- -

Terima Kasih Atas Sokongan Anda Terhadap Nukilan Saya. Saya Akan Cuba Uploadkan Hasil Nukilan Saya Sekerap Yang Saya Mampu. Semoga Ia Memberi Pengajaran Dan Bererti Kepada Anda. Saya Juga Mengalu-alukan Komen Dari Anda Semua Untuk Memperbaiki Kelemahan. Selamat Membaca..

Novel : Misteri Cinta Rafflesia

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 || Bab 10 ||

Novel : Hati Kian Sepi

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 ||

Tuesday, May 5, 2009

Bab 5 : Misteri Cinta Rafflesia (Novel)

BAB 5 : TUMPAS KERANA RAFFLESIA

“Memang Zali penuh dengan sifat pendendam. Bukan sekali ini dia cuba sakitkan hati aku tapi telah berkali-kali. Lama aku membiarkan tetapi akhirnya merasa juga dia tapak kasut aku ini. Mungkin sedap rasanya makan tapak kasut berkicapkan darah dari mulut sendiri.”



DANIAL :

“Wah, sudah glamor kau sekarang. Tiga hari berturut-turut muka kau terpampang dalam surat khabar, macam artis…” Zali cuba memuji tetapi langsung tidak menarik perhatian aku. Aku hanya tersengih menghargai pujiannya itu.

Kisah misteri Rafflesia seolah-olah mengangkat aku sebagai seorang hero. Publisiti yang diberikan amat meluas. Penemuan dan pembunuhan misteri Rafflesia begitu menarik perhatian rakyat Malaysia.

Ada juga yang cuba mendapatkan maklumat lebih lanjut dari aku untuk menjadikan kisah itu suatu novel misteri. Mungkin mereka anggap aku begitu gembira melalui misteri ini. Mereka tidak tahu hakikat sebenar, betapa aku tertekan dengan misteri ini.

Misteri Rafflesia sebenarnya tidak hanya terhenti di Tambunan sebaliknya Rafflesia seakan terus mengekori aku hingga ke Kuala Lumpur. Bisikan Rafflesia selalu saja menyelinap masuk ke dalam gegendang telinga ini. Kadang kala membuatkan aku rimas tetapi jika bisikan itu tidak muncul aku seakan rindu pula dengan bisikan itu.

“En. Danial… En. Hakim panggil masuk office” Lina tiba-tiba datang menyampaikan berita.

“Bos panggil kau tu.. tentu nak bagi naik gaji. Maklumlah orang glamor..” Zali mula menyindir.

Sekali lagi aku hanya tersengih, langsung tiada niat untuk melayannya. Aku terus mengekori Lina ke pejabat meninggalkan mesin Stamping yang sedang aku laraskan. Mungkin ada berita gembira yang bakal aku terima. Mungkin juga benar kata-kata Zali aku akan dinaikkan gaji.

“En Hakim panggil saya..”

“Oh Danial… jemput duduk” Encik hakim menjemput.

Aku terus melangkah masuk ke dalam biliknya tanpa membantah lalu duduk di kerusi besi yang disaluti kain berwara biru yang terletak benar-benar di hadapan mejanya.

“Ada apa En Hakim… Ada model baru nak masuk ker”

“Tak lah… Danial, saya lihat awak macam ada masalah. Minggu lepas awak salah set machine. Tengok berapa banyak reject. Client complain lambat sebab kita kena buat rework.”

“Saya minta maaf En Hakim. Saya tak sengaja”

“Ini bukan soal maaf Danial. Awak macam tak ada tumpuan terhadap kerja. Saya rasa lebih baik awak ambil cuti. Awak tenangkan fikiran awak dulu. Sebelum ni awak pekerja yang bagus. Awak tak pernah buat silap tapi sekarang…. Bulan ni saja sudah dua kali Client complain.”

“Maaf En Hakim, saya tahu kesilapan saya. Saya akan cuba atasinya”

“Danial.. Awak ni engineer.. Tentu awak tahu berapa syarikat dah rugi kerana kesilapan awak. Awak cubalah lawan gangguan yang awak alami. Saya tahu kisah Rafflesia telah mengganggu konsentrasi dan emosi awak. Tapi awak perlu atasinya. Kalau awak ada masalah awak boleh berbincang dengan saya. Awak pekerja yang bagus dan saya tak mahu awak hanyut Danial…”

Panjang En Hakim membebel. Aku hanya diam endah tak endah. Mungkin benar katanya yang seolah-olah tahu betapa aku terganggu dengan misteri Rafflesia tetapi aku tak yakin dia tahu sejauh mana aku benar-benar terseksa dengan misteri itu.

Aku hanya mengangguk-angguk mendengar bebelan En Hakim. Kemudian setelah selesai aku terus keluar meninggalkannya. Aku harap En Hakim puas dapat meluahkan perasaan tidak puas hatinya.

“Macam mana Danial… Naik gaji ke?”

Zali seperti biasa terus menyibuk. Aku tak sangka dia sanggup menunggu aku di hadapan bilik En. Hakim semata-mata mahu menyibukkan diri.

