil penyapu. Saya harap teacher faham dan jangan salah faham.

Daripada Danial.


Hasrul melayan saja apa saja yang ditulis oleh anaknya. Dia hanya membetulkan beberapa ejaan yang salah dieja oleh Danial. Baginya urusan mendidik di sekolah harus diberi kepercayaan sepenuhnya kepada guru. Tapi kadang kala guru juga gagal memahami jiwa anak-anak kecil yang sepatutnya diberi hak untuk membela diri seperti Danial. Bagi Hasrul dia tidak berniat mencampuri urusan anaknya di sekolah. Dia sekadar mendidik anak untuk berani mempertahankan apa yang difikirkan benar bagi dirinya.

“Surat dah siap, Danial tidur dulu esok beri pada teacher…” Hasrul memujuk. Danial hanya membalas dengan senyuman. Jelas tergambar satu kepuasan dari raut wajah anak kecil itu.


Di Sekolah…

Masa ke empat dalam jadual hari Rabu adalah mata pelajar Bahasa Melayu yang akan diajar oleh Cikgu Aini. Danial seakan tidak sabar menantikan saat itu. Dia begitu ghairah untuk menghulurkan surat yang ditulisnya malam tadi kepada Cikgu Aini.

“Bangun… Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatu…”

Kuat suara Ikmal memberi arahan dan kemudiannya memberi salam. Tugas yang baru dipikulnya semenjak semalam apabila menggantikan Danial sebagai ketua Kelas 1 Cendana. Danial menurut bersama rakan-rakan yang lain menurut saja namun hatinya sedikit terkilan. Mungkin dia berasa segan apabila kehilangan jawatan dan diherdik oleh guru di hadapan rakan-rakan berikutan tidak mengambil penyapu semalam.

Sepanjang 30 minit kelas berlangsung Danial kurang dapat menumpukan sepenuhnya terhadap pelajaran yang diajar. Benaknya diusik dengan peristiwa semalam. Dia juga terlalu memikirkan cara dan masa yang sesuai untuk menghulurkan surat membela diri.

Loceng berbunyi, Semua pelajar di kelas 1 Cendana seakan tersentak lalu dengan sekelip mata tergambar wajah ceria pada air muka masing-masing. Kanak-kanak ini semua seakan begitu gembira apabila tibanya waktu rehat.

“Terima Kasih Cikgu….” Suara Ikmal bergema lagi lalu disambut oleh seluruh murid dalam kelas 1 Cendana.

“Teacher… Saya nak bagi surat pada teacher…” Cikgu Aini yang sedang mengemaskan buku-buku yang bersepah di atas mejanya tersentak apabila disapa oleh Danial. Lantas saja di merenung wajah Danial yang sedikit muram lalu mencapai sekeping kertas A4 berwarna putih yang dihulurkan oleh Danial tanpa sebarang bicara.

Cikgu Aini terus membaca surat yang begitu ringkas itu dengan tulisan Danial yang sedikit bercelaru sekejap besar dan sekejap kecil. Langsung dia tidak mengendahkan pelajar-pelajar lain yang kegirangan berlari keluar dari kelas untuk ke kantin.

“Danial ada buat jadual untuk mengambil penyapu ?” Tanya Cikgu Aini

“Ada… ni..” Jawab Danial ringkas sambil mengeluarkan satu kertas yang begitu lusuh dari poket sebelah kanan uniform baju sekolahnya. Dia sudah bersedia untuk menunjukkan bukti itu kepada Cikgu Aini.

Cikgu Aini mencapainya lalu membelek jadual yang disediakan oleh Danial. Hatinya sedikit terusik. Mungkin kesal dengan tindakan mengherdik Danial semalam yang dilakukan tanpa usul periksa. Mungkin pada dirinya dia merasakan Danial hanya seorang kanak-kanak yang telah melakukan kesalahan dan wajar dihukum tanpa membenarkan sebarang pembelaan diri. Menjawab kata-kata guru kadang kala dianggap biadap.

Mungkin hati kanak-kanak ini begitu terusik kerana setiap kanak-kanak diawal persekolahan mempunyai sifat yang jauh berbeza diantara satu dengan lain bergantung acuan yang disediakan oleh ibubapa mereka. Mungkin juga cara didikan yang diterima Danial berbeza dan agak terbuka. Sememangnya Danial diajar untuk lebih berkomunikasi, mengutarakan pendapat dan sentiasa berani menegakkan kebenaran. Itulah yang Hasrul terapkan terhadap anak kesayangannya Danial.

“Ok Danial... Teacher salah anggap patut semalam Maisara yang perlu ambil penyapu. Tugas ketua kelas bukan tugas pengambil penyapu…” Cikgu Aini menerangkan seakan memujuk. Sepantas kilat Danial tersenyum puas mendengar ucapan Cikgu Aini. Baginya dia telah berjaya membela dirinya dalam kes semalam.

“Mari ikut teacher…” Sambung Cikgu Aini lagi sambil menepuk dan mengusap belakang Danial dengan perlahan.


Jam 2 Petang.

Bas sekolah berwarna jingga meluncur perlahan dan kemudiannya berhenti benar-benar di hadapan rumah Hasrul. Seketika kemudian kelihatan Danial yang turun dari bas dengan wajah yang begitu ceria. Langkahnya terlompat-lompat seakan menari kecil.

Tiba-tiba langkah Danial terhenti. Dia sedikit tersentak apabila melihat motokar ayahnya berada di dalam kawasan pagar rumahnya. Seribu satu persoalan bermain di mindanya kerana biasanya setiap kali dia pulang ayahnya pasti tiada. Hanya ibunya, Rini saja yang akan menyambutnya. Hasrul biasanya hanya akan pulang ke rumah menjelang waktu Maghrib.

“Mama… mana ayah?” Tanya Danial tidak Sabar. Jelas hari ini Danial pulang dengan begitu ceria dan sungguh berbeza dengan semalam.

“Ayah di atas sedang tidur. Jangan kacau ayah sayang… ayah demam.” Rini memberitahu.

Danial mengangguk tanda faham kemudian dia melondehkan beg galas dan meletakkannya di sisi tangga. Dia terus saja melangkah terjengket-jengket perlahan mendaki anak tangga satu persatu secara perlahan agar tidak mengganggu Hasrul. Sampai saja di pintu bilik Danial segera menjenggah dan mendapati ayahnya sedang nyenyak tidur.

Perlahan Danial datang menghampiri lalu berbaring di sisi Hasrul. Kemudian perlahan dia menjulurkan tangan dan memeluk Hasrul yang masih lena.

“Ayah... Tadi teacher Aini kata Danial tak bersalah… Dia kata Danial budak baik. Waktu rehat tadi Teacher Aini belanja Danial makan di tempat makan guru…” Danial menyampaikan perkhabaran gembira pada ayahnya. Hasrul diam saja dan terus lena.

Seketika kemudian Danial mula geram apabila Hasrul hanya mendiamkan diri. Pendapatnya, Hasrul berpura-pura tidur seperti biasa lalu dia menghulurkan telunjuk dan menonjolkan pada ketiak ayahnya agar Hasrul berasa geli. Namun tindakan Danial gagal mendatangkan sebarang reaksi kepada Hasrul.

Danial segera melompat lalu menjerit… “Mama… Kenapa ayah…?”

Rini tersentak dengan pekikan Danial lantas dia berlari ke tingkat atas rumah teres itu. Di pandang wajah Hasrul yang jelas begitu pucat dan lesu. Jantung Rini berdegup kencang sambil merapati tubuh Hasrul yang nampak terkulai. Rini meletakkan tangan di dada Hasrul. Jelas tiada lagi degupan. Dicapainya pula tangan hasrul yang terkulai dan memeriksa nadinya. Jelas tiada lagi nadi yang berdetik. Dalam keadaan yang tidak terkawal Rini terus menangis sambil mengoyang-goyangkan badan Hasrul dengan harapan Hasrul akan sedar. Namun usaha itu hanya sia-sia.

“Kenapa ayah Ma….?” Tanya Danial menuntut jawapan.

Rini membiarkan pertanyaan Danial tanpa sebarang jawapan. Dia tidak tahu bagaimana mahu menerangkan kepada anaknya tentang pemergian Hasrul buat selama-lamanya. Perlahan dia membongkokkan diri lalu merangkul Danial sekuatnya.

Danial hanya membatu tetapi airmatanya menitis. Mungkin dia sudah faham apa yang telah berlaku terhadap ayah kesayangannya, Hasrul.

Thursday, May 28, 2009

Qhaud Yang Benar

Malam makin larut, namun bebola mata Qhaud masih tajam memerhatikan atap zink yang kian usang. Nampak berkarat walaupun dalam kelam. Sukar benar untuknya melelapkan mata atau mungkin dia tidak mampu untuk melakukannya. Sesuatu perbuatan yang begitu mudah bagi manusia biasa tapi begitu sukar bagi Qhaud yang terus mengenangkan nasib dirinya.

Maghrib tadi adalah kemuncak kebiadapan oleh manusia yang bergelar isteri. Seorang isteri yang diwajibkan patuh dengan apa saja suruhan suami selagi suruhan itu tidak melanggar hukum syarak, namun Zila isteri Qhaud yang sah begitu angkuh menghalau Qhaud keluar dari rumah. Masalah rumah tangga yang kian berpanjangan akibat keegoan seorang isteri.

“Aku benci kau… lelaki dayus!!! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Berambus kau dari sini..” Tengking Zila sambil menyentap baju Qhaud hingga koyak. Begitulah sikap Zila yang begitu angkuh dan biadap terhadap suaminya.

Qhaud hanya mendiamkan diri namun airmatanya bercucuran. Sedih yang tidak terhingga. Memang dia sedih dihina sedemikian rupa namun dia lebih sedih melihat kebiadapan seorang wanita yang sentiasa menunaikan solat 5 waktu namun segala amalannya sebenarnya tidak berguna sepanjang hayatnya akibat Nusyus terhadap suami. Dia sedih kerana gagal mendidik insan yang bergelar isteri yang telah diamanahkan tuhan kepadanya.

“Ya Allah maafkankan dosa isteriku dan tunjukkan lah dia jalan yang benar.” Kebiadapan yang Qhaud terima namun doa yang Qhaud balas. Itu saja yang mampu Qhaud ucapkan… Itu pun hanya di dalam hati. Qhaud terus diam memerhatikan satu persatu pakaian dilontar keluar dari dalam bilik. Mak Su ibu kepada Zila yang juga ibu mertua Qhaud tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala memerhatikan tindakan anaknya, Zila.

Mungkin inilah wanita zaman milenium. Punya kerjaya, punya kuasa. Taraf suami dan isteri dirasakan bagaikan tiada beza. Sama saja… Apabila isteri merasakan diri mereka lebih berkuasa suami dicampak seakan tidak berguna. Mungkin itu hanyalah sebahagian kecil namun itu lah yang Zila lakukan.

Segelintir isteri di zaman ini… menduakan suami itu suatu yang biasa dan kadang kala tidak dianggap salah. Bila ada cinta yang lain, yang lebih seronok lebih menarik yang lebih tertarik dengan mudah cerai dipinta. Alasannya mudah saja, sudah tiada hati untuk hidup bersama. Tiada nafsu katanya. Namun bila perpisahan tak mampu dilerai suami pula dianggap dayus, penakut dan tidak bertanggungjawab. Adakah mempertahankan rumah tangga itu bukan suatu tanggungjawab bagi seorang suami ?

Mungkin itulah hikmahnya talak diberi kuasa mutlak kepada suami, jika tidak mungkin terlalu ramai lelaki yang akan menjanda diceraikan oleh si isteri.

Bagi Zila tanggungjawab anak-anak terus dijaga, tanggungjawab terhadap suami tak mengapa boleh ditolak ke tepi kerana anak tetap di hati tetapi suami boleh ditukar ganti. Bukan ajaran agama yang diturut, bukan petunjuk nabi yang diikut tapi prinsip syaitan yang disahut.

“Qhaud… kau pergilah cari wanita yang lebih baik dan lebih sesuai dengan kau. Mak dah tak mampu nak tolong...” Mak Su, ibu mertua Qhaud juga sudah mula mengalah. Tak mampu lagi dia meluruskan anak wanitanya yang kian bengkok.

Air mata Mak Su sebenarnya sudah lama kering. 9 bulan dia mengandungkan Zila. Bartahun-tahun dia membesarkan dalam kesakitan, kepayahan dan serba kekurangan. Setiap hari dia membaja dengan didikan ilmu, nasihat dan cucuran doa. Namun nasihat ibu kini langsung tidak diguna. Airmata ibu langsung tidak dipeduli, maruah keluarga ditolak saja ke tepi. Kini bagi Zila tak kisah apa orang nak kata, tak kisah saudara dan jiran berbicara asalkan hatinya puas, berjaya dalam cinta ciptaan syaitan durjana.

Azan subuh sayup berkumandang. Qhaud tersentak dari lamuman, jelas dia gagal dalam usaha melelapkan matanya sendiri. Mungkin juga kerana suasana yang tidak selesa. Tiada tilam, tiada bantal. Baring di atas lantai papan beralas tikar buruk yang dibekalkan Mak Su. Pondok buruk tempat menunggu durian ini sajalah destinasi singgahan selepas dihalau Zila Maghrib tadi.

Perlahan dia bangit lalu mencapai pelita yang tergantung di tiang lalu bergerak terhoyong hayang menuju ke tali air yang sejajar dengan jalan. Diletaknya pelita itu di tepi tebing tali air lalu dia terus saja mengambil wuduk dengan pernuh tertib.

