- -

Terima Kasih Atas Sokongan Anda Terhadap Nukilan Saya. Saya Akan Cuba Uploadkan Hasil Nukilan Saya Sekerap Yang Saya Mampu. Semoga Ia Memberi Pengajaran Dan Bererti Kepada Anda. Saya Juga Mengalu-alukan Komen Dari Anda Semua Untuk Memperbaiki Kelemahan. Selamat Membaca..

Novel : Misteri Cinta Rafflesia

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 || Bab 10 ||

Novel : Hati Kian Sepi

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 ||

Friday, April 24, 2009

Bab 3 : Misteri Cinta Rafflesia (Novel)

RAFFLESIA KELAYUAN

“Tidak semena-mena air mataku mengalir. Aku hanya mampu mengeluh pasrah. Buntu dengan apa yang aku alami. Pertemuan singkat yang telah membibitkan perasaan indah dalam diriku, sayangnya hanya seketika. Ianya bagaikan sebuah mimpi yang sering menganggu lenaku”



DANIAL :

Alhamdulillah…aku menarik nafaz lega apabila kereta yang kupandu melalui kawasan yang agak terang di simbahani lampu jalan yang menghiasi kiri dan kanan jalan. Perasaanku sedikit lega. Aku juga merasa sangat bersyukur kerana Tuhan masih menyayangi diriku dan menyelamatkanku dari segala bencana.

Aku hampir-hampir melanggar tembok pembahagi jalan ketika melalui selekoh yang tajam akibat tidak dapat mengawal kelajuan keretaku. Mujur aku selamat dan masih diberi peluang untuk menyaksikan terbitnya matahari di hari esok.

Aku tahu aku kini sudah hampir benar dengan Bandar Tambunan. Aku berhenti seketika di bahu jalan sambil berfikir perkara yang harus aku lakukan. Aku berkira-kira ingin melaporkan kejadian tersebut di balai polis yang berhampiran.

Aku akhirnya mengambil keputusan untuk singgah di Balai Polis Tambunan yang masih kelihatan terang benderang. Aku terus memberhentikan kereta benar-benar di hadapan pintu masuk balai. Membrek secara mengejut sehingga menghasilkan bunyi geseran tayar yang agak kuat dan menarik perhatian beberapa orang pegawai polis yang bertugas malam itu.

Aku membatukan diri seketika ditempat dudukku sambil tanganku erat memeluk stereng kereta. Sesekali mataku menjeling ke arah cermin pandang belakang, khuatir kalau-kalau ada makhluk lain yang mengekoriku.

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari rasa takut, kami bersandar dan berserah hanya kepada-Mu. Kami tidak meminta kecuali kepada-Mu, kami tidak meminta tolong malainkan kepada-Mu. Engkaulah pemelihara kami, sebaik-baik pelindung dan penolong.”

Aku mengalihkan pemandanganku ke arah seorang pegawai polis yang berdiri di muka pintu. Pegawai polis tersebut memerhatikanku dengan wajah yang agak pelik. Bunyi geseran yang kuat tadi mungkin telah menarik perhatiannya untuk melihat apa yang berlaku.

Aku terus turun keluar dari kereta dan menuju ke arahnya.

“Kenapa encik… kena kejar hantu ker?” Tanya pegawai polis itu. Aku hanya mendiamkan diri sambil memeluk tubuhku yang masih menggeletar. Kakiku seolah-olah merasa berat untuk melangkah. Semangatku masih belum pulih sepenuhnya.

Hatiku tidak putus-putis berdoa, “Ya Allah, gantikanlah tempat ketakutan dengan keamanan dan tolaklah tipu daya syaitan dengan tentera bantuan-Mu dalam keadaan yang terhina.”

Pegawai polis tersebut menepuk bahuku dan mengarahkanku masuk ke dalam balai. Aku menurut tanpa sebarang bantahan.

“Kenapa budak ni?” Salah seorang pegawai polis yang memakai tanda nama Nazrul terus bertanya apabila melihat aku dipimpin masuk ke dalam balai dengan keadaan yang menggeletar.

