- -

Terima Kasih Atas Sokongan Anda Terhadap Nukilan Saya. Saya Akan Cuba Uploadkan Hasil Nukilan Saya Sekerap Yang Saya Mampu. Semoga Ia Memberi Pengajaran Dan Bererti Kepada Anda. Saya Juga Mengalu-alukan Komen Dari Anda Semua Untuk Memperbaiki Kelemahan. Selamat Membaca..

Novel : Misteri Cinta Rafflesia

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 || Bab 10 ||

Novel : Hati Kian Sepi

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 ||

Friday, May 8, 2009

Bab 6 : Misteri Cinta Rafflesia (Novel)

BAB 6 : BAYANGAN RAFFLESIA

“Hari ini niat aku adalah untuk mendapatkan Rafflesia. Apa pun terjadi aku akan pastikan niat aku tercapai. Rafflesia akan benar-benar hadir dalam hidup aku. Hadir dalam keadaan yang nyata. Aku tak suka diganggu oleh bayangan Rafflesia lagi”



DANIAL :

Masa terus berlalu meninggalkan aku. Meninggalkan kisah Rafflesia yang dulunya begitu hangat... sentiasa menghiasi muka depan tabloid yang menjadi tumpuan masyarakat yang simpati akan kematian Rafflesia yang sungguh mengharukan.

Secara tiba-tiba nama aku juga turut popular. Mereka anggap aku insan misteri yang hadir membantu menemukan mayat Rafflesia dengan cara yang agak mistik. Mereka anggap aku sebagai hero, tapi hakikatnya aku tidak pernah mahukan semua itu. Misteri Rafflesia bukanlah suatu yang seronok untuk dilalui seballiknya suatu keperitan yang nyata.

Berbulan kisah Rafflesia telah berlalu. Namun aku masih tidak dapat melupakan misteri Rafflesia. Bayangan Rafflesia seolah-olah sentiasa mengekori. Bisikannya juga setiap hari menusuk lembut ke gegendang ini.

Tidur malamku juga sering diganggu mimpi Rafflesia, datang memanggil-manggil seolah-olah mengajak aku pergi bersama-samanya. Namun setiap kali aku ingin menghampiri, bayang itu akan hilang… ghaib begitu saja.

Sesekali apabila aku keseorangan terasa Rafflesia bagaikan hadir menemani aku. Memang jasadnya tidak nampak tapi aku dapat merasakan kehadirannya. Terasa bagai ada sesuatu yang sentiasa memerhatikan aku... kemudian berbisik lembut memanggil namaku melalui tiupan angin yang berhembus.

Aku sendiri tidak pasti sudah berapa lama aku tidak bekerja. Pergaduhan aku dan Zali juga telah lama aku lupakan. Kereta Proton Waja yang aku beli juga sudah ditarik balik oleh pihak bank. Sewa rumah pun aku tak mampu langsaikan.

Entah sampai bila aku harus berterusan sebegini. Duduk di rumah terbengkalai. Siang aku merayau, malam pula aku hanya bertemankan sinaran pelita yang samar, tidur beralaskan kotak buruk, ditemani nyanyian nyamuk yang membingitkan telinga. Suatu kehidupan yang terlalu asing bagi aku. Dulu memang begitu asing, tapi semakin lama aku rasa ia semakin selesa.

Kehidupan lalu semakin jauh aku tinggalkan. Kehidupan baru yang aku lalui ini semakin menarik. Aku tak kisah apa orang nak kata. Bebas lakukan apa yang aku mahu. Aku boleh menjerit, menyanyi, menangis malah tertawa sesuka hati.

Ada yang kata aku gila padahal aku memang tidak gila, aku masih siuman. Mungkin mereka yang mengatakan aku gila itu sebenarnya dengki dengan apa yang aku kecapi kini, sama seperti zali. Hati busuk… Pendengki…

Peduli apa orang nak kata. Hakikatnya kehidupan usang ini membuatkan aku lebih gembira. Setiap malamku pasti akan ditemani Rafflesia yang sentiasa memerhatikan aku dari sudut sana. Itu sudah cukup membuatkan jiwa ini gembira dan mampu untuk membuatkan aku sentiasa tersenyum. Ah!… Itu hanyalah potret Rafflesia yang aku lukis.