Dikumurnya mulut dengan gigi-gigi yang kian rapuh, diikuti dengan muka yang kian kusam, tangan yang kian longlai, anak rambut yang kian beruban dan kaki yang kian retak tumitnya. Setelah selesai Qhaud kembali semula ke pondok buruknya lalu menunaikan fardu Subuh dalam suasana dinihari yang sungguh tenang.

“Ya Allah.. Engkau Maha mengetahui lagi Maha berkuasa.... Kau Kembalikan kan kebahagiaan lalu kepada insan kerdil ini. Sesungguhnya tiada daya dan upaya selain dari kudrat Mu wahai Tuhan ku....”

Qhaud terus merintih meminta belas jika ada sisa-sisa harapan untuk dia mengembalikan kebahagian keluarganya. Memang tiada formula lagi yang mampu Qhaud jelmakan. Segala-galanya telah dilakukan namun masih tidak berjaya untuk menyedarkan Zila dari terus sesat dalam cinta terlarang. Kini senjata bagi Qhaud hanyalah kesabaran dan kewarasan .

Qhaud bangkit dari sujudnya lalu duduk di hadapan tangga pondok buruk itu. Dari jauh kelihatan cahaya matahari mula muncul seolah-olah menyelinap masuk dari celah-celah pohon durian dan semak samun di sekeliling pondok. Sinaran matahari terbit kembali hari ini tetapi apa akan jadi pada rumah tangga Qhaud dan Zila esok yang seumpama retak menanti belah.

“Aku terima nikah Azila Bte Jamin dengan mas kawinnya 22 ringgit setengah tunai”

Teringat kembali Qhaud pada hari bahagia pernikahannya dulu. Akad yang dilakukan sekali itu terus menjadi batu tanda hubungan cinta mereka berdua. Percintaan yang begitu sukar dengan halangan keluarga akhirnya disudahi dengan pernikahan yang terpaksa diterima walaupun berat oleh ibu bapa Zila yang kurang bersetuju pada mulanya. Namun sebagai seorang ibu yang mahu melihat anaknya bahagia Mak Su akur dengan kedegilan Zila walaupun Qhaud bukanlah pilihan hatinya. Dicampaknya ego jauh-jauh lalu Qhaud diterima sebagai anak sendiri dan tiada langsung perbezaan antara menantu dan anak sendiri. Itulah kelembutan hati seorang wanita yang bergelar ibu yang juga seorang wanita. Tapi sayang kelembutan hati Mak Su tidak diwarisi oleh Zila yang begitu degil untuk terus mengikut nafsu syaitan.

“Qhaud!!!....” Jeritan Mak Su tiba-tiba mengganggu lamunan Qhaud membuatkannya sedikit tersentak. Dia tidak sedar kehadiran Maksu yang bergegas menghampiri dengan motorsikal buruknya.

“Kenapa Mak?”
“Zila...”
“Kenapa dengan Zila?”
“Dia kemalangan sewaktu hendak pergi kerja tadi pagi....”
“Astagfirullah halazim.....”


Sebulan kemudian....


Zila termenung di kamar usang. Terasa dirinya kini terlalu sepi hidup sendirian. Sebelum ini dia begitu bebas untuk bergerak. Pergi kemana saja yang dimahukan. Baginya izin dari suami tidak perlu kerana dia punya wang sendiri, punya motokar sendiri dan punya kekuatan sendiri. Tanpa Qhaud di sisi pun dia mampu hidup selesa.

Tapi keadaan itu telah jauh berbeza. Kemalangan bulan lalu terus menyentap segala kekuatannya. Kakinya terpaksa dipotong kerana hancur tersepit dalam kemalangan ngeri yang telah melanda dirinya. Motokar yang selama ini membawanya meluncur bebas bagaikan burung kini mula tersadai, telefon bimbit yang selama ini menjadi penghubung antara dia dan kekasih gelapnya juga kian sepi. Entah kemana pergi kekasih yang sebelum ini katanya mahu sehidup semati sehingga Zila sanggup untuk berlaku nusyus terhadap suaminya sendiri.

Keegoannya Zila kini memakan diri. Dia begitu lemah dan kini lumpuh dalam pergerakan. Hatta menambah kredit untuk talian prabayar telefon sendiri pun tidak mampu. Tiada seorang pun ahli keluarga yang mahu membantu pergi mendapatkan akibat marahkan sikap ego Zila selama ini.

Selama ini Zila merasakan tiada siapa yang dapat menghalang kekebasan hubungan cinta terlarang mereka. Namun dia terlupa akan kuasa tuhan. Zila tertipu dengan tunggang-tonggek dan tadahan tangan memohon agar dia berjaya dalam cinta nafsu penipu. Niat yang salah tidak akan jadi benar walaupun dengan perlakuan yang betul. Sia-sia laksana seseorang yang bersolat hajat untuk memenangi nombor ekor.

Tuhan bukan bodoh untuk menerima apa saja permintaan hambanya apalagi yang berpaksikan nafsu semata. Walaupun kadangkala dimakbulkan namun itu sebenarnya satu ujian duniawi dariNya yang begitu berbahaya kerana jika disalah erti ia boleh menyesatkan.

Ketentuan tuhan sebenarnya begitu mudah. “Kun Faya Kun” saja sudah mampu untuk merubah segalanya. Menyentap segala keegoan dan kedegilan Zila agar dia sedar bahawa dia hanyalah seorang hamba yang tidak mempunya apa-apa hadirnya di dunia ini bukanlah untuk memenuhi nafsu sendiri tetapi adalah sebagai tanggungjawab sesama insan.

“Zila makan dulu ye..”

Suara Qhaud memecah kesunyian kamar usang. Seorang lelaki yang mempunyai ketabahan yang begitu menebal. Kecurangan isteri yang berlaku di depan mata dihadapi dengan penuh keinsafan sebagai suatu ujian dari tuhan yang maha Esa. Mungkin juga kamalangan Zila adalah satu cara yang tuhan lakukan untuk mengembalikan kebahagian yang Qhaud pohon selama ini.

Zila diam saja. Mahu ditolaknya tapi apakan daya perutnya memang terasa lapar. Mahu bergerak, tapi langsung tiada kemampuan. Ego yang terus diturutkan tapi entah sampai bila. Baginya sekali dia menolak Qhaud seribu tahun dia tidak akan menerima.

“Abang letak di sini saja, nanti kalau Zila lapar Zila makan ya...” Qhaud meletakkan sedulang hidangan tengah hari di atas meja sisi katil tempat Zila berbaring lalu terus berpaling berlalu dari situ. Zila hanya memerhatikan tanpa sebarang reaksi.

“Abang....” Tiba-tiba Zila bersuara. Panggilan yang setelah sekian lama tidak diucapkannya. Langkah Qhaud terhenti seketika namun dia masih tidak berpaling sambil menantikan ayat seterusnya.

“Abang sanggup maafkan Zila?, Abang sanggup terima Zila kembali?”

Zila menyambung kata. Qhaud terus membatu tanpa sebarang bicara. Seketika kemudian Qhaud terus berlalu meninggalkan Zila yang termanggu sendirian. Selama ini Qhaud begitu sabar melayan karenah kedegilannya, tapi mengapa kali ini Qhaud langsung tidak mengendahkan permintaan maaf darinya.

Zila gagal mengawal emosinya lalu bercucuran airmatanya membasahi pipi. Dia tidak tahu siapa lagi yang akan menjaganya dikala keluarga sendiri langsung tidak mengambil endah. Nasib baik Qhaud masih sudi memberi khidmat membantu dalam segala urusan kehidupan yang kini begitu sukar. Namun sifat Qhaud yang tiba-tiba berubah sebentar tadi membuatkan Zila terasa begitu gusar. Tiada lagi hidup yang bebas bagi dirinya, tiada lagi kekasih hati, tiada lagi keceriaan keluarga dan kini mungkin dia akan kehilangan Qhaud yang sanggup berkongsi susah dan senang.

Tiba-tiba telefon bimbit Zila bergetar menandakan ada sms yang masuk. Langsung saja Zila membacanya...

“Diari dalam laci sisi katil... 31 Ogos 1997...”

Satu mesej yang sungguh kabur ertinya. Namun tarikh itu begitu terpahat di dalam benaknya kerana itulah tarikh pernikahan mereka. Perlahan Zila membuka laci yang dimaksudkan lantas mengambil sebuah diari yang kian lusuh milik Qhaud. Diselaknya satu persatu sehingga berjumpa pada tarikh 31 Ogos 1997.

Janji Kau dan Aku di hari pernikahan...

“ADALAH saya, Qhaud Bin Qasar, suami kepada Azila Bte Jamin yang telah menerima tanggungjawab, dengan ini menyerahkan kepada isteriku dengan mas kahwin sebanyak RM 22.50 tunai. Oleh itu, hendaklah kamu, isteriku, menunjukkan taat setia kepadaku sebagai suami dengan mengikut segala perintah dan nasihatku selagi mana ianya tidak bercanggah dengan hukum Islam dan Undang-Undang Negara,”

“Adalah saya Azila Bte Jamin, isteri kepada kekanda dengan penuh kesyukuran menerima mas kahwin ini sebagai tanda ikatan murni dan suci dan akan menumpukan sepenuh perhatian terhadapmu dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kekanda, dan adinda mengharapkan kepada kekanda agar sentiasa memberi bimbingan dan nasihat serta tunjuk ajar demi kepentingn dan kebahagiaan bersama. Semoga Allah merestui perkahwinan kita,”

Zila... Kau lah bidadariku semalanya dunia dan akhirat…

Zila terdiam sejenak menahan sebak apabila membaca butiran dalam diari yang bertarikh 31 Ogos 1997. Janji yang dulunya dimateri bersama jelas telah dimungkiri namun Qhaud tidak pernah begitu. Tanggungjawab yang tuhan amanahkan dipikulnya walaupun badai ganas menimpa. Airmata Zila bercucuran kembali tidak mampu dikawal. Dia teringkat kembali saat indah mereka disatukan. Ianya sungguh bahagia, kemudian mereka berjanji setia untuk kekal selamaya. Zila gagal mempertahankan janjinya namun Qhaud tetap benar-benar kukuh menggenggamnya.

Tiba-tiba wajah Qhaud terpacul di pintu bilik. Wajah yang cukup tenang sambil mengukir sedikit senyuman sambil memerhatikan saja aliran air mata Zila yang berjurai. Mereka berpandangan sesama sendiri menanti siapa yang dulu untuk menuturkan kata-kata.

“Walaupun bidadari ini kudung kakinya?.” Zila mengatur kata merendah diri.

“Walau sehelai rambut mu yang tinggal ia tetap tanggungjawab ku Zila….” Jawab Qhaud dengan penuh yakin.

Sememangnya dunia ini hanya suatu pinjaman. Hadirnya kita adalah sebagai memenuhi tanggungjawab sesama manusia dan segala makhluk yang dicipta selain mengabdikan diri pada yang Kuasa. Nafsu itu adalah ujian yang selalu membuatkan kita lupa akan hakikat sebenar hidup di dunia. Mungkin kesedaran atas hakikat dan kebenaran itu membuatkan Qhaud begitu utuh dalam memperjuangkan tanggungjawabnya terhadap keluarga. Qhaud Yang Benar...

Friday, May 8, 2009

Bab 6 : Misteri Cinta Rafflesia (Novel)

BAB 6 : BAYANGAN RAFFLESIA

“Hari ini niat aku adalah untuk mendapatkan Rafflesia. Apa pun terjadi aku akan pastikan niat aku tercapai. Rafflesia akan benar-benar hadir dalam hidup aku. Hadir dalam keadaan yang nyata. Aku tak suka diganggu oleh bayangan Rafflesia lagi”



DANIAL :

Masa terus berlalu meninggalkan aku. Meninggalkan kisah Rafflesia yang dulunya begitu hangat... sentiasa menghiasi muka depan tabloid yang menjadi tumpuan masyarakat yang simpati akan kematian Rafflesia yang sungguh mengharukan.

Secara tiba-tiba nama aku juga turut popular. Mereka anggap aku insan misteri yang hadir membantu menemukan mayat Rafflesia dengan cara yang agak mistik. Mereka anggap aku sebagai hero, tapi hakikatnya aku tidak pernah mahukan semua itu. Misteri Rafflesia bukanlah suatu yang seronok untuk dilalui seballiknya suatu keperitan yang nyata.

Berbulan kisah Rafflesia telah berlalu. Namun aku masih tidak dapat melupakan misteri Rafflesia. Bayangan Rafflesia seolah-olah sentiasa mengekori. Bisikannya juga setiap hari menusuk lembut ke gegendang ini.

Tidur malamku juga sering diganggu mimpi Rafflesia, datang memanggil-manggil seolah-olah mengajak aku pergi bersama-samanya. Namun setiap kali aku ingin menghampiri, bayang itu akan hilang… ghaib begitu saja.

Sesekali apabila aku keseorangan terasa Rafflesia bagaikan hadir menemani aku. Memang jasadnya tidak nampak tapi aku dapat merasakan kehadirannya. Terasa bagai ada sesuatu yang sentiasa memerhatikan aku... kemudian berbisik lembut memanggil namaku melalui tiupan angin yang berhembus.

Aku sendiri tidak pasti sudah berapa lama aku tidak bekerja. Pergaduhan aku dan Zali juga telah lama aku lupakan. Kereta Proton Waja yang aku beli juga sudah ditarik balik oleh pihak bank. Sewa rumah pun aku tak mampu langsaikan.