“Tak ada apalah. Dia sound aku pasal kerja..” Aku menerangkan dengan harapan Zali dapat berhenti dari terus membuat gossip yang bukan-bukan.

“Oh pasal kerja. Ingatkan dia nak mintak kau kenalkan dia dengan kau punya Rafflesia…”

“Eh! Kau nak main benda lain aku tak kisah, tapi jangan sesekali kau permainkan kisah aku dan Rafflesia.”

“Amboi tak boleh sentuh langsung Rafflesia dia. Danial patut kau kena ambil kesempatan sekarang ni. Rafflesia dah buat kau jadi popular. Orang dah anggap kau hero. Kau dah glamor. Baik kau berhenti kerja lepas tu kau pegi berlakon.”

Zali memberi idea seakan mengejek. Dia langsung tidak mengendahkan peringatan aku tadi. Aku semakin kurang sabar dengannya. Dia memang suka menyakitkan hati ini.

“Dahlah Danial… Aku tahu kau kena marah pasal reject hari tu. Tulah aku cakap, kau berhenti saja kerja. Baik kau pergi berlakon. Entah kisah cerita dongeng mana kau reka… jangan-jangan kau yang bunuh dia…”

“Eh!! Kau ni dah melampau…”

Aku tidak dapat menahan sabar. Zali semakin melampau dan akhirnya satu tumbukan padu hinggap ke mata sebelah kanannya membuatkan Zali terduduk di lantai.

“Danial… Sabar Danial. Jangan layan budak tu. Dia tu gila.” Lina cuba menenangkan.

Nasib baik Lina ada kalau tidak mungkin sepatu ini akan hinggap pula di mulutnya. Baru dia rasa betapa sedapnya makan tapak kasut aku ini.

“Apa kecoh-kecoh ni.” Suara En Hakim tiba-tiba muncul dari belakang.

“Dia tu gila… tak pasal-pasal tumbuk saya…” Zali mengadu.

Aku malas nak berdebat. Memang aku yang menumbuknya, tapi dia dah melampau. Kesabaran aku juga ada batasnya.

“Danial… awak minta maaf pada Zali.” En Hakim menggunakan kuasa veto seolah-olah menghukum aku kerana bersalah. Aku langsung tidak mahu mengendahkan.

“Tak payah lah En Hakim… Dia tu gila. Cari publisiti murahan…” Zali terus mengejek. Kali ini aku biarkan saja.

“En Hakim… Danial tak salah. Zali yang tak habis-habis ejek dia..” Lina cuba menyebelahi aku.

“Sudahlah Lina, mentang-mentang Danial tu handsome kau saja menangkan dia. Alah aku tahu kau pun ada skandal dengan Danial kan…”

Zali terus menuduh. Aku tak dapat mengawal perasaan lagi, akhir tapak kasut aku ini benar-benar hinggap dibibirnya. Zali terus terbaring ke lantai.

Lina tercengang melihat apa yang terjadi. Entahlah sukar untuk aku mengawal perasaan kali ini. En Hakim terus membisu seribu bahasa seakan takut. Dia hanya menahan dadaku dengan tangan agar aku tidak terus menyerang Zali.

Zali terdiam tidak melawan. Mungkin mulutnya yang dipenuhi darah merah membuatkan dia tidak boleh berkata-kata lagi. Mungkin itu pengajaran yang paling berkesan untuk orang yang mempunyai mulut yang begitu jahat seperti Zali.

Tuduhan melulu Zali terhadap aku memang tidak boleh aku terima. Aku tidak membunuh Rafflesia, Aku juga tidak membuat cerita dongeng tentang Rafflesia untuk mendapat publisiti murahan. Aku juga langsung tiada skandal dengan Lina. Lagi pun aku tahu Lina isteri orang dan sudah mempunyai dua orang cahaya mata. Jangan main gila…

“Danial, saya rasa awak perlu rehat dulu. Tenangkan fikiran awak. Saya tahu awak tertekan.” En Hakim memberi nasihat.

Aku diam saja sambil menjatuhkan tangannya yang masih terlekat di atas dada aku. Rasanya tak perlu dia menenangkan aku lagi. Bagi aku satu tendangan sudah memadai untuk mengajar Zali. Tidak perlu lebih dari itu.

Aku terus berlalu meninggalkan mereka bertiga di situ. Zali cuba bangkit tapi ternyata dia tidak mampu. Uniform biru yang dipakainya kini basah dan kehitaman dicucuri darah yang masih mengalir dari mulutnya.

Tindakan Zali tadi memang melampau. Aku tahu Zali memang sudah lama tidak berpuas hati dengan aku. Mungkin dia tidak dapat melupakan kisah lama semasa kami sama-sama di universiti dulu. Dia memang benar-benar meminati Lin tetapi akhirnya Lin menjadi kekasih aku seterusnya tunang aku.

Semenjak dia tahu Lin curang terhadap aku, dia terus-terusan mengejek aku. Dia bagaikan memulangkan paku buah keras kepada aku.