“Entah…dikejar hantu agaknya…” Jawab polis yang memimpin aku tadi dengan nada separuh bergurau. Segera sahaja disahut dengan hilai tawa oleh beberapa pegawai polis yang lain. Aku hanya mampu mendiamkan diri dengan gurauan itu.

“Kenapa?” Tanya Pegawai polis bernama Nazrul itu.

“Rafflesia...” Itu saja jawapan yang mampu aku ucapkan…

“Bertenang encik.. tarik nafas panjang-panjang… Beri saya IC awak..” Nazrul memberi arahan. Dia seakan faham dengan keadaanku. Kutarik nafas perlahan sambil mengeluarkan kad pengenalan dari dalam dompet dan menyerahkannya kepada Encik Nazrul.

"Ok…sekarang encik ceritakan apa yang berlaku" Pinta pegawai polis itu lagi...

Aku memulakan cerita dengan satu helaan nafas yang agak panjang. Aku menceritakan apa yang aku alami bermula dengan ketibaanku di Bandar Kota Kinabalu pagi tadi.

Aku menceritakan satu persatu peristiwa yang telah aku alami sehingga membawaku ke balai polis kini. Aku tidak pasti tentang penerimaan mereka ke atas cerita yang cuba aku sampaikan. Hatiku bimbang sekiranya mereka menyangka bahawa aku sengaja mereka-reka cerita yang seperti tidak masuk dek akal.

Beberapa orang pegawai polis yang berada di situ menoleh ke arahku, seolah-olah tertarik dengan cerita yang aku sampaikan. Mungkin inilah julung kalinya mereka mendengarkan kes yang agak pelik dan luar biasa.

"Boleh tak encik beri gambaran bagaimana rupa gadis itu..." pinta pegawai itu lagi.

Aku terus membayangkan wajah Rafflesia. Wajah ayu yang masih jelas terbayang di kotak fikiranku. Wajah yang berjaya mencuri tumpuanku. Senyuman manis yang telah membawaku ke lembah bahagia, sayu lalu terus hilang meninggalkan aku.

"Itu Noni…" Tiba-tiba seorang pegawai polis memberitahu dengan kata-katanya yang begitu yakin.

"Tidak...Nama dia Rafflesia...bukan Noni" Aku cuba membantah nama yang disebut oleh pegawai itu...

"Betulkah ini wajahnya…?" Tiba-tiba Encik Nazrul menunjukkan sekeping gambar Rafflesia kepadaku yang diambilnya dari sebuah fail di atas meja yang tertulis “Noni Rafflesia”.

Aku membeleknya. Memang serupa benar dengan wajah Rafflesia cuma Rafflesia yang aku temui tadi rasanya lebih asli tanpa sebarang solekan dan sedikit pucat. Rantai emas yang tersemat di dada gadis yang berada dalam gambar itu juga sama benar dengan rantai yang dipakai oleh Rafflesia.

Aku terdiam. Aku semakin bingung dengan apa yang terjadi. Apa sebenarnya yang berlaku sehingga anggota polis pun sudah mengenalinya. Adakah Rafflesia ada membuat salah besar?. Aku terkedu dan akhirnya aku hanya mengangguk lemah mengesahkan bahawa wanita itulah yang bersama aku tadi.

"Kalau begitu boleh encik tunjukkan kepada kami tempat di mana encik hantar Noni tadi..." Tanya pegawai polis itu lagi.. Aku terdiam seketika… Rasanya tak sanggup aku ke tempat yang begitu mengerikan itu.

"Saya tak hantar.. tayar kereta saya pancit di situ tadi... Dia Rafflesia bukan Noni." Aku membetulkan ayat yang aku rasa salah disebut oleh pegawai itu.

"Apa-apalah..." Jawab begawai polis itu ringkas.

“Ok kita pergi sekarang?” Nazrul membuat keputusan dan beberapa pegawai polis yang lain terus saja bersiap.