Entah sampai bila aku harus berterusan sebegini. Duduk di rumah terbengkalai. Siang aku merayau, malam pula aku hanya bertemankan sinaran pelita yang samar, tidur beralaskan kotak buruk, ditemani nyanyian nyamuk yang membingitkan telinga. Suatu kehidupan yang terlalu asing bagi aku. Dulu memang begitu asing, tapi semakin lama aku rasa ia semakin selesa.

Kehidupan lalu semakin jauh aku tinggalkan. Kehidupan baru yang aku lalui ini semakin menarik. Aku tak kisah apa orang nak kata. Bebas lakukan apa yang aku mahu. Aku boleh menjerit, menyanyi, menangis malah tertawa sesuka hati.

Ada yang kata aku gila padahal aku memang tidak gila, aku masih siuman. Mungkin mereka yang mengatakan aku gila itu sebenarnya dengki dengan apa yang aku kecapi kini, sama seperti zali. Hati busuk… Pendengki…

Peduli apa orang nak kata. Hakikatnya kehidupan usang ini membuatkan aku lebih gembira. Setiap malamku pasti akan ditemani Rafflesia yang sentiasa memerhatikan aku dari sudut sana. Itu sudah cukup membuatkan jiwa ini gembira dan mampu untuk membuatkan aku sentiasa tersenyum. Ah!… Itu hanyalah potret Rafflesia yang aku lukis.

Hari ini aku pasti akan dapatkan Rafflesia yang sebenar. Orang kata Rafflesia sudah mati. Sudah disembahyangkan, sudah dikapankan dan telah dikebumikan, tapi aku langsung tidak percaya itu semua malah aku tetap yakin bahawa Rafflesia masih hidup. Masih bernyawa dan masih segar menyusuri kehidupan di muka bumi ini.

Sudah tiga minggu aku perhatikan dia berjoging setiap petang Sabtu di Taman KLCC. Aku benar-benar yakin dialah Rafflesia. Susuk tubuhnya, ikal rambutnya yang mengerbang, lirik senyumannya memang sama dan saling tak tumpah dengan Rafflesia yang pernah aku temui suatu ketika dahulu, malah rantai emas berloket berbentuk hati juga masih lagi tersemat di dada Rafflesia. Bergoyang ke kiri dan ke kanan apabila dia berlari.

Tapi aku begitu pelik. Rafflesia seolah-olah tidak mengenali aku lagi. Setiap kali aku cuba menegurnya pasti dia akan terus berlari meninggalkan aku.

Mungkin dia sudah lupa kepada aku yang pernah bertemu di Tambunan dulu, Tak apalah kalau begitu kerana aku tetap akan merinduinya. Atau adakah dia sudah ada kekasih baru? Atau dia telah kembali dengan Shah. Ah! aku tak kisah dengan semua itu… Aku rela bertarung dengan sesiapa saja demi mendapatkan Rafflesia.

Lagipun aku langsung tidak percaya jika Rafflesia punya kekasih lain kerana jika dia ada kekasih lain tak mungkin dia terus berbisik mengharapkan aku menolongnya, menagih janji yang pernah aku ucapkan dulu. Aku pasti Rafflesia adalah untuk aku dan hari ini aku akan buktikan hakikat itu.

Hari ini niat aku adalah untuk mendapatkan Rafflesia. Apa pun terjadi aku akan pastikan niat aku tercapai. Rafflesia akan benar-benar hadir dalam hidup aku. Hadir dalam keadaan yang nyata. Aku tak suka diganggu oleh bayangan Rafflesia lagi.

Mentari senja mula terbenam meninggalkan cahaya kemerahan di ufuk timur. Wajah Rafflesia jelas keletihan tapi senyumannya tetap ayu. Tetap memikat hati siapa saja yang memandang. Lima pusingan dia berlari hari ini. Jenuh juga aku menunggunya tapi aku rasa berbaloi. Masanya semakin hampir untuk aku mendapatkan Rafflesia.

Aku terus mengekori Rafflesia menuju ke tempat letak kereta bersebelahan Masjid KLCC. Perlahan saja dia melangkah sambil kedua-dua belah tangannya memegang tuala kecil yang tersangkut di leher.

Ya... Hari ini aku mesti dapatkan dia... Rafflesia akan jadi milik aku selamanya. Tiada lagi bayang-bayang... tiada lagi igauan. Kenyataan akan hadir buat selama-lamanya. Dia akan hidup bahagia bersama aku hingga keakhirnya.

Tapi adakah Rafflesia kali ini adalah suatu yang nyata... atau suatu mistik yang akan menjerat aku buat kali kedua. Aku tak kisah semua itu. Rafflesia tetap akan menjadi milik aku!!!



RAFFLESIA:

Ahhh!!! di mana aku ini...?? Adakah ini yang dinamakan neraka?. Gelap gelita... Panas dan rimas. Tangan terikat dan dibiarkan nyamuk meratah seluruh tubuh. Adakah ini suatu penganiyaan atau pun satu hukuman. Mata langsung tidak dapat melihat. Gelap... hitam... dan gelita... Entahlah di mana aku kini.

Aku langsung tidak dapat mengingati apa yang berlaku. Rasanya tadi aku pergi berjoging... Selepas itu??? entah..... apa yang terjadi. Tiba-tiba aku sudah di sini. Mungkin aku sudah mati tapi kalau aku mati... bila masa pula malaikat maut menyabut nyawa aku?.

Aku binggung dengan situasi ini, tak terjangkau akalku untuk mendapatkan jawapan dari semua persoalan tadi. Entah di mana aku berada kini, apa yang telah terjadi. Langsung aku tiada jawapan. Yang pasti semuanya gelap gelita sahaja.

Apalah semua ini... Tidak ada apa yang mampu aku lakukan dalam keadaan tangan dan kaki yang terikat sebegini. Keadaan yang gelap langsung tidak dapat membantu... sesekali terdengar bunyi libasan kelawar yang terbang di ke kiri dan ke kanan, sungguh mengerikan…

Jeritan meminta tolong yang aku lolongkan juga hanya hampa. Tidak mendatangkan kesan melainkan gema suara sendiri yang seolah-olah mengejek aku kembali. Aku hanya mampu menangis. Takut yang amat sangat.

"Kenapa aku boleh jadi begini?" Bisik hati ini yang terus menggeletar ketakutan.

Tiba-tiba aku terpandang seperti ada cahaya yang bergerak mendekati. Cahaya yang agak samar. Bergerak sambil berhayun. Dekat dan semakin dekat membuatkan hati ini terus berdebar dan semakin berdebar.

Air mata terus bercucuran kerana ketakutan. Ingin sekali aku lari sekuat hati, tapi apakan daya di kala kaki dan tanganku masih tertambat. Aku hanya mampu menanti apa saja yang datang.

"Engkau..!!!" Mulut ku bersuara tanpa disengajakan...

Aku begitu terkejut dengan wajah yang tiba-tiba terpacul dari balik tembok sambil memegang lampu pelita. Aku masih ingat dengan wajah ini. Pengemis gila inilah yang mengganggu semasa aku berjoging di Taman KLCC minggu lalu. Memanggil aku dengan nama Rafflesia, membuatkan aku takut dan terus lari meninggalkannya.

"Kau masih kenal aku Rafflesia???" jawab lelaki itu sambil cuba memeluk kaki aku yang berselunjur lantas terus saja aku menarik kaki ku ini.

Dia tahu nama aku ‘Rafflesia’... tapi apa kaitan aku dengan pengemis ini.

"Tolonglah.. lepas kan saya... Apa salah saya?? tolong lah lepaskan saya..."

Aku cuba merayu kepada lelaki pengemis yang ada di depanku. Namun hanya disambut dengan senyuman yang menyeringai.

Bau badannya sungguh busuk membuatkan aku terasa nak muntah. Rambutnya yang berserabut amat menjijikkan, amat menakutkan.

"Tidak Rafflesia... aku tidak akan lepaskan kau.. kau tak boleh tinggalkan aku lagi.. Kita akan hidup bersama Rafflesia..." pengemis itu berkata dan kemudiannya disusuli dengan hilai tawa yang kuat.

Aku terus binggung. Entah bila masa pula aku pernah hidup bersamanya. Dan bila masa pula aku pernah meninggalkannya. Memang sah dia ini seorang yang gila. Kata-katanya langsung tidak masuk akal.

Lagipun aku bukan orang semenanjung... Aku orang Tambunan... baru lima bulan aku berpindah ke Kuala Lumpur. Mana pernah aku bersamanya.

“Hei!!! orang gila... apa kau cakap ni… lepaskan akulah!!!”

“Kau kata aku gila Rafflesia… Kau kata aku gila… Kalau aku gila pun, aku gila kerana kau Rafflesia.. Kerana kau!!!”

Marah lelaki itu sambil menghunuskan jari telunjuknya ke arah aku. Langsung saja membuat aku menangis. Sungguh takut dengan herdikkan yang begitu mengerikan.

Aku tak mampu bersuara lagi, hanya tangisan yang mampu aku luahkan. Aku semakin takut kerana dalam keadaannya yang marah sebegini dia mungkin akan mengapa-apakan aku.

"Rafflesia sayang... aku tahu kau lapar... aku ada bawakan makanan untuk mu sayang... mulai hari ini kita akan makan bersama-sama..."

Lelaki itu kembali berlembut. Suaranya seakan terketar-ketar lalu disusuli lagi dengan hilai tawa dengan nada yang sungguh gembira... Aku semakin takut, aku bingung... aku semakin tidak paham apa yang terjadi...

Dalam tangisan, aku hanya memerhatikan lelaki itu yang seakan mahu menghidangkan makanan. Beberapa bungkusan plastik dibuka, entah apa isinya.

Dalam kesamaran cahaya pelita aku terus meninjau keadaan sekeliling. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat lukisan wajah aku yang agak lusuh tertampal di sebelah kiri dinding. Cantik lukisannya. Memang benar itulah wajah aku... siap dengan rantai bersama-sama loket berbentuk hati pemberian ibu yang sentiasa aku pakai.

Keadaan menjadi semakin tidak keruan bersama dengan lelaki seperti pengemis gila yang sungguh misteri... Aku semakin takut......

"Rafflesia.. makanan dah siap.. tapi sebelum makan aku mahu pastikan bahawa kau benar-benar Rafflesia.." Pengemis itu memecah kesunyaian malam dengan nada yang agak keras dan tegas sambil memegang dagu aku..

Aku hanya mendiamkan diri tidak mampu untuk menepis. Apa lagi untuk melawan. Tapi aku tetap mampu melawan renungan matanya yang begitu tajam.

Ingat kembali pesan ibu, “jika kita berani orang akan takut, jika kita takut orang akan berani…” Dan sekarang dalam keadaan tertambat sebegini nyata aku tidak mampu untuk melawannya melainkan melawan renungan matanya.

"Memang aku Rafflesia.. tapi kenapa kau buat aku macam ni??" aku cuba meminta penjelasan.

Dia tidak menjawab tapi hanya ketawa... lantas duduk bersila di hadapan aku seolah-olah mahu mengaji.

"Yassin.... Wal Quran nil hakim... " Tiba-tiba pengemis itu membaca surah Yassin.

Aku bagai tidak percaya apabila seorang pengemis gila sepertinya lancar membaca surah Yassin. Tapi betul atau tidak bacaannya aku memang tidak begitu pasti kerana aku sendiri tidak hafal surah itu. Lagipun aku bukanlah hadir dari keluarga yang kuat agamanya. Iman pun hanya setipis kulit bawang. Langsung tidak setaraf dengan lelaki gila ini yang mampu menghafal surah yang begitu panjang.

Sayu dan garau suaranya separuh menangis. Membaca tanpa sebarang rujukan, hanya dengan hafalan. Hati aku tiba-tiba menjadi sayu apabila mendengarnya ayat demi ayat dilontarkan. Dia terus membaca sambil tangannya menghayunkan satu plastik berisi air masak.

Adakah aku sebenarnya telah mati... atau adakah dia adalah Malaikat Maut yang bersedia untuk menyabut nyawa... Aku terus binggung...


"Rafflesia... Minum ni..." Suruh lelaki itu.

Aku menurut saja, takut untuk melawan. Tapi kini aku pasti dia bukanlah seorang yang jahat tapi yakin sepenuhnya dia memang seorang yang gila. Orang jahat tidak akan membacakan "Yassin" sebelum melakukan kejahatan.

"Ha..Ha.. Ha... Kau memang Rafflesia..." Katanya lagi sambil merenjis-renjiskan sisa air yang aku minum tadi ke muka dan tubuh badan aku. Lagaknya umpama seorang bomoh.

"Sekarang mari kita makan" Sambungnya lagi yang kemudian beredar ke arah makanan yang telah disediakan...

"Tolonglah aku... Apa yang kau mahu dari aku... Tolonglah jangan apa-apakan aku... Aku boleh berikan kau wang kalau kau mahu. Tapi tolonglah lepaskan aku" Aku terus merayu lagi tetapi terus dibalas dengan hilai tawa saja.

"Jangan bergerak!!! Kami Polis!!!." Tiba-tiba empat orang anggota polis menyerbu masuk lalu mengacukan pistol ke arah lelaki itu...

Aku tersentak tapi begitu bersyukur. Aku yakin, aku selamat kini. Dan aku juga yakin aku masih hidup dan masih berada di dunia ini.

Lelaki itu tidak melawan. Dia seolah-olah tidak takut dengan polis yang menyerbu. Dia hanya diam saja apabila tangannya digari seolah-olah tidak mempunyai sebarang perasaan. Reaksinya hanya selamba sambil menyeringai seolah-olah begitu puas.

