- -

Terima Kasih Atas Sokongan Anda Terhadap Nukilan Saya. Saya Akan Cuba Uploadkan Hasil Nukilan Saya Sekerap Yang Saya Mampu. Semoga Ia Memberi Pengajaran Dan Bererti Kepada Anda. Saya Juga Mengalu-alukan Komen Dari Anda Semua Untuk Memperbaiki Kelemahan. Selamat Membaca..

Novel : Misteri Cinta Rafflesia

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 || Bab 10 ||

Novel : Hati Kian Sepi

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 ||

Monday, April 20, 2009

Bab 2 : Misteri Cinta Rafflesia (Novel)

BAB 2 : MISTERI SI RAFFLESIA

“Aku terpaku melihat wajah ayu bermata bundar dengan lesung pipit di kedua-dua belah pipi. Wajah yang sedehana, namun ayu pada pandangan mata lelakiku. Sungguh, hatiku benar-benar terpikat tatkala pertama kali aku memandangnya. Siapakah gerangan gadis berwajah polos itu. Naluri hatiku benar-benar mendesak untuk mengenalinya…”



DANIAL :

Hari semakin petang, waktu menghampiri jam 6.30. Aku duduk mengadap ke luar jendela hotel tempat aku menginap sambil memerhati terbenamnya mentari senja. Pemandangan yang menarik dan memberikan aku seribu ketenangan.

Aku ingin lari dari kehidupan dan kesibukan kota demi mencari ketenangan dan mengembalikan semula semangat yang telah hilang ekoran kecurangan Lin. Nostalgia lalu telah memberikan impak yang begitu besar dalam mempengaruhi emosi ini.

Aku membuka bagasi pakaian dan mengeluarkan sekeping peta yang sengaja aku bawa bagi memudahkan perjalanan di bumi Sabah yang aku kira agak asing ini. Sebenarnya, inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke bumi Sabah. Sebelum ini aku hanya mendengar cerita-cerita daripada teman-teman yang pernah berkunjung ke sini di samping mendapat maklumat menerusi laman internet.

Aku teringat kembali replika bunga Rafflesia yang aku lihat petang tadi. Memang mengujakan. Menurut makcik di gerai cenderahati, aku boleh melihatnya di Pusat Maklumat Rafflesia yang terletak di antara jalan menuju Ke Tambunan.

Aku terus membelek-belek peta di tangan lalu memfokuskan pandangan pada jalan Kota Kinabalu dan Tambunan. Tidaklah begitu jauh cuma jalannya agak berliku. Akhirnya aku membuat keputusan untuk bertolak selepas Maghrib dan akan bermalam di Tambunan.

Selesai sahaja solat Maghrib, aku terus mendapatkan kereta sewa yang telah ditempah siang tadi. Arah tujuanku adalah ke Tambunan, satu daerah yang dikelilingi oleh banjaran yang berasal dari gabungan nama dua puak iaitu puak Tamadon dan Gombunan. Dua puak yang bergabung untuk menentang puak Tonsundung yang jahat dan angkuh.

Sabah memang penuh dengan pelbagai mitos dan cerita rakyat. Terlalu banyak puak dan juga suku kaum. Tetapi mereka boleh hidup dalam satu rumpun dengan aman tanpa sebarang perselisihan. Itulah antara keunikan yang ingin sekali aku hayati.

Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tambunan memang agak berliku ditambah pula di dalam suasana yang gelap di waktu malam. Satu lagi pengalaman baru bagiku.

Jika di Kuala Lumpur aku sentiasa dihidangkan dengan lebuhraya bertaraf dunia dengan lampu jalan yang menerangi sepanjang jalan, namun keadaan itu berbeza di sini. Keadaan jalan yang berliku-liku, sunyi sepi dan gelap gelita memberikan cabaran buatku. Keadaan hujan renyai yang turun menyukarkan lagi pemanduan.