Aku terdiam tak mampu membantah. Rasanya air mata ini bagaikan mahu mengalir untuk merayu agar aku dikecualikan ke tempat itu lagi. Serik sungguh rasanya. Namun aku tak berdaya berbuat apa-apa. Keputusan muktamad telah mereka buat. Aku hanya mampu berserah menerima apa saja risiko yang mungkin akan menjelma.

“Tunggu apa lagi… marilah..” Panggil Nazrul apabila melihat aku terus duduk membatu tidak bergerak.

Aku bingkas perlahan mengekori pegawai polis itu menuju ke kereta bersama 3 pegawai yang lain.

“Apa awak takut, bukannya awak sorang, kan kita berempat ni” Kata seorang pegawai polis cuba menenangkan aku lalu kami terus bergerak menuju ke kilometer 15.95.

Sepanjang perjalanan jiwa aku sungguh tidak tenteram. Fikiran aku bercampur baur antara takut, ngeri, keliru dan bermacam-macam begitu berkecamuk.

Laju kereta polis itu dipandu menyebabkan jantung aku terus merdegup begitu
kencang. Seiring dengan kelajuan pergerakkan kereta. Mungkin mereka sudah biasa dengan jalan di sini.

Aku terus membaca ayat Kursi berulang kali. Aku sedar itulah senjata yang paling ampuh untuk melawan syaitan atau jin sekiranya mahu mengganggu manusia.

“Encik depan tu sikit lagi selepas jambatan..” Aku memberitahu kepada pegawai polis itu apabila aku terpandang batu penanda jalan menunjukkan kilometer 15. Keresahan aku bertambah begitu mendadak. Aku sendiri tidak pasti apa sebenarnya status Rafflesia sama ada dia manusia, jin atau pun hantu. Aku hanya mampu berserah dan berdoa setelah sedar kereta polis itu berhenti benar-benar tempat dimana aku mengganti tayar tadi.

Aku menoleh ke belakang kereta dan melihat jambatan yang agak usang. Memang benar inilah tempatnya.

Kilometer 15.95 memang agak gelap. walaupun kami berempat namun aku rasa begitu seram. Aku sedikit menggigil berbeza di saat aku ditemani Rafflesia tadi. 3 orang pegawai polis itu terus meninjau-ninjau keadaan dengan lampu suluh yang dibawa.

Dalam keresahan aku sempat juga memandang keadaan sekeliling. Aku lihat dahan pepohon hutan terus bergerak-gerak umpama melambai-lambai. Tak pasti sama ada lambaian itu gembira dengan kedatangan kami atau sebagai tanda marah menyelinap di sekitar hutan tebal yang mungkin tempat permainan makhluk halus.

"Sarjan... saya jumpa ini.." Jerit seorang pegawai polis sambil menunjukkan seutas rantai berloket berbentuk hati yang dijumpai di tebing sungai kepada pegawai Polis bernama Nazrul, lantas membuatkan kesemua pegawai polis berlari ke arahnya termasuk aku.

Aku terperanjat kerana rantai itulah yang tadi dipakai oleh Rafflesia. Rantai berloket berbentuk hati yang tadinya begitu menarik perhatian aku. Entahlah apa terjadi kepada Rafflesia.

"Adakah dia membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai. Tapi mengapa... Apa yang telah berlaku kepadanya sedangkan tadi dia begitu ceria bersama aku." Aku terus tertanya-tanya. Berbagai-bagai teori tiba-tiba melintasi minda ini. Namun semuanya tidak terjawab.

"Ha!! itu dia..." jerit seorang pegawai polis sambil menghunuskan cahaya lampu suluh ke arah satu tubuh separuh bogel yang terkulai layu.

Aku hampir pitam melihat keadaan itu... Baju putih yang sama dipakai oleh Rafflesia tadi kini koyak dan berlumur darah yang telah kering. Kakinya terjuntai menghala ke atas tebing sungai dan terdedah tanpa sebarang urat benang sekali pun.