"Terima kasih encik.."

Aku dilepaskan oleh salah seorang anggota polis. Aku terus saja mengibaskan tangan dan kaki yang terasa begitu lenguh. Entah berapa lama aku berada dalam keadaan tertambat sebegitu, aku sendiri pun tidak pasti.

"Apa yang sebenarnya berlaku encik?. Kenapa orang gila ni culik saya ?" Aku cuba bertanya kepada salah seorang anggota yang aku rasakan ketua dalam operasi ini.

"Bertenang cik… Nanti kami akan siasat.." Jawabnya ringkas... aku hanya mengangguk tanda paham...

Lelaki itu diam dan terus tunduk saja apabila pihak polis mengeledah barang-barangnya. Sesekali dia berpaling ke arah aku lalu tersengih. Tajam renungan matanya begitu menakutkan tapi aku tetap akan melawan sinaran matanya itu.

"Tuan.. Saya jumpa ini.." beritahu salah seorang anggota polis lalu menyerahkan satu beg duit yang agak lusuh kepada ketua mereka.

Polis itu terus saja membuka apabila menerimanya lalu mengeluarkan sekeping kad pengenalan yang masih tersimpan rapi.

"Danial Afendi Bin Azman" Kata Polis itu sambil menepuk-nepukkan tapak tangannya ke tengkuk lelaki pengemis itu...

"Danial Afendi!!!!!" Nama itu membuatkan aku mengangkat kepala lantas memandang tepat ke arah lelaki pengemis itu. Aku rasa aku kenal dia.

"Nanti dulu Encik..."Aku cuba menghalang pihak polis yang mula bergerak membawa Danial Afendi keluar meninggalkan lokasi ini.

"Kenapa... Cik kenal dia...???" Tanye polis itu...

"Saya rasa saya kenal dia encik..." aku memberitahu sambil mengangguk lemah.

Air mata ini tidak mampu dibendung lagi... Perasaan sedih juga tidak dapat aku tahan lantas tanpa dipaksa aku terus berlari lalu mendakap Danial Afendi.

Bau Danial yang busuk tidak bisa menghalang aku dari terus mendakap insan yang begitu istimewa ini. Akhirnya aku bertemu juga dengan insan misteri yang menyelesaikan kes kehilangan kakak kembar aku Noni.... Noni Rafflesia... Aku begitu bersyukur…

"Sapa nama cik ?" Polis itu bertanya apabila aku melepaskan dakapan terhadap Danial Afendi.

"Nani... Nani Rafflesia..." Jawabku yang membuatkan Danial Afendi mengangkat kepala lalu merenung dengan sinaran cahaya mata yang sungguh tajam. Tembus hingga ke dasar hati ini. Sayu dan sungguh sedih hati ini.

Tiba-tiba teringat kembali kakak kembar aku Noni yang dulunya sentiasa bersama, namun terpisah seketika kerana mengejar cita-cita, kemudian terpisah buat selama-lamanya.

Tapi aku tetap bersyukur kerana dengan kehadiran insan misteri bernama Danial Afendi, Noni telah ditemui walaupun dalam keadaan yang tidak bernyawa. Sekurang-kurangnya kematiannya meninggalkan bukti nisan bukan hilang ditelan masa.

Tapi mengapa Danial Afendi boleh jadi sebegini? Apa telah berlaku kepadanya? Persoalan yang tidak mampu aku jawab.

Aku memang tidak pernah mengenali Danial Afendi melainkan membaca dari akhbar online kerana pada peristiwa pembunuhan dan penemuan Noni aku masih di Australia. Peperiksaan semester akhir langsung tidak memungkinkan untuk aku pulang ke tanah air walaupun dalam keadaan yang begitu menyedihkan. Aku hanya pulang seminggu selepas penemuan Noni dan hanya dapat melihat bukti nisan yang ditinggalkan.

Kepulangan ke tanah air dengan kejayaan. Aku berjaya dalam pelajaran tapi gagal untuk terus menjalani hidup bersama Noni yang sungguh aku rindui.

Memang benar kisah pembunuhan Noni sungguh misteri malah lebih misteri dari yang dilaporkan di dada akhbar. Hari ini aku sendiri dapat merasai misteri itu apabila diculik oleh insan misteri bernama Danial Afendi.

Namun hakikat yang aku dapat rasakan kini adalah perasaan Danial Afendi terhadap Noni Rafflesia. Satu perasaan cinta yang begitu mendalam. Entahlah apa istimewanya Noni sehingga Danial boleh jadi sebegini. Kasihan Danial terperangkap dengan keadaan.

"Terima kasih Danial Afendi...." bisik hatiku menahan sedih sambil memerhatikan Danial Afendi di bawa masuk ke dalam kereta polis.

Thursday, May 7, 2009

Aduhai Si MAwi

Mawi... Perutnya buncit, kulitnya gelap, rambut tipis yang hampir botak, gigi jarang-jarang kehitaman... Itulah dia Si Mawi.

Seorang anak muda 20-an yang kurang siuman. Dulunya Mawi memang kacak, gilaan ramai wanita. Anak Mak Jah memang dulunya seorang yang hebat berkelulusan Ijazah Perakuanan dari universiti tempatan. Baik budi pekerti dan tidak pernah lupa diri.

Suatu petang Mawi pulang ke kampung, sedang dia asyik mengupas sabut kelapa tiba-tiba sebatang pelepah kelapa jatuh lalu menghentak kepalanya. Semenjak kemalangan itu Mawi hilang ingatan dan menjadi kurang siuman. Kemalangan yang terus saja mengubah hidup Mawi dan keluarga. Kasihan Si Mawi.

Petang itu seperti biasa Mawi merayau-rayau di sekitar kampung. Berseluar pendek dan berbaju ketat yang menampakkan sebahagian perutnya yang buncit. Di tangannya tersidai beg plastik berwarna merah.

"Nak kemana tu Mawi.."Tanye Pak Andang.

"Mawi sedang cari siput nak suruh mak masak Cili Api campur batang keladi... erm sedap..." Jawab Mawi selamba.

"Tapi itukan siput Babi, mana boleh makan." Pak Andang memberitahu.

"Bolehlah.. nanti basuh bersih-bersih pakai air tanah, buang babinya .. baru boleh makan." Mawi menerangkan lagi yang membuatkan Pak Andang hanya menggeleng-gelengkan kepala. Ternyata Mawi masih boleh berfikir walaupun akalnya mereng.

"Mak!! Mawi bawa siput... mak tolong masak gulai..." Teriak Mawi kegirangan lalu menguhulurkan plastik berisi siput babi kepada Mak Jah.

"Astagfirullah Hal Azim... " Mak Jah beristifar panjang apabila melihat siput babi yang masih bergerak-gerak dalam plastik yang di bawa Mawi, terus saja membuatkan dia tergeliat sedikit akibat kegelian.

"Mak basuh bersih-bersih tau mak... buang babi dia..." Mak Jah hanya mengangguk lemah dengan kata-kata Mawi itu.

Sedih hati Mak Jah mengenangkan nasibnya. Tak tahu pada siapa dia mahu bergantung harap setelah pemergian suaminya Pak Ayub. Ditambah pula dengan penyakit gaut yang selalu menyerang kakinya membuatkan dia sukar untuk bergerak.

Anak pertama Mak Jah.. Azli pula kini semakin teruk akibat ketagihan najis dadah. Sinar harapan yang selama ini disandarkan kepada Mawi tiba-tiba bertukar menjadi malap semenjak kemalangan yang menimpa Mawi. Semakin hari semakin tidak menentu.

Dalam keadaan uzur itulah dia terpaksa mengusahakan sawah bendang yang tidak seberapa hasilnya. Tiada lagi harapan untuk masa depan yang segalanya malap bagi Mak Jah dengan anak yang langsung tidak boleh diharap... Azli dan Mawi.

"Mak cepatlah masak Mak... Mawi lapar nak makan gulai siput..."

Mawi tidak sabar-sabar untuk menikmati hidangan kesukaannya. Mak Jah bingung entah apa helah yang perlu dibuat untuk melayan kerenah Mawi.

"Mawi pergi tepi bendang.. Mawi ambil batang keladi.. Mak nak campur dengan Siput ni..." Mak Jah memerintahkan Mawi.

Sengaja dia menguruh Mawi berlalu dari dapur supaya dia boleh buangkan siput babi yang Mawi bawa itu. Mawi hanya diam menurut perintah. Cepat-cepat Mak Jah ambil beg plastik tadi langsung mencampakkannya ke dalam longkang di belakang rumah... Bagaikan satu bala telah dilepaskan oleh Mak Jah. Puas sungguh hati orang tua itu.

Segera saja Mak Jah menangkap belut yang disimpannya dalam tempayan lalu direndam dengan air garam. Mengelitik belut yang ditangkapnya dari bendang 3 hari lalu dan akhirnya berhenti menandakan ia sudah tidak bernyawa. Lalu cepat-cepat Mak Jah mengeratnya kecil-kecil sepanjang ibu jari dan terus membelahnya.

"Mak Mawi balik bawa batang keladi..." Mawi terus riang. Ghairah sungguh dia untuk menikmati gulai siput kesukaannya.

"Mana siput tadi Mak?" Mawi bertanya..

"Ni mak tengah basuh ni.." Mak Jah cuba menipu.

"Mana kulit dia mak.." Mawi bertanya lagi..

"Ni siput babi... Mak dah buang babi dia.. tinggal siputnya saja.." Mak Jah menerangkan..

" Mawi diam saja sambil menggaru-garu kepala.

"Habis tu macam mana Mawi nak sedut siput nanti..." Mawi bertanya lagi dengan perasaan yang sungguh kecewa... Mak Jah mula bingung, sukar untuk dia menjawab soalan dari Mawi itu.

"Tak pe Mawi duduk atas dulu, nanti masa nak makan mak ajarkan ye sayang..." Beritahu Mak Jah.

Mawi menurut saja lalu melangkah naik ke rumah bahagian hadapan rumah yang lebih tinggi sedikit dari bahagian dapur. Terasa lega hati Mak Jah bila Mawi tidak buat banyak hal... Kadang kala kelakuan Mawi sukar dikawal apabila dia tidak dapat apa yang dimahukan.

Tiba-tiba terdengar Mawi menyanyi.. mendendangkan lagu-lagu yang girang. Itulah luahan hati yang ikhlas dari seorang yang kurang siuman seperti Mawi. Apa yang dia rasa akan diluahkan. Dia tidak akan pandai untuk menipu. Mah Jah terus saja tersenyum mendengar nyanyian Mawi. Dia tahu Mawi girang dan kegirangan hati Mawi yang ikhlas itulah yang akan membuatkan hati Mak Jah juga girang...

Menyanyi kerana gembira...
Menyanyi kerana sedih...
Menyanyi kerana rindu..
Aduh siapa dapat membaca hati ku saat ini...

Malam itu selepas solat Maghrib Mak Jah terus menghidangkan makanan untuk anaknya Mawi. Seperti biasa mereka akan menikmatinya bersama tanpa Azli. Bagi Mawi hidangan hari ini begitu istimewa. Lauk kesukaannya, Siput...

"Mak.. Macam mana nak sedut ni..." Tiba-tiba Mawi bertanya.

Rupanya dia masih ingat lagi apa yang Mak Jah perkatakan siang tadi. Mak Jah senyum saja lalu mengulurkan sebatang penyedut air kepada Mawi. Mawi tersenyum lalu menyedut kuah cili padi yang pedas dalam mangkuk berisi belut cili padi. Merah padam juga muka Mawi kepedasan tapi langsung dia tidak mengendahkannya dan terus menyedutnya hingga hampir bersih.

"Apa kau buat tu ha..." Mak Jah tiba-tiba berteriak apabila terdengar seperti ada orang menggeledah biliknya. Tentu Azli punya kerja. Entah apa yang dia cari.

"Eh!!! engkau nak kemana? Tu duit aku..." Mak Jah menyergah lagi.

Azli langsung tidak mengendahkan kata-kata mak Jah lalu terus meninggalkan rumah bersama sebungkus duit syiling yang dijumpai dari dalam bilik Mak Jah. Tak mampu untuk Mak Jah menghalang apa lagi untuk merampas duit yang dilarikan Azli itu.

Sedih pilu hati Mak Jah. Mengalir airmatanya tanpa dipaksa. Tak mampu untuknya menahan sebak. Apalah nasib dirinya mendapat anak yang bagaikan bangkai bernyawa seperti Azli. Sesekali Mawi menoleh ke arah Mak Jah yang mula minitiskan air mata. Namun dia seperti tiada perasaan... tidak paham dengan apa yang berlaku dan terus saja menikmati masakan Mak Jah yang begitu enak.

Seperti biasa setelah solah Isyak Mak Jah terus saja masuk tidur kerana keesokan pagi dia harus ke turun ke bendang. Tapi malam itu sukar untuknya melelapkan mata kerana teringatkan tingkah lalu Azli sebentar tadi. Ditambah pula sakit gaut yang tiba-tiba menyerangnya. Mungkin dia silap makan kerana dia sepatutnya tidak boleh makan belut, namun dia terlupa kepada pantang itu. Dia hanya menahan bisa dengutan yang datang dari bahagian kaki kanannya.

Tiba-tiba terdengar bunyi orang membuka pintu. Pastinya Azli sudah pulang bersama Najis dadah untuk santapannya malam ini. Mak Jah sebak apabila mengenangkan Azli. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya terhadap Azli. Setiap pagi sebelum subuh dia akan bangun lalu mengemaskan lilin dan alatan lain yang digunakan Azli untuk mengambil dadah.

