- -

Terima Kasih Atas Sokongan Anda Terhadap Nukilan Saya. Saya Akan Cuba Uploadkan Hasil Nukilan Saya Sekerap Yang Saya Mampu. Semoga Ia Memberi Pengajaran Dan Bererti Kepada Anda. Saya Juga Mengalu-alukan Komen Dari Anda Semua Untuk Memperbaiki Kelemahan. Selamat Membaca..

Novel : Misteri Cinta Rafflesia

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 || Bab 10 ||

Novel : Hati Kian Sepi

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 ||

Tuesday, April 28, 2009

Bab 4: Misteri Cinta Rafflesia (Novel)

BAB 4 : BISIKAN RAFFLESIA

“Rafflesia terlalu hebat. Pandangan pertama saja sudah cukup untuk menggegarkan jiwa. Bila dia bersuara ia pasti terus meresap ke dalam sanubari dan bila dia tersenyum, senyuman itu bisa melunturkan kepejalan hati yang keras. Pastinya tiada siapa yang dapat menahan panahan Cinta Rafflesia.”



DANIAL :

Sepanjang malam aku gagal untuk melelapkan mata. Wajah Rafflesia sering saja menjelma di dalam benak ini. Dimana-mana saja Rafflesia muncul. Di balik pintu, di balik cermin malah di sebalik langsir itu juga seolah-olah Rafflesia hadir bersama mengintai aku. Aku menjadi takut, tidak berani untuk melelapkan mata walau seketika.

Memang pertemuan aku dengan Rafflesia tadi suatu pertemuan yang indah. Kalaulah pertemuan itu suatu kenyataan pastinya aku adalah insan yang sungguh bertuah.

Rafflesia sememangnya terlalu ayu, penuh dengan kelembutan, sopan santun, bijak malah sungguh pandai mengambil hati. Ternyata aku insan yang amat hebat sekiranya dapat menakluki dan berjaya bertahta di hati Rafflesia.

Aku masih tidak pasti apa sebenarnya yang aku alami. Antara nyata dan khayalan. Penemuan mayat Rafflesia tadi mengesahkan Rafflesia memang tidak wujud lagi di alam maya ini. Dia telah pergi buat selama-lamanya. Namun persoalannya siapa yang menemani aku sepanjang perjalanan aku dari Rafflesia Information Centre hingga ke kilometer 15.95 Jalan Tambunan – Ranau tadi.

Adakah ini kali terakhir Rafflesia muncul dan mengganggu aku. Bagaimana pula selepas ini?. Mungkin juga Rafflesia boleh muncul lagi. Muncul dalam keadaan yang sungguh misteri, penuh dengan tarikan tetapi kemudiannya sekali lagi meninggalkan aku. Kalaulah begitu cara kehadirannya, rasanya aku tak sanggup menghadapinya lagi.

Rafflesia terlalu hebat. Pandangan pertama saja sudah cukup untuk menggegarkan jiwa. Bila dia bersuara ia pasti terus meresap ke dalam sanubari dan bila dia tersenyum, senyuman itu bisa melunturkan kepejalan hati yang keras. Pastinya tiada siapa yang dapat menahan panahan Cinta Rafflesia. Apalagi insan yang lemah seperti aku.

Aku menyelak langsir bilik Hotel. Kelihatan kabus masih lagi tebal menyelubungi di awal pagi ini. Cahaya mentari yang baru muncul seolah-olah sukar benar menembusi alam ini. Terpaksa berperang dengan tembok kabus yang tebal. Begitu juga rasa dijiwa ini. Ketenangan yang dicari menjadi sebaliknya. Semakin kusam, kusut dan semakin buntu.

Memang kekecewaan terhadap Lin kian luntur tapi jiwa ini benar-benar terganggu dengan kehadiran Rafflesia. Kini aku buntu sama ada aku harus meneruskan cuti aku di bumi Sabah ini atau segera pulang ke semenanjung.

Aku mengalihkan pandangan kepada kotak rokok ‘Sempoarna A’ yang berwarna putih yang terletak saja di atas meja. Memang aku bukanlah seorang penghisap rokok tegar. Tapi sesekali saja aku melayannya sekadar peneman sekiranya aku dalam kerunsingan atau kesunyian.

Aku mencapai kotak rokok dan dengan perlahan aku membuka penutup kotaknya, mujur ada sebatang lagi yang tinggal.

Aku mengambilnya lalu menyumbatkan puntungnya di celah bibir. Kemudian segera saja mencapai pencucur api dan dan menggesekkannya beberapa kali hingga menyala lalu aku cucuhkan pada hujung puntung rokok.

Aku menarik aromanya dalam-dalam. Rasa manis di bibir jelas terasa kemudian meluahkannya kembali dari muncung bibir. Aku menyedut asapnya untuk kali kedua namun aku rasa kini tiada langsung kenikmatan yang aku perolehi. Semuanya serba tidak kena lantas menonyohkan puntung rokok ke dalam astray yang sudah dipenuhi dengan puntung sejak malam tadi.

Aku rasa aku harus segera membuat keputusan. Cuti aku masih ada 3 hari lagi tetapi mood untuk bercuti rasanya sudah berada ditahap sifar. Fikiran aku kosong.