Hari ini aku pasti akan dapatkan Rafflesia yang sebenar. Orang kata Rafflesia sudah mati. Sudah disembahyangkan, sudah dikapankan dan telah dikebumikan, tapi aku langsung tidak percaya itu semua malah aku tetap yakin bahawa Rafflesia masih hidup. Masih bernyawa dan masih segar menyusuri kehidupan di muka bumi ini.

Sudah tiga minggu aku perhatikan dia berjoging setiap petang Sabtu di Taman KLCC. Aku benar-benar yakin dialah Rafflesia. Susuk tubuhnya, ikal rambutnya yang mengerbang, lirik senyumannya memang sama dan saling tak tumpah dengan Rafflesia yang pernah aku temui suatu ketika dahulu, malah rantai emas berloket berbentuk hati juga masih lagi tersemat di dada Rafflesia. Bergoyang ke kiri dan ke kanan apabila dia berlari.

Tapi aku begitu pelik. Rafflesia seolah-olah tidak mengenali aku lagi. Setiap kali aku cuba menegurnya pasti dia akan terus berlari meninggalkan aku.

Mungkin dia sudah lupa kepada aku yang pernah bertemu di Tambunan dulu, Tak apalah kalau begitu kerana aku tetap akan merinduinya. Atau adakah dia sudah ada kekasih baru? Atau dia telah kembali dengan Shah. Ah! aku tak kisah dengan semua itu… Aku rela bertarung dengan sesiapa saja demi mendapatkan Rafflesia.

Lagipun aku langsung tidak percaya jika Rafflesia punya kekasih lain kerana jika dia ada kekasih lain tak mungkin dia terus berbisik mengharapkan aku menolongnya, menagih janji yang pernah aku ucapkan dulu. Aku pasti Rafflesia adalah untuk aku dan hari ini aku akan buktikan hakikat itu.

Hari ini niat aku adalah untuk mendapatkan Rafflesia. Apa pun terjadi aku akan pastikan niat aku tercapai. Rafflesia akan benar-benar hadir dalam hidup aku. Hadir dalam keadaan yang nyata. Aku tak suka diganggu oleh bayangan Rafflesia lagi.

Mentari senja mula terbenam meninggalkan cahaya kemerahan di ufuk timur. Wajah Rafflesia jelas keletihan tapi senyumannya tetap ayu. Tetap memikat hati siapa saja yang memandang. Lima pusingan dia berlari hari ini. Jenuh juga aku menunggunya tapi aku rasa berbaloi. Masanya semakin hampir untuk aku mendapatkan Rafflesia.

Aku terus mengekori Rafflesia menuju ke tempat letak kereta bersebelahan Masjid KLCC. Perlahan saja dia melangkah sambil kedua-dua belah tangannya memegang tuala kecil yang tersangkut di leher.

Ya... Hari ini aku mesti dapatkan dia... Rafflesia akan jadi milik aku selamanya. Tiada lagi bayang-bayang... tiada lagi igauan. Kenyataan akan hadir buat selama-lamanya. Dia akan hidup bahagia bersama aku hingga keakhirnya.

Tapi adakah Rafflesia kali ini adalah suatu yang nyata... atau suatu mistik yang akan menjerat aku buat kali kedua. Aku tak kisah semua itu. Rafflesia tetap akan menjadi milik aku!!!



RAFFLESIA:

Ahhh!!! di mana aku ini...?? Adakah ini yang dinamakan neraka?. Gelap gelita... Panas dan rimas. Tangan terikat dan dibiarkan nyamuk meratah seluruh tubuh. Adakah ini suatu penganiyaan atau pun satu hukuman. Mata langsung tidak dapat melihat. Gelap... hitam... dan gelita... Entahlah di mana aku kini.