Dari dalam bilik terdengar bunyi pemetik api. Seperti biasa Azli akan memadamkan suis lampu lalu menyalakan lilin dan akan mula menyantap najis dadah. Di kala itu Mak Jah hanya mendiamkan diri sambil merenung Mawi yang sedang nyenyak tidur di sebelah bawah katilnya. Terdengar pula Azli tiba-tiba tergelak, ketawa seorang diri, mungkin dia sudah mula khayal dengan asap syaitan yang sudah meresapi otaknya.

Semakin sayu hati Mak Jah. Hati seorang ibu. 9 bulan dia mengandungkan Azli, membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Entah dimana silapnya, tiba-tiba Azli boleh tersesat. Tersasar dari matlamat hidup di dunia ini untuk berjaya di dunia dan akhirat. Teringat kembali apabila dia bersama arwah Pak Ayub, suaminya yang mendodoikan Azli bersama.

Tiba-tiba bau asap dan cahaya api yang terang dari bahagian atas dinding bilik yang tanpa bersyiling terus saja menyedarkan Mak Jah dari lamunan. Api yang datang dari lilin Azli mengambil dadah yang menyambar langsir tingkap. Api begitu cepat marak memakan dinding papan yang sudah usang.

Mak Jah bingung... dia cuba untuk bingkas namun tidak berjaya lalu rebah di sisi Mawi yang terus lena diulit mimpi.

"Mawi bangun nak... rumah kita terbakar... Bangun Mawi bangun..."

Mawi mula sedar tapi seperti sedikit bingung melihat api yang sedang marak dan asap yang terus meliputi keliling mereka. Mawi bingkas lalu bergerak ke belakang mengelak api yang sudah menyambar langsir pintu bilik. Mak Jah hanya menutup muka tidak mampu untuk bergerak....

"Mawi keluar Mawi... lari.. tingalkan mak.. Lari Mawi..." Mak Jah terus menjerit. Namun Mawi masih lagi bingung melihat api yang terus marak dikelilingnya.

"Lari Mawi lari..." Jerit Mak Jah lagi... Namun Mawi terus bingung dan menoleh ke kanan dan ke kiri memerhatikan api yang semakin marak.

Api terus marak hingga menjilat kayu-kayu gelegar pada bumbung. Mak Jah mendongak ke atas dan melihat api yang sedang memakan kayu gelegar benar-benar di atas kepalanya...

"Ya Allah.. Ampunkan dosaku.. dan selamatkan lah Mawi..."Doa saja yang mampu Mak Jah pinta di saat ajal yang semakin hampir kepadanya.

Mawi terus menoleh sekeliling melihat api yang bagaikan berpesta. Dia mendongak ke atas dan terpandang kayu yang semakin musnah dijilat api yang bakal akan menimpa Mak Jah.

"Lari Mawi... Lari." Jerit Mak Jah lagi. Dia tidak mahu Mawi mati bersama-samanya.

Tiba-tiba Mawi tunduk ke arah Mak Jah lalu menyambar tangan orang tua itu. Mak Jah bangun mengikut saja tarikan dari tangan Mawi itu. Mawi terus saja meletakkan pinggang Mak Jah pada bahunya lantas bingkas berdiri dan meloleh ke kanan dan ke kiri akhirnya lalu memandang ke arah tingkap kayu yang juga kini dimamah api. Mawi terus berlari sambil memikul Mak Jah lalu merempuh tingkap itu dengan sepenuh tenaga.

Tingkap kayu itu terus saja berkecai dirempuh Mawi. Mak Jah terus jatuh ke tanah bersama-sama Mawi lalu menghempap Mawi yang berada di bahagian bawah. Tinggi juga rumah mereka kerana Mak Jah merasakan dirinya seperti melayang di udara... Sakit juga punggungnya kerana merempuh daun tingkap walaupun sudah usang.

"Mah Jah.!!! " orang-rang kampung terus meluru ke arah Mak Jah dan Mawi lalu memadamkan api yang menyala pada pakaian mereka...

"Syukurlah Mah Jah selamat" beritahu Mak Siti, jiran Mak Jah..

Mak Jah hanya diam tak mampu untuk bersuara setelah terlepas dari ajal yang bagi yang begitu hampir.

"Azli mana Mak Jah...?" Tanya Mak Siti pula...

Mak Jah hanya diam lalu menghulurkan tangan menuding jari ke arah rumah yang terus dijilat api yang tiada siapa yang berani mendekatinya lagi. Jiran-jiran yang datang terus terdiam dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa... Mak Jah terus diam memandang api yang menjilat rumahnya. Dia tahu Azli masih berada di dalam. Azli sedang khayal dan pastinya tidak mampu untuk keluar walaupun hanya untuk menyelamatkan dirinya sendiri. Namun dia tidak begitu galat dengan kehilangan Azli dan dia begitu bersyukur kerana dia punya super hero yang begitu hebat, Mawi.

"Mawi.. kau memang hebat... Aku bangga dengan kau..." Bisik hati Mak Jah sambil merangkul Mawi yang hanya mendiamkan diri... Ternyata walaupun Mawi kurang siuman namun ia lebih bererti dari seorang yang waras tapi menagih dadah.

"Mak esok Mak masak gulai siput lagi ya..." Mawi bersuara dan terus membuatkan Mak Jah tersenyum ambil menjeling rumah yang terus musnah dimamah api...

Wednesday, May 6, 2009

Bab 2 : Hati Kian Sepi (Novel)

BAB 2 : Ayah Dan Ibu


Malam semakin larut. Kelihatan mata ayah semakin layu. Kadang kala terasa geli hati pula memerhati ayah yang tersenggut-senggut di bucu meja Jepun setinggi satu setengah kaki. Mungkin dia terlalu mengantuk agaknya. Kasihan dia, sanggup menemankan anak perempuannya manghabiskan kerja sekolah walaupun dalam keadaan yang tidak begitu larat.

“Ayah pergilah masuk tidur dulu… Wani nak siapkan kerja sekolah sikit lagi ni…” Ayah diam saja Cuma sedikit tersenyum. Tak pasti sama ada senyuman itu diukir dalam keadaan sedar ataupun mamai.

“Ayah… Tolong Wani pamkan lampu gas, cahayanya dah semakin malap.”

Ayah terus bangkit tidak membantah. Ternyata dia masih sedar lagi. Ayah menjengkitkan kaki memanjangkan tubuh lalu mencapai lampu gas yang tergantung pada palang kayu di tengah-tengah ruang tamu. Perlahan dia menurunkan lampu gas itu lalu meletakkannya di lantai bersandar pada tiang seri rumah.

“Gas dah nak habis ni” Ayah memberitahu. Aku diam saja kerana aku sendiri tidak faham tentang teknikal lampu gas itu.

Ayah menarik kepala pam lampu gas yang berwarna merah lalu menolaknya semula. Dia melakukannya beberapa kali sehingga cahaya lampu gas itu kembali cerah.

Ayah terus menarik dan menolak pengepam lampu gas dengan lebih laju sehingga menggegarkan lampu gas itu. Tiba-tiba terlihat koyakkan berlaku pada mentol lampu gas yang diperbuat daripada nilon. Semakin lama koyakkan itu semakin besar.

Ayah terus menggelabah. Dia terus meluru ke tepi dinding dan terus mencapai pelita yang terdampar di situ. Terus saja dia meleretkan mancis kayu lalu mencucuhkan apinya pada sumbu pelita itu. Pelita itu terus menyala, namun lampu gas semakin malap. Koyak pada mentolnya semakin membesar dan mentolnya terus terkapai-kapai menunggu masa untuk gugur.

Ayah tersenyum sambil memerhatikan aku. Aku membalas senyuman itu. Sebenarnya kami berasa gelihati dengan kejadian tadi. Tujuan asal mahu menerangkan kembali cahaya lampu gas yang semakin malap tetapi hasilnya mentol lampu gas itu terkoyak lalu memadamkan terus lampu gas. Kini rumah kami hanya diterangi dengan sebiji lampu pelita sahaja yang cahayanya jauh lebih malap berbanding cahaya lampu gas.

“Tu lah… dia suruh Wani tidur tu…”
“Mungkin juga..” Aku membalas kata-kata ayah lalu kami tersenyum bersama.

“Tapi kerja sekolah Wani belum siap lagilah ayah”
“Tak apa esokkan Wani boleh sambung lagi. Lagipun esok hari cuti..”
“Tak boleh… Kan esok ayah dah janji nak bawa Wani jalan-jalan”
“Yelah.. kita jalan esok pagi.. petang atau malam Wani siapkan lah. Tak kan nak jalan satu hari kot…”
“Tu lah... ayah tu ganas sangat, lain kali kalau nak pam lampu gas tu perlahan-lahan lah sikit…” Aku memerli ayah. Ayah senyum saja.

“Sebenarnya Ayah kamu tak sabar nak masuk tidur tu Wani..” Tiba-tiba suara ibu mencelah.

Ayah tersenyum lagi lalu dia terus menjeling ke arah ibu menandakan sedikit geram. Ibu membalasnya dengan senyum sinis sambil keningnya terangkat sedikit. Entah apa maksud disebalik reaksi mereka berdua. Insan kurang matang seperti aku masih belum mampu memahaminya reaksi orang dewasa seperti mereka.

Aku terus akur dengan keadaan dan terus masuk ke dalam bilik tidur. Ayah dan ibu juga begitu, berjalan seiring menuju ke bilik meninggalkan pelita yang hanya ditemani oleh lampu gas yang kini telah terpadam.


Awal Pagi..

Aku bangkit awal di pagi ini. Kedinginan air perigi langsung tidak melemahkan semangatku. Sebenarnya nasib aku memang cukup baik kerana setiap pagi sebelum aku bangkit dari tidur air mandi pasti sudah tersedia.

Sebelum subuh lagi ayah sudah mencedukkan air dari telaga di belakang rumah dan dipenuhkannya ke dalam tempayan simen di dalam bilik mandi. Itu sungguh memudahkan tugas aku. Aku hanya perlu menceduknya dengan gayung tempurung kelapa lalu simpah saja ke seluruh tubuh ini. Begitu beruntungnya menjadi anak perempuan yang manja seperti aku.

“Wani cepat lah sikit.. nanti tertinggal bas..” Ibu sudah mula mahu berleter seakan tidak sabar. Cepat-cepat aku keluar dari bilik dan terus menuju ke pintu hadapan. Aku lihat ibu sudah menanti di muka pintu dan ayah pula sudah bersedia di atas motorsikal Honda C70 nya. Sungguh bergaya sekali mereka hari ini. Bangga aku kerana mempunyai ibu yang cantik dan ayah yang begitu kacak.

Ayah terus mengangkat aku dan didudukkannya di hadapan sekali dengan kaki dimasukkan ke dalam bakul motorsikalnya. Ibu pula terus saja melompat di belakang ayah lalu ayah menerjahkan kakinya menekan penghidup enjin motosikal untuk menghidupkan enjinnya.

Setelah enjin dihidupkan ayah terus meluncur laju melalui denai di sisi tali air dan kemudiannya melalui jalan tanah merah yang berdebu untuk menuju ke simpang jalan masuk ke kampung kami. Aku yang duduk paling hadapan sekali terasa begitu nyaman dengan tiupan angin yang menerbangkan rambut aku yang panjangnya paras bawah bahu.

“Bang cepat sikit… bas dah nak sampai tu…” Ibu menjerit sambil menghunuskan tangan ke arah bas buruk yang bergerak perlahan menghampiri simpang. Terasa bergegar motosikal ayah apabila ibu seakan mengenjut-henjutkan badannya menguruh ayah menunggang lebih laju. Secepat kilat ayah terus melambai-lmbaikan tangan memberi isyarat supaya bas itu diberhentikan.

Ayah terus memberhentikan motorsikal dan menyandarkannya pada sebatang pohon durian. Kami sekeluarga terus berlari mengejar bas yang masih sudi menanti.

Aku terus melangkah naik ke dalam bas yang sememangnya sudah penuh sesak dan diikuti ibu dan kemudiannya ayah. Nasib kami kurang baik kerana tempat duduk semuanya sudah penuh. Kami terpaksa bersesak-sesak berdiri selama sejam hingga ke bandar.


Di Bandar…

Penat kami merayau hari ini. Dari satu kedai ke satu kedai. Matahari pula sungguh terik ditambah pula ibadah puasa yang sedang dikerjakan. Terasa begitu mencabar ibadah puasaku hari ini.

“Lama lagi ke ibu? Wani dah letihlah”
“Ada sikit lagi… Baju Wani belum beli lagi. Kita masuk kedai tu..”

Ibu memberitahu sambil menghunuskan telunjuknya ke arah kedai yang tertulis ‘Kedai Pakaian Tan Lee Lee’. Ayah diam, menurut saja kata-kata ibu. Begitulah lumrahnya wanita. Apabila membeli belah merekalah raja.

Ibu terus membelek-belek baju yang berlonggok di atas meja yang dialas dengan tikar getah berwarna coklat gelap. Ramai orang mengerumuni timbunan baju itu umpama semut yang mengerumuni gula. Mereka mengambil dan kemudian membeleknya satu persatu. Jika berkenan mereka akan terus tersenyum sebaliknya jika tidak mereka akan mencebik mulut lalu melontarkan baju itu kembali ke timbunannya.

“Wani cuba tengok ni.. lawa tak…” Kata ibu sambil menayangkan sehelai baju gaun berwarna biru tua.