Aku memandu dengan kelajuan yang sederhana. Keadaan jalan yang tidak begitu memuaskan menghalang aku untuk memandu dengan halaju yang tinggi. Wira Sedan 1.5 kupandu dengan kelajuan sekitar 60 hingga 70 km/j membelah kepekatan malam. Kesempatan yang memberikan aku ruang untuk menghirup udara malam sambil melayan perasaanku yang sedang rawan.

Lebih kurang 40 minit perjalanan dari Kota Kinabalu akhirnya aku sampai di kilometer 58 dan aku berhenti seketika di "Rafflesia Information Center".

Mungkin inilah peluang untuk aku melihat bunga yang terbesar di dunia yang telah diiktiraf oleh 'Guinness Book Of Record'. Perasaan bangga terhadap tanah air tiba-tiba menyelubungi diri. Mungkin kerana aku memang seorang yang agak patriotik.

Aku membuka pintu kereta dan serta merta bayu yang sungguh sejuk hinggap ke tubuh ini. Begitu terasa hingga ke tulang sum-sum. Aku keluar perlahan-lahan sambil memeluk tubuh akibat kesejukan.

Aku memerhatikan keadaan sekitarnya namun keadaan di situ sunyi sepi walaupun ada cahaya lampu yang menerangi sekitar kawasan.

"Kenapa encik? Ada apa yang boleh saya bantu" Tiba-tiba aku disapa oleh seorang gadis dari arah belakang. Aku terkejut lantas terus menoleh.

Aku terpaku melihat wajah ayu bermata bundar dengan lesung pipit di kedua-dua belah pipi. Wajah yang sederhana, namun ayu pada pandangan mata lelakiku ini. Sungguh, hatiku benar-benar terpikat tatkala pertama kali aku memandangnya. Siapakah gerangan gadis berwajah polos itu. Naluri hatiku benar-benar mendesak untuk mengenalinya.

"Kenapa Encik...?" Aku bagai tersentap dan kembali ke alam nyata apabila gadis itu kembali bertanya. Segan juga rasanya kerana pastinya gadis ayu itu perasan akan kegugupanku.

"Sebenarnya, saya datang sini nak tengok bunga Rafflesia, tapi kenapa sunyi saja?" aku berkata sambil mataku tidak lepas dari terus menatap wajah manis yang tiba-tiba menggetarkan hati dan naluri ini.

"Dah tutup dah Encik...Esok sajalah encik datang" Gadis itu menerangkan dan aku hanya mengangguk perlahan dengan jawapan itu.

"Takpelah, terima kasih.." Jawabku ringkas lantas masuk kembali ke dalam kereta dengan perasaan yang sedikit hampa.

Aku duduk terpaku seketika di kusyen kereta. Entahlah kenapa tiba-tiba dadaku merasa sungguh berdebar apabila berdepan dengan gadis itu. Jiwaku tiba-tiba kosong. Lupa akan kekecewaan, lupa akan kesedihan dan lupa akan wajah Lin yang selalu bermain di kamar hati.

Sepantas kilat wajah itu mencuri naluri ini. Wajah yang sungguh ayu walaupun hanya diterangi lampu neon yang berada di tepi jalan. Sinar matanya membuatkan jiwaku lemas dalam emosiku sendiri. Jiwaku meronta-ronta untuk terus mengenali gadis itu. Tapi…

"Takpelah.." bisik hati ini yang bagai kecewa. Malu yang keterlaluan dan mungkin juga sebenarnya tidak “gentleman”. Sememangnya sukar bagiku untuk menghulurkan salam perkenalan. Bukannya sombong tapi mungkin malu…

Fitrah semulajadi yang cuba kukikis dari dalam diriku sejak sekian lamanya. Namun orang-orang yang rapat denganku pasti mengetahui bagaimana sikap aku yang sebenar. Memang awalnya aku pendiam tapi bila aku sudah serasi komunikasi itu akan sendirinya terjadi.