Aku menyelukkan tangan ke poket kocek seluar sebelah kanan lalu menyeluarkan sekeping syiling 50 sen. Mungkin di kala otak aku sukar membuat keputusan takdir lambungan syiling boleh digunakan.

Aku segera membelek syiling itu dan mamasang niat lalu melambung dan menangkapnya semula. Perlahan aku membuka genggaman tangan dan jelas gambar bunga raya dan tulisan 50 sen yang kelihatan. Takdir telah menentukan bahawa aku perlu pulang ke semenanjung dan membatalkan percutian yang diselubungi misteri ini.

Aku terus mencapai beg pakaian di tepi katil. Tak banyak barang yang aku telah keluarkan… hanyalah tuala dan baju panas berwarna hitam. Aku terus menyarungkan baju panas tersebut ke tubuh aku dan menyumbat tuala ke dalam beg.



Lobi Hotel Perkasa, Tambunan…

“Encik Danial…” aku menoleh apabila menyedari namaku dipanggil. Ternyata Sarjan Nazrul yang memanggil aku sambil melangkah masuk dari pintu utama hotel bersama seseorang yang langsung tidak aku kenali.

“Eh nak kemana ni? Kata nak bercuti di Sabah..”
“Saya nak balik KL tuan… saya nak batalkan cuti saya.” Aku berterus terang.

“Tapi kenapa? Kan awak baru sampai sini”

“Entahlah tuan saya dah tak ada mood nak bercuti”

“Sebab Noni ke?”

“Rafflesia…” Aku membetulkan nama yang disebut oleh Sarjan Nazrul. Dia hanya mengangguk dan menepuk-nepuk belakang aku. Mungkin dia paham perasaan aku ketika ini.

“Oh ya kenalkan ini Shah… bekas teman lelaki Noni. Dia lah yang telah melaporkan kehilangan Noni tempoh hari.” Sarjan Nazrul memperkenalkan aku kepada seorang lelaki yang agak kacak yang datang bersamanya. Memang Shah begitu secocok jika dipasangkan dengan Noni.

Shah menghulurkan tangan lalu mengukirkan senyuman. Aku menyambut tangannya dan cuba memaksa untuk membalas senyum Shah tetapi entah apa hasilnya. Mungkin agak tawar.

“Terima kasih Danial. Kalau tidak kerana awak mungkin mayat Noni tidak akan ditemui” Kata Shah.

Aku hanya melebarkan bibir umpama tersenyum. Cukuplah itu kerana itu saja yang mampu aku balas dari pujiannya tadi.

Entahlah atas dasar apa ucapan terima kasihnya itu. Aku bukanlah hero, penemuan Rafflesia bukanlah atas usaha aku. Penemun itu adalah suatu misteri yang aku sendiri sebenarnya tak ingin lalui.

Kalaulah masa boleh diundur mungkin aku lebih rela duduk saja di KL pergi ke Zoo Negara melayan kerenah orang utan yang nakal dari melayani tarikan Rafflesia yang begitu hebat tapi disudahi dengan kekecewaan yang begitu cepat. Sungguh menyeksakan.

“Tuan Nazrul, Shah… saya minta diri dulu, takut nanti tertinggal flight pula.”Aku memberi alasan untuk beredar lalu mengulurkan tangan dan bersalaman dengan mereka berdua.

Aku terus memalingkan muka lalu bergerak keluar melalui pintu hadapan hotel yang kini terbuka luas secara automatik apabila aku menghampiri.

“Encik Danial Afendi kan?” Tiba-tiba aku disapa oleh beberapa orang yang memegang buku nota kecil dan yang sebahagian lagi memegang kamera. Aku hanya mengangguk mengesahkan bahawa akulah Danial Afendi.

“Boleh tak encik ceritakan sedikit bagaimana peristiwa penemuan Noni tengah malam tadi…” Salah seorang dari mereka bertanya dan beberapa orang jurugambar yang lain terus menghalakan muncung kamera lalu aku terus disimbahi dengan nyalaan flash kamera yang bertalu-talu.

Aku tidak menjawab soalan mereka sebaliknya terus berdiam diri dan berlalu walaupun terus diajukan beberapa soalan yang lain secara bertalu-talu. Langsung tiada niat untuk aku menjawabnya. Aku benar-benar buntu ketika ini.


Perjalanan pulang ke Kota Kinabalu…

Perjalanan pulang dari Tambunan ke Kota Kinabalu amat berbeza dengan perjalanan dari Kota Kinabalu Ke Tambunan malam semalam. Semalam aku hanya melayan perbualan Rafflesia dan langsung tidak mengambil kisah tentang keadaan sekeliling yang gelap gelita.

Kali ini aku bersendirian tetapi aku terpesona dengan keadaan sekeliling. Pemandangannya sungguh indah dihiasi dengan kehijauan hutan dara yang masih belum diusik. Banjaran yang seakan sambung menyambung bergelombang turun dan naik kembali.