“Ish awak ni. Budak ni kan dah sekolah tak kan lah nak pakai baju gaun macam tu lagi.” Ayah memprotes. Aku diam saja walaupun aku benar-benar berkenan dengan baju itu.

“Apa salahnya.. dia kan budak lagi… Baru darjah 3”
“Tapi saya ni kan imam.. nanti apa pula orang kata..”
“Abang ni segan dengan orang ke tuhan… Dia kecil lagi lah bang….” Ibu menegakkan hujah.

Itulah ibu bila dia berminat pada sesuatu dia akan tetap mahukannya. Jelas hujah ibu itu membuatkan ayah mengalah. Aku gembira mendapat baju gaun biru yang sungguh comel pilihan ibu. Ibu memang pandai memilih.

“Sayang kita balik sekarang… Bas terakhir pukul 5.30. Kita ada 10 minit lagi ni.” Ayah memberitahu sambil menayangkan jam tangan yang terlekat pada tangannya. Ibu mengangguk saja lalu menarik tangan ayah yang sedang mendokong aku. Tak larat rasanya aku mahu berdiri lagi semenjak pagi tadi. Kami terus bergerak menuju ke stesen bas yang terletak benar-benar di hadapan kedai pakaian tadi.

Sesampai saja di stesen bas kami sedari enjin bas sudah dihidupkan. Penumpang juga sudah ramai dan bersedia menantikan bas untuk digerakkan. Tidak lama kemudian pemandu bas mula masuk dan duduk di tempat duduk pemandu.

Bas itu terus meluncur laju meninggalkan bandar yang begitu sibuk dengan kenderaan. Wajah ibu terus bersinar, mungkin puas dengan barang-barang kelengkapan raya yang telah dibeli. Ayah juga tersenyum saja, mungkin gembira kerana kami sekeluarga tidak perlu lagi berdiri dalam perjalanan pulang.

Dari jauh terlihat cahaya matahari mula condong di ufuk barat. Sudah sedia untuk berlabuh. Suasana di dalam bas pula gak ceria. Seorang penumpang yang duduk di bahagian belakang mula menyanyi dan beberapa penumpang yang lain bertepuk tangan mengiringi nyanyian itu.

Tiba-tiba perjalanan bas yang tadinya lancar kini mula terhenguk-henguk. Nyanyian dan tepukan tangan girang tadi juga serta merta terhenti. Pergerakkan bas juga mula perlahan dan menuju ke bahu jalan.

“Kenapa ni…” Ayah terus menjerit bertanya kepada pemandu bas.

“Tak tahulah… nanti saya tengok dulu…” Jawab pemandu bas itu

Penumpang lain mula gelisah. Keadaan penumpang yang penuh sesak membuatkan bahang begitu terasa. Beberapa orang penumpang mula turun memandaikan diri mengeluarkan teori tentang masalah yang bas ini hadapi. Ayah dan ibu pula hanya diam saja, mungkin kepenatan agaknya.

“Minta maaf semua… Bas kehabisan minyak..” Suara pemandu bas tiba-tiba melebihi keriuhan suara penumpang lain.

“Habis tu kami ni macam mana…” Tanya seorang penumpang.

“Kita cuba tunggu bas lain..”

“Dah petang-petang macam ni mana ada bas… Lagi pun ini bas terakhir” Tanya ayah pula.

“Insya Allah ada..” Pemandu itu cuba memberi harapan.

Semua penumpang turun dan menanti di bahu jalan kalau-kalau ada bas yang lain melintasi jalan itu. Hari semakin tua. Matahari mula terbenam, kemerahan mega di ufuk barat mula menjelma. Semua penumpang semakin gelisah kerana waktu maghrib semakin hampir.

“Ha tu ada…” Tiba-tiba salah seorang lelaki mengejutkan kami. Semua yang ada di situ terus tercengang melihat sebuah traktor yang sedang bergerak sambil menarik sebuah gerabak kayu di belakangnya.

“Gerabak pun gerabaklah… janji sampai..” Kata seorang pemuda lalu disambut dengan ketawa yang berdekah-dekah.

Traktor itu berhenti di hadapan bas. Setelah pemandunya berbincang dengan pemandu bas, kami semua dipanggil untuk naik di bahagian dalam gerabak. Jelas terserlah wajah kelegaan disetiap muka penumpang yang ada di situ. Kami semua terus bergerak dengan gerabak yang ditarik dengan traktor.

Dalam perjalanan tiba-tiba terdengar bunyi azan dari kampung berhampiran. Sayup-sayup bunyinya. Semua penumpang terus berpandangan antara satu sama lain. Ayah terus mengeluarkan sebotol air minuman lalu meneguknya. Kemudian dia menyerahkan kepada ibu yang terus juga meneguknya. Botol air itu terus disampaikan seorang demi seorang hinggalah semua penumpang dapat meneguk airnya untuk membatalkan puasa di hari itu.

“Wani… Menungkan apa tu..” Aku tersentak dan terus menoleh ke belakang. Aku lihat wajah Pakcik Man bersama isterinya.

“Tak ada apa-apa Pakcik.. Wani ingatkan Ayah dan ibu saja…”

“Sabar Wani… yang pergi tetap pergi… kita yang hidup perlu terus bergerak. Kehidupan mesti teruskan. Kehidupan masih panjang Wani...” Pakcik Man memberi nasihat cuba melegakan hati aku.

Aku bangkit perlahan dari terus menghadap pusara ibu yang masih merah tanahnya. Kemudian aku menguatkan semangat untuk berpaling lalu terus melangkah. Aku harus meninggalkan ibu bersendirian di tanah perkuburan ini sementara dia menanti soalan dari malaikat Nukar dan Nakir. Kini dunia kami telah terpisah. Kami berada dialam yang berbeza tapi aku yakin jiwa kami tetap bersatu bersama kenangan lalu.

Memang kehidupan lalu sungguh usang namun aku berasa begitu bahagia dengan kehidupan itu. Kenangan lalu yang begitu indah bisa membuatkan aku tersenyum sendirian apabila mengingatinya. Aku begitu rindu dengan belaian ayah.. Begitu rindu dengan kasih sayang ibu. Aku begitu rindu dengan kenangan lalu.

Sesungguhnya kenangan lalu sentiasa akan menjadi bukti betapa suatu ketika dahulu keluarga kami pernah merasai erti kebahagiaan. Kebahagiaan yang sentiasa membuatkan aku gembira dan ceria. Namun kini kebahagiaan itu kian lenyap. Tiada lagi belaian ayah, tiada lagi peritnya pengorbanan ibu dan aku kini hanya bersendiri. Sesungguhnya hatiku ini semakin sepi…

Tuesday, May 5, 2009

Bab 5 : Misteri Cinta Rafflesia (Novel)

BAB 5 : TUMPAS KERANA RAFFLESIA

“Memang Zali penuh dengan sifat pendendam. Bukan sekali ini dia cuba sakitkan hati aku tapi telah berkali-kali. Lama aku membiarkan tetapi akhirnya merasa juga dia tapak kasut aku ini. Mungkin sedap rasanya makan tapak kasut berkicapkan darah dari mulut sendiri.”



DANIAL :

“Wah, sudah glamor kau sekarang. Tiga hari berturut-turut muka kau terpampang dalam surat khabar, macam artis…” Zali cuba memuji tetapi langsung tidak menarik perhatian aku. Aku hanya tersengih menghargai pujiannya itu.

Kisah misteri Rafflesia seolah-olah mengangkat aku sebagai seorang hero. Publisiti yang diberikan amat meluas. Penemuan dan pembunuhan misteri Rafflesia begitu menarik perhatian rakyat Malaysia.

Ada juga yang cuba mendapatkan maklumat lebih lanjut dari aku untuk menjadikan kisah itu suatu novel misteri. Mungkin mereka anggap aku begitu gembira melalui misteri ini. Mereka tidak tahu hakikat sebenar, betapa aku tertekan dengan misteri ini.

Misteri Rafflesia sebenarnya tidak hanya terhenti di Tambunan sebaliknya Rafflesia seakan terus mengekori aku hingga ke Kuala Lumpur. Bisikan Rafflesia selalu saja menyelinap masuk ke dalam gegendang telinga ini. Kadang kala membuatkan aku rimas tetapi jika bisikan itu tidak muncul aku seakan rindu pula dengan bisikan itu.

“En. Danial… En. Hakim panggil masuk office” Lina tiba-tiba datang menyampaikan berita.

“Bos panggil kau tu.. tentu nak bagi naik gaji. Maklumlah orang glamor..” Zali mula menyindir.

Sekali lagi aku hanya tersengih, langsung tiada niat untuk melayannya. Aku terus mengekori Lina ke pejabat meninggalkan mesin Stamping yang sedang aku laraskan. Mungkin ada berita gembira yang bakal aku terima. Mungkin juga benar kata-kata Zali aku akan dinaikkan gaji.

“En Hakim panggil saya..”

“Oh Danial… jemput duduk” Encik hakim menjemput.

Aku terus melangkah masuk ke dalam biliknya tanpa membantah lalu duduk di kerusi besi yang disaluti kain berwara biru yang terletak benar-benar di hadapan mejanya.

“Ada apa En Hakim… Ada model baru nak masuk ker”

“Tak lah… Danial, saya lihat awak macam ada masalah. Minggu lepas awak salah set machine. Tengok berapa banyak reject. Client complain lambat sebab kita kena buat rework.”

“Saya minta maaf En Hakim. Saya tak sengaja”

“Ini bukan soal maaf Danial. Awak macam tak ada tumpuan terhadap kerja. Saya rasa lebih baik awak ambil cuti. Awak tenangkan fikiran awak dulu. Sebelum ni awak pekerja yang bagus. Awak tak pernah buat silap tapi sekarang…. Bulan ni saja sudah dua kali Client complain.”

“Maaf En Hakim, saya tahu kesilapan saya. Saya akan cuba atasinya”

“Danial.. Awak ni engineer.. Tentu awak tahu berapa syarikat dah rugi kerana kesilapan awak. Awak cubalah lawan gangguan yang awak alami. Saya tahu kisah Rafflesia telah mengganggu konsentrasi dan emosi awak. Tapi awak perlu atasinya. Kalau awak ada masalah awak boleh berbincang dengan saya. Awak pekerja yang bagus dan saya tak mahu awak hanyut Danial…”

Panjang En Hakim membebel. Aku hanya diam endah tak endah. Mungkin benar katanya yang seolah-olah tahu betapa aku terganggu dengan misteri Rafflesia tetapi aku tak yakin dia tahu sejauh mana aku benar-benar terseksa dengan misteri itu.

Aku hanya mengangguk-angguk mendengar bebelan En Hakim. Kemudian setelah selesai aku terus keluar meninggalkannya. Aku harap En Hakim puas dapat meluahkan perasaan tidak puas hatinya.

“Macam mana Danial… Naik gaji ke?”

Zali seperti biasa terus menyibuk. Aku tak sangka dia sanggup menunggu aku di hadapan bilik En. Hakim semata-mata mahu menyibukkan diri.

“Tak ada apalah. Dia sound aku pasal kerja..” Aku menerangkan dengan harapan Zali dapat berhenti dari terus membuat gossip yang bukan-bukan.

“Oh pasal kerja. Ingatkan dia nak mintak kau kenalkan dia dengan kau punya Rafflesia…”

“Eh! Kau nak main benda lain aku tak kisah, tapi jangan sesekali kau permainkan kisah aku dan Rafflesia.”

“Amboi tak boleh sentuh langsung Rafflesia dia. Danial patut kau kena ambil kesempatan sekarang ni. Rafflesia dah buat kau jadi popular. Orang dah anggap kau hero. Kau dah glamor. Baik kau berhenti kerja lepas tu kau pegi berlakon.”

Zali memberi idea seakan mengejek. Dia langsung tidak mengendahkan peringatan aku tadi. Aku semakin kurang sabar dengannya. Dia memang suka menyakitkan hati ini.

“Dahlah Danial… Aku tahu kau kena marah pasal reject hari tu. Tulah aku cakap, kau berhenti saja kerja. Baik kau pergi berlakon. Entah kisah cerita dongeng mana kau reka… jangan-jangan kau yang bunuh dia…”

“Eh!! Kau ni dah melampau…”

Aku tidak dapat menahan sabar. Zali semakin melampau dan akhirnya satu tumbukan padu hinggap ke mata sebelah kanannya membuatkan Zali terduduk di lantai.

“Danial… Sabar Danial. Jangan layan budak tu. Dia tu gila.” Lina cuba menenangkan.

Nasib baik Lina ada kalau tidak mungkin sepatu ini akan hinggap pula di mulutnya. Baru dia rasa betapa sedapnya makan tapak kasut aku ini.

“Apa kecoh-kecoh ni.” Suara En Hakim tiba-tiba muncul dari belakang.

“Dia tu gila… tak pasal-pasal tumbuk saya…” Zali mengadu.

Aku malas nak berdebat. Memang aku yang menumbuknya, tapi dia dah melampau. Kesabaran aku juga ada batasnya.

“Danial… awak minta maaf pada Zali.” En Hakim menggunakan kuasa veto seolah-olah menghukum aku kerana bersalah. Aku langsung tidak mahu mengendahkan.

“Tak payah lah En Hakim… Dia tu gila. Cari publisiti murahan…” Zali terus mengejek. Kali ini aku biarkan saja.

“En Hakim… Danial tak salah. Zali yang tak habis-habis ejek dia..” Lina cuba menyebelahi aku.