Aku akan berubah menjadi seorang yang suka berjenaka dan membuat onar kepada teman-teman. Mula-mula memang diam tetapi bila dah kenal pasti gamat dibuatnya, bak kata Stacy penyanyi baru kelahiran Sabah “Terlebih Sudah…”

Aku menghidupkan enjin kereta dan memandang ke belakang menerusi cermin hadapan sebelum mengundurkan kereta wiraku. Pandanganku tiba-tiba terhenti apabila melihat gadis tadi melangkah menuju ke arahku.

"Ya cik. Boleh saya bantu?" Aku membuka cermin tingkap lantas bertanya kepada gadis tersebut.

"Awak nak kemana?" Dia tidak menjawab, sebaliknya bertanya kepadaku.

"Tambunan.." Jawabku ringkas.

"Boleh saya tumpang..?" dia bertanya...

Aku terdiam buat seketika… terpaku, kemudian mengangguk bagaikan tidak sengaja. Gadis itu terus saja masuk ke dalam kereta Proton Wira yang kusewa tanpa dipelawa lalu duduk di bahagian tempat duduk hadapan penumpang bersebelahan aku. Aku terus terpaku diam seribu bahasa lalu memutarkan stereng meneruskan perjalanan ke Tambunan.

Sepanjang perjalanan, lidahku kelu dan tidak mampu untuk menuturkan sebarang kata-kata. Suasana bisu menemani perjalanan kami berdua. Aku cuba untuk memulakan perbualan, namun setiap kali cuba untuk membuka mulut, lidahku seolah-olah tidak mampu untuk menuturkannya. Hanya sesekali ekor mataku liar melirik kepada wajah ayu gadis tersebut. Wajah yang sederhana tetapi begitu asli tanpa sebarang ‘make-up’.

Dia tersenyum saja. Mungkin malu diperhatikan sebegitu. Aku tahu dia perasan aku mencuri pandang ke arahnya. Dan mungkin dalam hati dia mentertawakanku, alim-alim kucing… Malu tapi suka.

"Kenapa encik diam saja? Saya minta maaf sebab mengganggu perjalanan encik. Saya tertinggal bas tadi." Gadis itu bersuara memecah kesunyian perjalanan yang bungkam.

"It’s ok…At least saya ada teman”, aku membalasa sambil tersengih sehingga menampakkan gigiku yang tersusun rapi.

“Boleh juga awak tunjukkan jalan di sini". Aku kembali menyambung kata-kata.

"Nama saya Rafflesia. Nama encik siapa ?" Aku terdiam seketika apabila mendengar nama itu.

"Oh patutlah" bisik hatiku. Mukanya yang bulat, dagunya yang tajam umpama kelopak Rafflesia, warna kulit yang putih tapi kemerahan sedikit. Memang nama itu sungguh sesuai dengan wajah anggun gadis genit ini.

"Sapa nama encik ?" dia mengulangi pertanyaanya apabila aku tidak menjawab persoalannya tadi.

"Tak payah panggil encik. Panggil Danial saja. Danial Afendi" Jawabku.

"Oh sedap nama tu. Sesuai dengan orangnya yang kacak.” Dia memuji aku.

Aku tersipu-sipu dibuatnya. Kalaulah gadis yang seayu ini menyatakan aku kacak sudah tentulah aku benar-benar kacak, berbeza dengan gadis pecah seribu apabila menyatakan aku kacak, belum tentu akan kekacakannya. Kalau kacak pun tentulah kacak yang sama taraf dengan pecah seribunya.

Tiba-tiba aku tersenyum. Tersedar bahawa aku telah berbangga dan memuja diri sendiri secara tidak sengaja. “Ya Allah… Kau tutupkan lah kembali pintu neraka kerana riakku”. Hati ini tersedar lalu menginsafi diri.

Teringat kembali kata-kata seorang ustaz dalam ceramah yang penah aku hadiri sewaktu di universiti, apabila kita merasa riak dan bangga terhadap diri sendiri, seolah-olah kita membuka pintu neraka, Nauzubillah…

“Tentu awak bukan orang sini..." Tambah Rafflesia cuba meneka.