Memang Zali penuh dengan sifat pendendam. Bukan sekali ini dia cuba sakitkan hati aku tapi telah berkali-kali. Namun kesabaran ini selalu saja menyelamatkannya.

Lama aku membiarkan tetapi akhirnya merasa juga dia tapak kasut aku ini. Mungkin sedap rasanya makan tapak kasut berkicapkan darah dari mulut sendiri.

“Danial… awak sabar ya. Zali tu memang macam tu. Semua orang tak suka dia.” Suara Lina tiba-tiba mengganggu gegendang telinga aku.

Aku berpaling ke arahnya dan Lina hanya mempamerkan wajah sayu.

“Terima kasih lah Lina. Saya dah ok.” Aku membalas.

Memang tadi Zali benar-benar mencabar kesabaran aku dan membuatkan jiwa aku terganggu tapi itu hanyalah sebahagian saja. Hakikat yang sebenar jiwa aku memang langsung tidak tenteram semenjak Misteri Rafflesia di Tambunan lagi. Usikan Zali tadi hanya menambah lagi kekusutan yang aku alami.

Lina terus berlalu meninggalkan aku. Mungkin dia yakin aku sudah kembali tenang sekarang.

Aku terus duduk menanggupkan muka ke bawah sambil meletakkan tangan pada dahi agar mukaku tidak menyentuh meja. Terasa berat sungguh kepala aku. Berdenyut-denyut umpama ditekan dengan satu cengkaman yang amat kuat.

Tiba-tiba seperti ada tangan yang memicit-micit bahagian belakang kepala aku. Sungguh melegakan. Mungkin Lina datang lagi kerana Lina seakan dapat merasa apa yang aku rasakan. Jiwa seorang wanita, jiwa seorang isteri dan jiwa seorang ibu…

“Danial.. sabar Danial…”

Aku terkejut dengan bisikan suara itu. Jelas itu bukan suara Lina tetapi itu bisikan Rafflesia. Aku segera menoleh sekeliling jelas tiada siapa yang ada.

Bisikan Rafflesia kembali lagi. Entah tangan siapa pula yang tadi seolah-olah memicit dan melegakan kepala aku buat seketika.

Aku mengambil sebatang pensil yang berdiri dalam cawan yang ada di atas meja. Itulah yang selalu aku lakukan setiap kali bisikan Rafflesia datang. Aku akan cuba melukiskan wajahnya. Mungkin juga bisikan itu hadir kerana kerinduan dan kerinduan itu akan sedikit reda apabila aku menatap potretnya.

“En Danial.. Ni ada surat..”

Aku tersentak lagi dengan satu suara. Jelas suara itu adalah suara Lina yang datang menghampiri. Aku mengosok-gosokkan mata beberapa kali untuk memastikan wajah itu benar-benar Lina.

“Terima kasih…” Lina tidak menjawab sebaliknya terus berlalu.


Per : Notis Berhenti Kerja

Adalah dengan dukacitanya pihak syarikat telah mengambil keputusan untuk melucutkan jawatan anda dalam masa 24 jam dari tarikh surat ini dikeluarkan.

2. Kami amat berterima kasih atas sumbangan yang telah anda berikan terhadap syarikat ini. Namun begitu pihak syarikat dengan berat hati terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap anda. Kami berharap anda akan lebih berjaya di masa akan datang.


Sekian Harap Maklum.


Yang Benar



…..………………….
Hakim Bin Ahmad
Pengurus Sumber Manusia.



Aku terkedu seketika membaca surat itu. Tetapi aku gagal menghasilkan sebarang reaksi melainkan hanya berdiam diri.

Adakah tindakan ini suatu keadilan?. Memang aku mengaku salah memukul Zali. Tetapi aku lakukannya kerana bersebab. Mungkin tindakan aku tadi satu tindakan yang agak melampau tetapi tindakan Zali juga rasanya lebih melampau. Dia yang menyalakan api kemarahan tetapi aku yang menerima akibat..

Aku terus dihukum tanpa sebarang pembelaan. Hukuman yang langsung tiada belas di kala aku diganggu oleh misteri dan bisikan Rafflesia. Namun aku terpaksa pasrah pada takdirNya.

Bagaimana dengan masa depan aku selepas ini? Kemana aku harus pergi dalam keadaan yang terhimpit dan amat menyesakkan ini?. Entahlah tak mampu aku fikirkan itu semua. Biar masa saja yang akan menentukan.

Aku yakin duniaku masih belum terhenti. Dunia akan terus berputar… begitu juga aku. Hidup mesti harus diteruskan walau apapun yang terjadi, kerana kehidupan adalah suatu tanggungjawab.

Apa yang aku alami kini adalah suatu ujian tuhan. Ujian yang mahu menjadikan aku lebih teguh dan kuat. Lebih percaya akan kekuasaanNya.

“Danial… Tolong Rafflesia…”

Bisikan Rafflesia terus hadir menghantui aku yang semakin tidak keruan. Semoga aku tidak tewas.

No comments:

Post a Comment