“Sudahlah Lina, mentang-mentang Danial tu handsome kau saja menangkan dia. Alah aku tahu kau pun ada skandal dengan Danial kan…”

Zali terus menuduh. Aku tak dapat mengawal perasaan lagi, akhir tapak kasut aku ini benar-benar hinggap dibibirnya. Zali terus terbaring ke lantai.

Lina tercengang melihat apa yang terjadi. Entahlah sukar untuk aku mengawal perasaan kali ini. En Hakim terus membisu seribu bahasa seakan takut. Dia hanya menahan dadaku dengan tangan agar aku tidak terus menyerang Zali.

Zali terdiam tidak melawan. Mungkin mulutnya yang dipenuhi darah merah membuatkan dia tidak boleh berkata-kata lagi. Mungkin itu pengajaran yang paling berkesan untuk orang yang mempunyai mulut yang begitu jahat seperti Zali.

Tuduhan melulu Zali terhadap aku memang tidak boleh aku terima. Aku tidak membunuh Rafflesia, Aku juga tidak membuat cerita dongeng tentang Rafflesia untuk mendapat publisiti murahan. Aku juga langsung tiada skandal dengan Lina. Lagi pun aku tahu Lina isteri orang dan sudah mempunyai dua orang cahaya mata. Jangan main gila…

“Danial, saya rasa awak perlu rehat dulu. Tenangkan fikiran awak. Saya tahu awak tertekan.” En Hakim memberi nasihat.

Aku diam saja sambil menjatuhkan tangannya yang masih terlekat di atas dada aku. Rasanya tak perlu dia menenangkan aku lagi. Bagi aku satu tendangan sudah memadai untuk mengajar Zali. Tidak perlu lebih dari itu.

Aku terus berlalu meninggalkan mereka bertiga di situ. Zali cuba bangkit tapi ternyata dia tidak mampu. Uniform biru yang dipakainya kini basah dan kehitaman dicucuri darah yang masih mengalir dari mulutnya.

Tindakan Zali tadi memang melampau. Aku tahu Zali memang sudah lama tidak berpuas hati dengan aku. Mungkin dia tidak dapat melupakan kisah lama semasa kami sama-sama di universiti dulu. Dia memang benar-benar meminati Lin tetapi akhirnya Lin menjadi kekasih aku seterusnya tunang aku.

Semenjak dia tahu Lin curang terhadap aku, dia terus-terusan mengejek aku. Dia bagaikan memulangkan paku buah keras kepada aku.

Memang Zali penuh dengan sifat pendendam. Bukan sekali ini dia cuba sakitkan hati aku tapi telah berkali-kali. Namun kesabaran ini selalu saja menyelamatkannya.

Lama aku membiarkan tetapi akhirnya merasa juga dia tapak kasut aku ini. Mungkin sedap rasanya makan tapak kasut berkicapkan darah dari mulut sendiri.

“Danial… awak sabar ya. Zali tu memang macam tu. Semua orang tak suka dia.” Suara Lina tiba-tiba mengganggu gegendang telinga aku.

Aku berpaling ke arahnya dan Lina hanya mempamerkan wajah sayu.

“Terima kasih lah Lina. Saya dah ok.” Aku membalas.

Memang tadi Zali benar-benar mencabar kesabaran aku dan membuatkan jiwa aku terganggu tapi itu hanyalah sebahagian saja. Hakikat yang sebenar jiwa aku memang langsung tidak tenteram semenjak Misteri Rafflesia di Tambunan lagi. Usikan Zali tadi hanya menambah lagi kekusutan yang aku alami.

Lina terus berlalu meninggalkan aku. Mungkin dia yakin aku sudah kembali tenang sekarang.

Aku terus duduk menanggupkan muka ke bawah sambil meletakkan tangan pada dahi agar mukaku tidak menyentuh meja. Terasa berat sungguh kepala aku. Berdenyut-denyut umpama ditekan dengan satu cengkaman yang amat kuat.

Tiba-tiba seperti ada tangan yang memicit-micit bahagian belakang kepala aku. Sungguh melegakan. Mungkin Lina datang lagi kerana Lina seakan dapat merasa apa yang aku rasakan. Jiwa seorang wanita, jiwa seorang isteri dan jiwa seorang ibu…

“Danial.. sabar Danial…”

Aku terkejut dengan bisikan suara itu. Jelas itu bukan suara Lina tetapi itu bisikan Rafflesia. Aku segera menoleh sekeliling jelas tiada siapa yang ada.

Bisikan Rafflesia kembali lagi. Entah tangan siapa pula yang tadi seolah-olah memicit dan melegakan kepala aku buat seketika.

Aku mengambil sebatang pensil yang berdiri dalam cawan yang ada di atas meja. Itulah yang selalu aku lakukan setiap kali bisikan Rafflesia datang. Aku akan cuba melukiskan wajahnya. Mungkin juga bisikan itu hadir kerana kerinduan dan kerinduan itu akan sedikit reda apabila aku menatap potretnya.

“En Danial.. Ni ada surat..”

Aku tersentak lagi dengan satu suara. Jelas suara itu adalah suara Lina yang datang menghampiri. Aku mengosok-gosokkan mata beberapa kali untuk memastikan wajah itu benar-benar Lina.

“Terima kasih…” Lina tidak menjawab sebaliknya terus berlalu.


Per : Notis Berhenti Kerja

Adalah dengan dukacitanya pihak syarikat telah mengambil keputusan untuk melucutkan jawatan anda dalam masa 24 jam dari tarikh surat ini dikeluarkan.

2. Kami amat berterima kasih atas sumbangan yang telah anda berikan terhadap syarikat ini. Namun begitu pihak syarikat dengan berat hati terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap anda. Kami berharap anda akan lebih berjaya di masa akan datang.


Sekian Harap Maklum.


Yang Benar



…..………………….
Hakim Bin Ahmad
Pengurus Sumber Manusia.



Aku terkedu seketika membaca surat itu. Tetapi aku gagal menghasilkan sebarang reaksi melainkan hanya berdiam diri.

Adakah tindakan ini suatu keadilan?. Memang aku mengaku salah memukul Zali. Tetapi aku lakukannya kerana bersebab. Mungkin tindakan aku tadi satu tindakan yang agak melampau tetapi tindakan Zali juga rasanya lebih melampau. Dia yang menyalakan api kemarahan tetapi aku yang menerima akibat..

Aku terus dihukum tanpa sebarang pembelaan. Hukuman yang langsung tiada belas di kala aku diganggu oleh misteri dan bisikan Rafflesia. Namun aku terpaksa pasrah pada takdirNya.

Bagaimana dengan masa depan aku selepas ini? Kemana aku harus pergi dalam keadaan yang terhimpit dan amat menyesakkan ini?. Entahlah tak mampu aku fikirkan itu semua. Biar masa saja yang akan menentukan.

Aku yakin duniaku masih belum terhenti. Dunia akan terus berputar… begitu juga aku. Hidup mesti harus diteruskan walau apapun yang terjadi, kerana kehidupan adalah suatu tanggungjawab.

Apa yang aku alami kini adalah suatu ujian tuhan. Ujian yang mahu menjadikan aku lebih teguh dan kuat. Lebih percaya akan kekuasaanNya.

“Danial… Tolong Rafflesia…”

Bisikan Rafflesia terus hadir menghantui aku yang semakin tidak keruan. Semoga aku tidak tewas.

Monday, May 4, 2009

Antara Jantan Dan Lelaki

"Zita.. Ibu harap zita pandai-pandailah jaga diri. Belajar sungguh-sungguh dan sentiasa ingat kami. Ibu akan sentiasa doa kan Zita berjaya...." Lembut tangan ibu membelai rambutku sambil memberi pesanan yang sungguh berguna.

Aku seorang gadis kampung, berhijrah ke bandar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Perundangan Islam. Anak seorang imam salah sebuah masjid di Pasir Mas, Kelantan. Memang tekad untuk berjaya mulanya sungguh kuat, hinggakan semester pertama di Universiti Malaya aku berjaya mendapat Anugerah Dekan.

Memang bila kita pandai dan rajin, ramai yang akan mendekati. Akan ramai pelajar yang akan mengambil peluang untuk menumpang kejayaan. Dan dari situlah hadirnya Razlan, pemuda kacak anak Datuk Mansor, ahli perniagaan yang berjaya.

Bersih air muka Razlan bagaikan seorang yang sungguh beriman. Pandai mengambil hati dan sungguh pandai memikat. Memang ramai gadis yang tergila-gilakannya. Namun, gadis kampung ini juga yang menjadi pilihannya. Aku rasa sungguh bangga dengan itu. Bangga menjadi kekasih lelaki idaman ramai. Ternyata aku memang seorang yang hebat.

Razlan adalah segala-galanya bagiku. Dari seorang yang kolot, Razlan bangkit menjadikan aku insan yang hebat. Penampilan yang kekampungan sudah lama aku tinggalkan dan hanya akan ku kutip kembali apabila ingin pulang ke kampung. Aku kini memang nampak hebat dengan rambut panjang yang keperangan, kening yang dikikis halus, berskirt pendek dan berbaju ketat. Semuanya atas nasihat Razlan.

Kini, siapa yang tidak kenalkan Zita... Kekasih Razlan yang punyai saham yang cukup tinggi. Tiada lelaki yang berani mendekati aku kerana mereka tahu akulah kekasih Razlan. Tiada perempuan lain juga yang berjaya menggoda Razlan kerana dia adalah milik aku seorang. Sehati, sejiwa dan bersama....

Malam itu aku dan Razlan meraikan hari kelahiran aku yang ke 21 bersama-sama, yang turut ditemani rakan-rakannya di salah sebuah kelab malam di Bukit Bintang. Segala-galanya telah Razlan aturkan rapi dan aku sungguh bangga kerana segalanya dilakukan untuk aku. Ternyata aku sungguh istimewa disisi Razlan. Kami menari semalaman. Memang langsung tiada rasa letih kerana aku punya kuasa tambahan dari Esctacy yang terus membuatkan aku melayang-layang di udara.

Alunan muzik terus membawa aku diawang-awangan. Air kencing setan itu memberi aku lebih tenaga untuk terus melayan suasana rancak yang bagaikan tanpa hentinya. Mungkin inilah syurga. Gembira... indah dan penuh dengan kenikmatan. Melayang... terbang dan akhirnya aku hilang....

Apabila aku sedar, aku berada dalam dakapan Razlan di Atas katil tanpa seurat benang pun di lokasi yang aku sendiri tidak pasti. Geli juga terasa bulu kaki Razlan yang menyentuh pangkal peha ini. Namun, aku langsung tidak sedih dengan keadaan itu... apatahlah lagi kecewa.. Rasanya aku tahu apa yang telah kami lakukan malam tadi membuatkan aku rasa begitu bangga dengan semua itu lalu terus mendakap Razlan yang jelas keletihan. Sungguh istimewa hadiah harijadi yang Razlan berikan kepada aku kali ini.


Mahkamah syariah Kuala Lumpur

"Norzita Bte Samudin... Anda dituduh berkhalwat bersama Razlan Bin Mansor pada 22 November 2005 di bilik bernombor 405 Hotel Brisdal. Adakah anda mengaku salah..."

"Saya mengaku salah Yang Arif..." Aku terus sahaja mengaku salah apabila pertuduhan dibacakan oleh Hakim mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Tiada alasan yang boleh aku berikan dari kesalahan yang aku dan Razlan lakukan.

"Razlan Bin Mansor... Anda dituduh berkhalwat bersama Norzita Bte Samudin pada 22 November 2005 di bilik bernombor 405 Hotel Brisdal. Adakah anda mengaku salah..."

"Saya tidak mengaku salah dan mahu dibicarakan Yang Arif..."

Aku terkejut dengan pengakuan tidak bersalah Razlan. Jelas sekali kami tidur di dalam bilik yang sama pada malam itu. Mengapa dia mahu dibicarakan lagi?... Mengapa dia tidak mengaku salah? Adakah itu salah aku seorang.. bukan salah Razlan atau bukan salah kami.

Aku terasa longlai apabila Razlan tidak mengaku salah. Aku rasa sungguh terhina. Kenapa Razlan membiarkan aku sendirian. Dimana kasih sayangnya?. Memang.. memang detik itu lah sebenarnya yang terus merubah kegembiraan dan keceriaan aku kepada suatu kehidupan yang sungguh gelap.

Atas kesalahan itu aku disaman RM 3000 dan tiada siapa yang mahu membantu menyelesaikan wang saman itu walaupun ahli keluargaku sendiri. Mereka langsung tidak mahu membantu dan tidak dapat menerima kesalahan yang aku lakukan. Aku sungguh kesal dengan mereka. Sanggup mereka membiarkan anak yang selama ini disanjung, dibelai tapi kini mereka membiarkan aku begitu saja.

Begitu juga Razlan terus berlalu dan menjauhkan diri dari aku. Aku tdak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa meringkuk 2 minggu dalam penjara. Tempoh yang memang agak singkat tapi bagi mereka yang pernah merasainya, ia bagaikan setahun. Sumpah tidak akan aku jejakkan kaki ke dalam nya lagi.

Kisah dukaku tidak berakhir disitu. Apabila aku keluar dari penjara, aku dipanggil oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya. Aku dihadapkan pula ke mahkamah Universiti kemudian diberhentikan daripada menyambung pengajian. Masa depan yang sebelum ini kurasakan begitu cerah tiba-tiba menjadi gelap. Aku bagaikan hilang arah tuju. Malu dengan rakan-rakan seperjuangan, malu dengan keluarga dan sungguh malu dengan diri sendiri. Razlan pula terus hilang entah kemana tinggalkan aku menanggung kesengsaraan ini sendirian.