“Ya, saya dari KL…saja jalan-jalan di Sabah mencari ketenangan.”

“Ketenangan? Di KL tiada ketenangan?” Rafflesia menyoal membuatkan aku sukar untuk menjelaskan.

“Ada... tapi di Sabah ni ada yang sungguh istimewa yang tiada di KL.” Aku memberitahu.

“Apa dia…?” Soal Rafflesia seakan tidak sabar.

“Rafflesialah…” Aku memberitahu.

Rafflesia tersenyum malu tatkala aku selesai menuturkan kata-kata itu. Wajahnya yang putih kelihatan kemerahan, mungkin malu mendengar kata-kataku. “Arghhh… ayunya wajahmu. Jangan sampai aku membawamu ke alam mimpi”, bisik hatiku yang nakal.

“Rafflesia memang istimewa di Sabah… bukannya saya tapi bunga Rafflesia. Sebab tu ramai pengkaji dan pencinta dari serata dunia terbang ke sini hanya kerana ingin menikmati keunikannya…” Rafflesia cuba mengalihkan pandangan.

“Tapi Rafflesia yang ini juga unik dan tidak kurang istimewanya…” Aku terus memuji.

“Ah.. merapek lah… Saya taulah saya ni comot tapi jangan lah perli sebegitu” Rafflesia menukar rentak kata. Dia pandai bermain kata-kata dan tidak cepat makan pujian walaupun sedar aku ingin memujinya menggunung. Aku hanya tersenyum seakan memerli.

Aku terus melayan perbualan Rafflesia. Setelah sekian lama mendiamkan diri, kini baru aku sedari bahawa Rafflesia ternyata seorang yang agak peramah. Seronok aku mendengar cerita bagaimana ibunya memberikan nama Rafflesia kepadanya. Peristiwa lucu mengidam mahu melihat bunga Rafflesia semasa mengandungkannya.

Seronok juga aku mendengar mitos tentang cerita pahlawan Gombunan yang membuka daerah Tambunan. Bagaimana puak-puak yang berlainan bergabung dan bersatu demi mencari kebenaran dan keadilan. Satu mitos yang penuh pengajaran.

Nyata sekali gadis ayu ini begitu unik. Pakaian yang agak terdedah dan seksi langsung tidak mencerminkan budi bahasanya yang sopan dan penuh kelembutan. Tidak lupa pada nilai ketimuran, tidak lupa pada sejarah malah pandai mengambil hati. Yang pasti seketika saja dia telah berjaya mencuri hati dan tumpuanku.

"Dah sampai Tambunan ini... Rumah Rafflesia di mana?" Aku bertanya apabila terpandang Papan tanda bertulis 'Bandar Tambunan'.

"Depan tu ada simpang…tempat saya belok kiri... kilometer 15.95... " Rafflesia menerangkan.

"Wah lengkap sungguh kilometernya" aku mengusik.

"Mestilah...Sebab saya nak jemput awak datang." Jawab Rafflesia lalu kami ketawa kecil. Jelas dia serius walaupun dalam tawanya.

"Danial awak boleh tolong saya?" Rafflesia kembali bersuara.

"Kalau Rafflesia minta tolong walaupun saya di semenanjung sekalipun, pasti saya akan datang membantu. Saya kan Superman. " Aku menjawab dengan nada bergurau.

Kami ketawa lagi. Puas aku melihat wajah Rafflesia yang girang. Sentiasa tersenyum dan ketawa. Semakin dia senyum semakin terserlah keayuannya. Ingin sekali aku merakamkan gambarnya tatkala dia tersenyum. Tapi buat masa ini cukuplah sekadar aku merakamkannya dilubuk sanubari ini.