Kami semua mendekati tubuh itu.. ternyata baunya amat busuk sekali. Aku segera menutup hidung kerana tidak tahan dengan bau sebegini tetapi pegawai polis yang lain hanya bersahaja. Mungkin mereka sudah biasa dengan keadaan dan bau sebegini.

Aku hanya memerhatikan pegawai-pegawai polis memacakkan kayu berbentuk empat segi di tempat Rafflesia ditemui. Kemudian mereka memasang tali plastik berwarna kuning yang dipenuhi tulisan perkataan “Polis” sebagai pagar kawasan berkenaan.

Setelah mengambil gambar mereka terus mengangkat tubuh Rafflesia yang tersadai di tebing sungai naik ke atas. Aku terus menghampiri tubuh itu. Ternyata wajah itu memang wajah Rafflesia... wajah yang begitu sayu sama seperti wajah semasa menemani aku menukar tayar tadi.

Tidak semena-mena air mata aku mengalir. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala, tidak percaya dengan apa yang terjadi... Pertemuan seketika yang sebegitu indah tetapi sekelip mata saja hilang bagaikan suatu mimpi ngeri yang mengganggu tidurku.

Apalah yang berlaku sebenarnya. Tadi Rafflesia masih hidup, masih bermaya, wangi dan begitu ceria menemani aku. Tapi kini tubuh Rafflesia sudah busuk dan kaku terkulai layu.

"Encik Danial.." Tiba-tiba Sarjan Nazrul menepuk bahu aku.

"Saya tak bunuh dia sarjan.." Spontan aku mengaku dengan nada separuh menangis. Memang bukan aku yang membunuh Rafflesia. Malah aku langsung tak kenal Rafflesia sebelum ini. Pertemuan kami begitu singkat.

"Saya tahu... Sebenarnya Noni dilaporkan hilang semenjak 5 hari lalu. Daripada kesan dan keadaan mayat kami percaya ia telah berlaku 4 atau 5 hari lalu. Kami juga percaya dia telah dibunuh sebelum dibuang ke dalam sungai ini...." Sarjan Nazrul menerangkan kepada aku. Pegawai polis lain hanya diam sahaja.

"Tapi saya bersama Rafflesia dari Rafflesia Information Center tadi." Aku memberitahu. Itulah hakikat yang aku alami semenjak awal malam tadi.

"Itu lah kebesaran tuhan encik Danial... Kamu yang baru datang dari semenanjung dipilih tuhan untuk membantu menyelesaikan kes ini..." Beritahu Sarjan Nazrul..

Aku hanya diam... Selalunya aku suka untuk melihat keindahan alam sebagai tanda kebesaran tuhan, tapi kali ini misteri Rafflesia ini jelas menunjukkan kebesaran tuhan kepada aku.

Tapi kenapa aku? Kenapa aku yang datang dari jauh beribu batu merentasi Laut Cina Selatan. Itu semua tak mampu aku jawab kerana yang pasti itulah ketentuanNya.

Memang pertemuan aku bersama Rafflesia walaupun seketika tapi memberi kesan yang sungguh mendalam. Ketenangan yang aku idamkan gagal aku temui. Keindahan yang aku inginkan tidak sempat aku temui. Jiwa ku semakin berkecamuk. Semakin keliru dan kecewa.

Bermulanya dengan kekecewaan aku dengan Lin, lantas disuburi dengan tarikan Rafflesia yang sememangnya palsu dan disudahi dengan tragedi yang sungguh mengerikan.

Sememangnya Rafflesia memang begitu misteri. Sukar dan tak mampu aku rungkaikan. Entahlah kenapa aku harus terlibat dalam misteri ini. Mungkin tuhan saja yang tahu apa hikmah disebaliknya.

Sesungguhnya kelahiran itu misteri, segala kehidupan itu misteri dan kematian itu juga misteri, namun selagi kita percaya dan yakin dengan sepenuh hati tentang kekuasaan yang Maha Esa, semuanya bukanlah misteri kerana bagiNya semuanya amat mudah. Hanya 'Kun Fayakun...'

No comments:

Post a Comment