Aku tidak berani pulang ke kampung halaman kerana pastinya aku akan dimarahi oleh ayah yang sememangnya garang. Pastinya ayah dan keluarga akan marah dan tidak mahu menerima aku lagi. Kalau tidak, masakan mereka sanggup membiarkan aku meringkuk keseorangan dalam penjara. Itu lah zalimnya dunia... Di saat aku terumbang ambing sebegini aku terus dibuang. Tiada siapa yang mahu memberi pedoman.

Oh.. dunia kenapa kau zalim.. kenapa aku diseksa.. kenapa Razlan boleh bebas... Kasihanilah aku... aku bungkam.... dan diwaktu itulah aku teringat pada Asnida... GRO yang aku kenal di kelab malam yang biasa aku kunjungi.

"Zita.. kau tinggal lah di rumah aku ni... Kalau kau nak kerja aku boleh kenalkan dengan Abang Joe... Hidup mesti diteruskan Zita... Kau jangan putus asa..." Nasihat dari seorang yang dulunya aku anggap begitu hina. Tapi kini aku sanjung kerana dialah satu-satunya insan yang ingin bersama aku diwaktu aku susah sebegini. Dan dengan bantuan Asnida aku dapat bekerja sebagai GRO dan dapat meneruskan hidup di kota ini dengan penuh keceriaan. Kedukaan mudah saja aku huraikan dengan air ajaib itu, air kencing syaitan... terus membuatkan aku lupa dengan kedukaan yang aku alami dan pastinya aku akan ceria sepanjang malam....

Sungguh sedih perjalan hidup aku untuk dikenang. Kadang-kadang aku tertanya sendiri, kenapa aku begitu mudah mengikut hawa nafsu padahal bukan lah aku cetek dari segi ilmu agama. Memang ternyata aku hancur kerana jantan itu…. Razlan.

"Zita…. kau kena gugurkan kandungan kau Zita.. Kalau tak macam mana kau nak bekerja… Perut kau semakin membesar.” Asnida memberi nasihat kepada aku… Nasihat yang langsung tidak akan aku terima… Begitu banyak dosa telah aku lakukan… Setiap malam aku akan berkepit dengan jantan, menikmati air syaitan itu, menari dan bergurau senda tanpa segan silu. Tapi aku tidak akan menjadi pembunuh kepada anak yang langsung tidak berdosa ini. Biarlah aku menderita tapi anak ini harus hidup dengan baik. Membesar dengan ceria, dan ia akan menjadi bukti betapa aku sayangkan Razlan sehingga ke akhirnya..

Cinta aku yang tak pernah luntur walaupun Razlan terus hilang meninggalkan aku sendirian. Aku tahu Razlan juga sayangkan aku… Aku yakin dia akan kembali kepada aku dan mengambil anaknya ini. Kemudian kami akan hidup bahagia bersama..

“Zita… Kalau kau tak mahu buang.. aku tak boleh buat apa-apa.. dan.. aku tak mahu tolong kau lagi…..” “Nida!!!!...” Aku terjerat kali ini.. Asnida adalah satu-satunya insan yang mahu menolong aku.. tapi kini dia juga mahu membuang aku hanya kerana aku tidak mahu menggugurkan kandungan ini. Syaitan jenis apalah dia ini…

“Razlan… kau kena terima aku Razlan… anak ni anak kau Razlan…” aku terpaksa datang menyembah Razlan. Betapa malunya sekiranya anak ini dilahirkan tanpa ayah… Aku tak sanggup menerima dugaan ini sendirian..

“Zita.. Zita.. ingat kau, aku boleh percaya dengan kata-kata bohsia seperti kau… Entah anak sapa-sapa kau buntingkan… lepas tu kau datang suruh aku mengaku… Aku tak mahu jadi pak sanggup….” Lembut saja kata-kata Razlan. Namun ia begitu tajam… sungguh sakit untuk aku telan. Menyentap hati dan perasaan yang terus saja membuatkan air mata ini jatuh membasahi pipi.

“Aku bersumpah tiada insan lain yang pernah meniduri aku kecuali kau Razlan.”

“Sapa percaya dengan sumpah perempuan jalang seperti kau Zita…” Aku begitu sayang padanya… Aku begitu setia padanya… Segala-galanya aku serahkan kepada Razlan. Tapi inikah balasan Razlan dari kasih sayang dan kesetiaan yang aku berikan…

“Perempuan macam kau tak layak untuk aku Zita….”

"Kau zalim Razlan.. Kau zalim..!!!!"

“Mak maafkan Zita mak… Zita menyesal.. Zita janji tak buat lagi…”Aku cuba menagih simpati kepada ibu. Ibu yang selama ini begitu sayang kepada aku… Tempat untuk aku mengadu nasib dan berkongsi kisah suka duka bersama….

“Menyesal!!! dah takde gunanya lagi Zita… dah terlambat… Mana kami nak letak muka Zita kalau orang kampung tau kau mengandung. Ayah kau tu imam Zita…”

“Tapi mana Zita nak pegi Mak…? Zita dah tak ada siapa lagi kat dunia ini mak.” Aku tak putus-putus cuba menagih simpati.

“Kau pergi lah mampus…”

“Mak!!!” Aku tak sangka, ibu yang selama ini aku sanjung sanggup melafazkan kata-kata sebegitu kesat dan terus memalingkan muka daripada aku. Ternyata dia tidak memperdulikan aku lagi.

Oh! Tuhan… apalah nasib ku ini. Kenapa zalim sungguh dunia ini. Kesilapan yang aku lakukan bersama-sama tapi aku seorang yang perlu menanggung. Aku sakit… aku derita.. aku terbuang sedangkan lelaki yang jantan itu terus bebas dan gembira tanpa sebarang hukuman.

Longlai langkah ini untuk ku atur. Tiada lagi arah, tiada lagi tujuan. Jiwa ini bagaikan kosong. Kusut masai segalanya. Tak tahu bagaimana untuk aku rungkaikan lagi.. Kau memang jantan Razlan…. Kau penipu!!!!. Adilkah hukuman ini… Aku terus melangkah meninggalkan desa yang permai dengan hati yang begitu berkecamuk.

Tinggallah ibu, ayah dan keluarga kerana ternyata aku tidak lagi bererti buat mereka. Mereka anggap aku seperti sampah yang tidak berguna lagi, busuk dan harus dilontar sejauh mungkin. Rasanya tiada gunanya lagi untuk aku hidup. Tiada lagi tempat untuk mengadu.. tiada lagi tempat bergantung harap. Biarlah aku mati. Biar mereka puas. Biarlah aku luput dari alam maya yang fana ini….


Apabila aku sedar…

“Di mana saya ni?” Aku bingung… apabila aku sedar, aku berada di atas katil di sebuah rumah yang tidak pernah aku kunjungi.

“Anak dah sedar… Alhamdulillah…” Tiba-tiba seorang wanita berusia pertengahan 50 an masuk ke bilik di mana aku terlantar. Aku cuba mengingatkan apa yang berlaku. Rasanya tadi aku berdiri di sebuah jambatan, Lepas itu.. entah apa yang berlaku..

“Di mana saya ni makcik…? Apa yang telah berlaku??” Aku cuba bertanya untuk mendapatkan jawapan.

“Tadi anak terjatuh dalam sungai… Mujur anak makcik dapat selamatkan.”

Ah!! baru aku ingat, tadi aku terjun ke sungai itu untuk menyabut nyawa ku sendiri. Aku tak sanggup lagi meneruskan hidup yang penuh dengan kezaliman dan ketidakadilan ini. Tapi aku kecewa, kerana bila aku sedar aku masih bernyawa. Roh dan jasad ini masih bersatu. Malaikat maut masih belum ditugaskan untuk menyabut nyawa ini. Tuhan masih belum mahu menerima aku kembali… Tapi mengapa??? Teruk sangatkah aku ini sehingga Tuhan sendiri tidak mahu menerima aku???

“Begitulah ceritanya makcik…”Aku menceritakan segalanya kepada makcik Asmah.

“Sabarlah Zita.. percayalah tuhan itu Maha adil” Pujuk makcik Asmah kepada aku.

“Kalau adil kenapa saya saja yang diseksa makcik… Kenapa Razlan boleh lepas tangan begitu saja…”Aku meluahkan perasaan tidak puashati.

“Zita.. Tuhan tu adil. Setiap yang dilakukan pasti ada hikmahnya. Mungkin Zita terseksa sekarang, tapi bahagia akan datang. Zita harus kuat… Ini semua hanya ujian Zita” Makcik Asmah terus memberi semangat kepada aku.

“Tiada lagi bahagia dalam hidup Zita makcik.. semuanya gelap” Aku terus meluahkan rasa kecewa.

“Zita lihat di sana tu..” Makcik Asmah menuding jari ke arah awan gelap yang menyelubungi langit di ufuk sebelah Barat. Aku hanya melihat dengan penuh persoalan.

“Awan yang gelap itu nampak seperti bencana, menjatuhkan hujan yang deras, petir dan guruh yang dahsyat, tapi ia pasti akan berhenti. Kemudian tanah yang gersang akan jadi subur. Suasana akan jadi dingin dan tenang kembali..” Makcik Asmah cuba menerangkan sesuatu yang sukar untuk aku fahami. Aku diam saja dan cuba mendalami kata-katanya.

“Makcik percaya.. Zita juga akan bahagia selepas ini. Percayalah Zita..”

“Kenapa makcik cakap macam tu?” Aku terasa pelik dan sukar memahami kata-kata yang makcik Asmah berikan.

“Zita jangan anggap orang seperti Datuk Mansor dan Razlan tidak diuji. Mereka diuji lebih dahsyat Zita. Mereka tidak sedar mereka sedang diuji dengan kemewahan, kebahagian dan kemenangan. Akhirnya mereka lupa dengan permainan hidup di dunia dan lupa pada balasan di akhirat.” Aku terkejut dengat kata-kata makcik Asmah.

Ternyata orang tua ini mempunyai pemikiran yang begitu jauh, tidak terjangkau oleh akalku yang lemah ini. Rasanya aku faham dengan maksud yang ingin disampaikan. Tuhan masih sayangkan aku. Tuhan masih memberi masa untuk aku bertaubat.

Sudah hampir sebulan aku tinggal di rumah makcik Asmah. Taufik anak makcik Asmah hanya pulang setiap hujung minggu kerana bertugas sebagai Jurutera Petrokimia di Kuala Terengganu. Taufik memang baik dan tampan tapi aku sungguh benci dengannya. Kerana Taufik lah aku masih hidup di dunia ini. Aku langsung tidak pernah berbual dengannya walaupun sebaris ayat.

Petang semalam Taufik pulang bersama beberapa barangan hadiah hantaran pertunangan. Dengan siapa aku pun tak pasti. Semalaman aku dan makcik Asmah tidak tidur kerana menyiapkan hiasan barang-barang tersebut. Semoga Taufik bahagia bersama orang yang disayang.

“Zita pakai baju ni..” Makcik Asmah menghulurkan baju kurung berwarna hijau muda beserta selendang. Lembut saja warnanya… tapi terlalu cantik buat aku dan sukar untuk aku menerimanya.

“Sapa punya ni makcik?” Aku bertanya.

“Zita punya lah.. Taufik belikan… sudah pakai lekas… kejap lagi tetamu datang kita nak berangkat.” Jawab makcik Asmah sambil tersenyum.

Aku terus memakainya. Memang terlalu cantik tapi terasa malu pula apabila memandang perut yang semakin membesar. Aku memandang ke arah katil. Sayu sungguh hati ini melihat barang-barang hadiah pertunangan Taufik yang tersusun rapi. Kalaulah aku yang bertunang alangkah bahagianya. Dimanalah Razlan dikala ini… Bilalah dia akan datang untuk meminang aku…

Suasana di luar agak riuh dengan kehadiran tetamu yang datang. Mungkin jiran-jiran agaknya yang ingin bersama-sama menikmati saat gembira mengiringi rombongan peminangan. Tiba-tiba pintu bilik diketuk… dan aku bangkit untuk membukanya.

“Ibu!!!, Ayah!!!...” Aku hampir pitam apabila melihat ibu, ayah dan keluarga terpacul dimuka pintu.

“Selamat pengantin Baru Zita..” Aku terpaku apabila Ibu mengucapkan kata-kata Ibu itu dan terus saja mengucup pipi dan dahi ku sepenuh perasaan. Aku terdiam.. tergamam bagaikan patung tanpa bernyawa…

“Apa semua nya ini?”

"Majlis perkahwinan…”

“Sapa yang kawin ibu…?”

“Zita lah…”

“Zita???? Dengan Sapa…??”

“Dengan saya Zita…”

Aku terduduk dibucu katil melihat lelaki yang mengaku ingin berkawin dengan ku. Makcik Asmah terus meluru dan terus merangkul aku. Aku tak mampu untuk bersuara lagi. Air mata terus mengalir tak mampu untuk kutahan. Begitu juga ibu… ayah.. dan semua yang hadir… semuanya menitiskan air mata beramai-ramai tanpa segan silu lagi…

Suasana begitu pilu… sungguh sayu… Oh tuhan... inikah yang dinamakan nikmatnya hidup. Aku bersyukur kepadamu. Kau memang Maha adil.. Ya Tuhanku..... Ternyata tidak semua lelaki itu jantan. Masih ada rupanya lelaki sejati di bumimu ini... Kau lah lelaki sejati… Taufik…