"Kalau begitu boleh hantarkan saya pulang di kilometer 15.95 ?" Pinta Rafflesia lagi seakan-akan terlalu mengharap. Mungkin tiada cara lain untuk dia pulang di waktu malam yang semakin lewat sebegini.

"Baiklah..." aku membalas sambil memandang wajah Rafflesia yang penuh mengharap. Nescaya sesiapa saja tak akan sanggup untuk membiarkan harapan seorang gadis yang bisa menzahirkan wajah yang penuh emosi itu. Mungkin inilah wajah seorang insan yang begitu ikhlas. Isi hatinya boleh terpancar hingga ke raut cahaya wajah.

Sesekali terlihat kilauan rantai emas halus dihiasi loket berbentuk hati yang menghiasi dada Rafflesia. Perhiasan yang ringkas tetapi memadai untuk menghiasi wajah ayunya itu. Kecil tapi menawan.

”Rafflesia saya singgah sebentar untuk Check-In ya” Aku meminta kebenaran.

“Eh.. Saya tak mahu naik…” Rafflesia memberitahu sambil menggoyangkan kedua belah tangannya tanda tidak mahu.

“Memang lah.. Saya pun tak naik.. Hanya daftar saja.” Aku menerangkan sambil melihat wajah Rafflesia yang sedikit pucat.

Aku terus memberhentikan kereta benar-benar di hadapan Lobi Hotel Perkasa.

“Rafflesia tunggu sebentar ya, saya ‘check-in’ bilik kejap”. Aku meminta supaya Rafflesia menungguku di dalam kereta dan terus menuju masuk ke lobi Hotel Perkasa.

Setelah mendapatkan kunci bilik, aku kembali semula ke kereta. Rafflesia hanya tersenyum apabila melihat aku melangkah menghampiri. Lantas segera aku melambaikan tangan padanya membuatkan Rafflesia membalas dengan senyuman yang sungguh manis.

“Awak lambai pada sapa?” Tiba-tiba aku ditegur oleh pengawal keselamatan yang berdiri di pintu masuk hotel. Aku tidak menjawab sebaliknya hanya menuding jari pada Rafflesia yang masih setia menanti di dalam kereta.

Pengawal Keselamatan itu membengkokkan leher cuba memerhatikan. Kemudian memandang aku dengan wajah yang amat pelik.

Aku hanya tersenyum. Mungkin dia pelik bagaimana aku dapat bersama dengan gadis yang sebegitu ayu.

“Apa salahnya, aku pun kacak juga.” Bisik hatiku membangga diri.

“Maaf Rafflesia.. lambat sikit…”

“Tak apa…asalkan Danial sudi bantu Rafflesia…” balas Rafflesia dengan senyuman yang tidak pernah lepas dari bibirnya sentiasa basah.

“Apa sangat lah setakat hantar pulang.. Rafflesia temankan perjalanan Danial malan ni pun dah cukup istimewa…” Aku mengendurkan sedikit rasa bersalah yang mungkin Rafflesia rasai. Sebenarnya aku sendiri yang begitu teruja untuk melihat sendiri kampung halaman Rafflesia.

Aku dan Rafflesia terus menuju ke arah daerah Ranau untuk menghantar Rafflesia pulang. Perjalanan yang agak mencabar kerana kegelapan malam dan melalui jalan raya di tebing bukit Banjaran Croker.

Kami terus berbual sambil bertukar-tukar cerita. Menerusi ceritanya, ternyata gadis ayu ini meminati tarian tradisional. Sambil bercerita, Rafflesia melenggokkan badan dan jari jemarinya yang runcing, nyaris tertusuk ke lubang hidung aku. Aku mengelak sedikit membuatkan Rafflesia tergelak kecil. “Ops… Maaf Bah…”

Rupa-rupanya, Rafflesia bekerja sambilan sebagai salah seorang penari tarian tradisional di Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan negeri Sabah. Suatu kerjaya yang jauh berbeza dengan diriku.