Pemandangan menghijaun ini disulami dengan perkampungan yang berkelompok-kelompok. Berbeza dengan perkampungan di semenanjung yang berjajaran sepanjang jalan. Keunikan yang mengalihkan sedikit ingatanku terhadap Rafflesia.

Aku benar-benar tidak dapat menikmati pemandangan indah ini pada malam tadi. Mungkin kerana kegelapan malam atau mungkin pula tumpuan aku hanyalah kepada Rafflesia.

Teringat kembali kepada Shah sebentar tadi. Kalau benar Shah adalah kekasih Rafflesia kenapa Rafflesia tidak memilih Shah untuk melalui misteri ini. Kenapa perlu aku yang langsung tiada kaitan dengannya ini. Yang datang dari jauh di seberang sana. Entah lah…

‘Rafflesia Information Centre’ Papan tanda itu begitu menarik perhatian aku. Di sinilah tempat pertemuan aku dan Rafflesia malam tadi. Jika malam tadi aku gagal untuk melihat keindahan bunga Rafflesia mungkin hari ini tuah aku berbeza.

Aku terus menyalakan lampu isyarat membelok ke sebelah kanan dan terus menuju ke Rafflesia Information Centre. Segera saja aku meletakkan kereta benar-benar tempat aku berhenti semalam. Aku yakin benar tempatnya adalah sama. Aku terus keluar dari kereta dan meninjau keadaan sekeliling.

Teringat kembali kepada pertemuan aku dengan Rafflesia malam tadi.

Aku mengalihkan pemandangan ke arah seberang jalan. Bukit yang agak tinggi kelihatan begitu menghijau. Mungkin di sinilah habitat yang paling sesuai untuk Rafflesia.

Aku terus melangkah masuk ke dalam dan mengabaikan kenangan pertemuan aku dan Rafflesia untuk seketika. Aku mahu melihat sendiri bunga keramat ini. Mungkin ada maklumat yang boleh aku temui yang mengaitkan bunga Rafflesia ini dengan misteri yang telah aku lalui. Siapa tahu…

Keadaan di dalam Rafflesia Information Centre amat tenang sekali, belum ada lagi pengunjung lain yang datang. Mungkin aku datang begitu awal, baru jam 8 pagi. Tetapi 8 pagi di Sabah amat berbeza dengan 8 pagi di Kuala Lumpur. 8 pagi di sini sudah agak terang, matahari sudah mula terik.

“Boleh tak saya nak tengok bunga Rafflesia?” Aku bertanya kepada petugas yag ada di situ.

“Boleh encik, tapi di sini pengunjung tidak dibenarkan berjalan sendirian, mesti berkumpulan mengikut masa yang ditetapkan” Katanya kepadaku membuatkan aku kurang berminat untuk menyusuri hutan melihat bunga Rafflesia. Aku lebih dambakan berjalan bersendirian tanpa gangguan orang lain. Aku mahu menenangkan fikiran yang semakin berkecamuk ini.

Aku terus beredar dan melihat pameran-pameran Rafflesia yang diletakkan di pondok kayu yang ada di situ. Tiba-tiba bebola mata aku tertarik pada sebatang sungai yang mengalir di situ. Deruan airnya begitu deras. Batu-batu besar menghiasi dan mengganggu pergerakkan air di sepanjang sungai.

Aku menuruni tebing sungai untuk ke gigi air yang begitu jernih belum tercemar. Mungkin Rafflesia juga begitu, belum tercemar, asli dan penuh kelembutan.

“Danial… Tolong Rafflesia” Aku tersentak apabila terpandang satu imbasan wajah Rafflesia berlalu bersama air yang mengalir dan disulami bisikan yang amat lemah yang singgah di telinga kiri aku. Serta merta aku menoleh tetapi langsung tiada sesiapa di sisi. Segera aku menarik kaki yang baru saja mencecah air.

Aku terus menyeduk air dengan kedua-dua belah tangan lalu meraupnya ke muka. Nyata aku bukan bermimpi, bukan juga khayalan tapi lintasan wajah dan bisikan itu seakan benar-benar wujud.

Entahlah pertolongan apa lagi yang Rafflesia mahukan dari aku. Semalam dia meminta aku menolongnya untuk menghantarnya pulang ke kilometer 15.95 dan aku hanya menuruti sahaja permintaannya dan akhirnya aku hanya menemui kekecewaan.

Teringat kembali kata-kata aku kepadanya malam tadi “Kalau Rafflesia mahu Danial tolong, walau Danial di semenanjung sekalipun Danial akan datang tolong…” Mungkinkah Rafflesia pegang kata-kata aku itu.

Aku semakin risau, aku seperti rasa terperangkap dengan kata-kata sendiri. Dengan janji yang telah aku kota. Aku berasa takut jika aku terus diburu dengan bisikan Rafflesia sebegini yang menuntut janjiku padanya. Tapi kata-kata itu aku ucapkan kerana aku tidak tahu bahawa Rafflesia sudah tiada. Entahlah siapa yang aku temui sepanjang malam tadi.

“Danial… Tolong Rafflesia…” Sekali lagi suara lembut itu berbisik… Aku terus terduduk menggigil ketakutan.

No comments:

Post a Comment