Setiap hari aku terpaksa berhadapan dengan mesin dan staf-staf bawahanku yang kadangkala memeningkan kepala. Sementara Refflesia pula berdepan dengan orang ramai memperagakan tarian tradisional warisan nenek moyangnya zaman- berzaman.

Walaupun cara kehidupan kami berbeza, namun hatiku mengakui bahawa Rafflesia bukan sahaja cantik tetapi juga bijak dalam mengutarakan pendapat dalam apa jua topik yang kami bicarakan.

Ternyata dia sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan hatiku semakin mengagumi kepetahannya tatkala berdebat tentang isu politik yang aku utarakan. Aku sebenarnya sengaja membuat provokasi terhadap Rafflesia untuk melihat reaksinya. Nyata gadis ini mempunyai pendirian yang begitu tetapi dan pantang menyerah kalah. Ilmu dan maklumat penuh di dada dan aku seakan tidak percaya dia mempunyai pengetahuan sebegitu.

Tiba-tiba aku terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan tayar belakang keretaku, lalu terpaksa memberhentikan kereta di bahu jalan. Dalam kegelapan aku terpaksa keluar dari kereta untuk memeriksa tayar belakang sebelah kiri. Benar tekaanku. Tayar keretaku pancit. Mujurlah aku ada membawa lampu suluh.

"Rafflesia…Awak tolong pegangkan lampu suluh.. saya nak tukar tayar... tayar kereta pancit lah.. " Aku meminta tolong kepada Rafflesia dengan nada yang agak kesal. Rafflesia mengangguk mendegar permintaanku.

Aku mengeluarkan tayar ganti dari bonet kereta. Rafflesia hanya memandang dengan wajah yang agak gelisah.

Mungkin dia merasa tidak selesa dengan keadaan yang agak gelap dan gigitan nyamuk yang menjamah pangkal pahanya yang terdedah, maklumlah malam itu Rafflesia hanya mengenakan blouse dan skirt yang agak pendek.

Bunyi cengkerik sungguh meriuhkan suasana malam yang sepatutnya sepi. Jelas kedengaran bunyi desiran angin yang meniup pepohon di sekitar tempat kami memberhentikan kereta. Suasana agak dingin dan meremangkan bulu romaku.

Aku sebenarnya seorang yang agak penakut. Namun, aku terpaksa memberanikan diri di hadapan Rafflesia, wanita yang telah berjaya menambat hatiku walaupun baru sahaja kukenali. Aku malu kalau dia melihat akan kekuranganku. Fitrah semulajadi seorang lelaki, sentiasa ingin kelihatan hebat dan sempurna di mata wanita apatah lagi jika wanita itu telah berjaya menambat hatinya.

Mataku sempat melirik ke arah Rafflesia yang duduk mencangkung menemaniku menukar tayar kereta. Wajahnya kelihatan layu dan sedikit muram, mengantuk barangkali. Belas aku melihat wajahnya. Tetapi apakan daya, malang ini datang secara tiba-tiba tanpa disangka.

"Kenapa Rafflesia?..." Aku bertanya sambil memusingkan skru terakhir tayar kereta.

"Rafflesia minta maaf sebab susahkan Danial...." Rafflesia menjawab lemah..

"Tak ada apa. Ini semua dah takdir....atau sebenarnya Rafflesia takut Danial apa-apa kan Rafflesia… maklumlah gelap ni… Tapi, Rafflesia jangan risau… Danial bukan jenis yang macam tu..." Aku cuba bergurau sambil memasukkan tayar yang pancit ke dalam bonet kereta. Rafflesia hanya diam mendengar gurauanku tanpa sebarang kata-kata.

Aku terus sahaja menutup bonet kereta apabila selesai mengemas peralatan yang aku gunakan sewaktu menukar tayar kereta tadi. Hatiku berdetak kencang apabila Rafflesia tiba-tiba sahaja hilang pada pandangan bola mataku. Hanya lampu suluh yang ditinggalkan di atas bumbung kereta. Aku bingung sambil mataku liar mencari-cari di mana Rafflesia.

"Ah!! mungkin dia ada dalam kereta…" Bisik hatiku.

Aku terus melangkah menuju ke arah tempat duduk pemandu dan membuka pintu kereta untuk memastikan bahawa Refflesia berada di situ. Ternyata aku silap, dia tiada di tempat duduknya

Pandanganku tertangkap ke arah batu penanda jalan yang berada lebih kurang 50 meter dari keretaku. Dalam kesamaran malam, aku masih mampu melihat dengan jelas tulisan di batu penanda tersebut tertulis 'KM 16'. Ini bermakna, aku kini berada di kilometer 15.95, tempat yang menjadi destinasi tujuan Rafflesia.

Mataku masih meliar mencari-cari kelibat Rafflesia. Cuba memberanikan diri dalam keadaan yang mencemaskan. Aku hanya melihat pepohon yang merimbun di kiri dan kananku. Angin sepoi-sepoi malam membuatkan tubuhku yang hanya dibaluti T-shirt berlengan pendek kedinginan. Perasaanku menjadi tidak keruan, cemas dan berdebar-debar. Macam-macam perkara dan andaian tiba-tiba muncul di benak fikiranku.

Aku cuba untuk mengingati beberapa ayat lazim yang sememangnya kuhafal untuk memulihkan kembali semangatku. Dalam keaadaan yang cemas, aku tidak mampu untuk membaca ayat-ayat tersebut dengan lancar sehingga aku sendiri tidak tahu butir bicaraku. Entah apa yang aku baca… Tunggang terbalik agaknya.

Aku masuk ke dalam kereta dan memecut keretaku selaju mungkin sambil mulutku tidak henti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Sesungguhnya dengan berzikir kepada Allah aku dapat mengurangkan sedikit gumpalan ketakutan dan kesedihan dari dalam diriku. Sebenarnya itu adalah salah satu nikmat yang jarang bagi kita umatNya untuk menghayati.

Aku mengambil keputusan untuk berpatah balik ke arah Tambunan dan kembali ke hotel yang telah ku sewa sewaktu dalam perjalanan untuk menghantarkan Rafflesia ke destinasi yang dimintanya tadi.

Memang salah anggapan aku. Aku merasakan Rafflesia tinggal di suatu perkampungan yang damai, rumah-rumah yang agak berkelompok dan riuh dengan suara kanak-kanak bermain girang, sebaliknya kilometer 15.95 hanyalah suatu tempat yang begitu sunyi, yang begitu mengerikan dan hanya dikelilingi oleh hutan rimba.

Aku bingung memikirkan kejadian yang baru sahaja aku alami. Wajah Rafflesia yang pada mulanya ceria dan gembira, tiba-tiba sayu dan dia terus hilang meninggalkan aku.

Siapakah Rafflesia? Adakah dia hanya jelmaan semata-mata? Kenapa dia muncul dalam hidupku? Menganggu emosiku…Ke mana dia menghilang? Begitu banyak persoalan yang tidak dapat aku rungkaikan bermain dalam kotak fikiran ini.

Aku meneruskan pemanduanku dengan debaran yang masih belum reda. Aku tidak pasti berapa kelajuan yang kucapai ketika aku menekan pedal minyak keretaku. Jalan yang berliku kurasakan lurus. Perasaan takut mengatasi segala-galanya.

Tanganku sedikit menggeletar sewaktu aku memegang stereng kereta. Peluh jantan mengalir laju walaupun penghawa dingin berada pada had maksimum.

Aku cuba menumpukan perhatian pada pemanduanku. Otakku tidak henti-henti memikirkan misteri kehilangan Rafflesia. Masih terbayang di mindaku keayuan wajah Rafflesia. Wajah yang ceria pada mulanya, tiba-tiba menjadi muram dan terus luput dari pandangan. Di manakah Rafflesia menghilang? Hatiku terus tertanya-tanya.

No comments:

Post a Comment