Aku langsung tidak dapat mengingati apa yang berlaku. Rasanya tadi aku pergi berjoging... Selepas itu??? entah..... apa yang terjadi. Tiba-tiba aku sudah di sini. Mungkin aku sudah mati tapi kalau aku mati... bila masa pula malaikat maut menyabut nyawa aku?.

Aku binggung dengan situasi ini, tak terjangkau akalku untuk mendapatkan jawapan dari semua persoalan tadi. Entah di mana aku berada kini, apa yang telah terjadi. Langsung aku tiada jawapan. Yang pasti semuanya gelap gelita sahaja.

Apalah semua ini... Tidak ada apa yang mampu aku lakukan dalam keadaan tangan dan kaki yang terikat sebegini. Keadaan yang gelap langsung tidak dapat membantu... sesekali terdengar bunyi libasan kelawar yang terbang di ke kiri dan ke kanan, sungguh mengerikan…

Jeritan meminta tolong yang aku lolongkan juga hanya hampa. Tidak mendatangkan kesan melainkan gema suara sendiri yang seolah-olah mengejek aku kembali. Aku hanya mampu menangis. Takut yang amat sangat.

"Kenapa aku boleh jadi begini?" Bisik hati ini yang terus menggeletar ketakutan.

Tiba-tiba aku terpandang seperti ada cahaya yang bergerak mendekati. Cahaya yang agak samar. Bergerak sambil berhayun. Dekat dan semakin dekat membuatkan hati ini terus berdebar dan semakin berdebar.

Air mata terus bercucuran kerana ketakutan. Ingin sekali aku lari sekuat hati, tapi apakan daya di kala kaki dan tanganku masih tertambat. Aku hanya mampu menanti apa saja yang datang.

"Engkau..!!!" Mulut ku bersuara tanpa disengajakan...

Aku begitu terkejut dengan wajah yang tiba-tiba terpacul dari balik tembok sambil memegang lampu pelita. Aku masih ingat dengan wajah ini. Pengemis gila inilah yang mengganggu semasa aku berjoging di Taman KLCC minggu lalu. Memanggil aku dengan nama Rafflesia, membuatkan aku takut dan terus lari meninggalkannya.

"Kau masih kenal aku Rafflesia???" jawab lelaki itu sambil cuba memeluk kaki aku yang berselunjur lantas terus saja aku menarik kaki ku ini.

Dia tahu nama aku ‘Rafflesia’... tapi apa kaitan aku dengan pengemis ini.

"Tolonglah.. lepas kan saya... Apa salah saya?? tolong lah lepaskan saya..."

Aku cuba merayu kepada lelaki pengemis yang ada di depanku. Namun hanya disambut dengan senyuman yang menyeringai.

Bau badannya sungguh busuk membuatkan aku terasa nak muntah. Rambutnya yang berserabut amat menjijikkan, amat menakutkan.

"Tidak Rafflesia... aku tidak akan lepaskan kau.. kau tak boleh tinggalkan aku lagi.. Kita akan hidup bersama Rafflesia..." pengemis itu berkata dan kemudiannya disusuli dengan hilai tawa yang kuat.

Aku terus binggung. Entah bila masa pula aku pernah hidup bersamanya. Dan bila masa pula aku pernah meninggalkannya. Memang sah dia ini seorang yang gila. Kata-katanya langsung tidak masuk akal.

Lagipun aku bukan orang semenanjung... Aku orang Tambunan... baru lima bulan aku berpindah ke Kuala Lumpur. Mana pernah aku bersamanya.

“Hei!!! orang gila... apa kau cakap ni… lepaskan akulah!!!”

“Kau kata aku gila Rafflesia… Kau kata aku gila… Kalau aku gila pun, aku gila kerana kau Rafflesia.. Kerana kau!!!”

Marah lelaki itu sambil menghunuskan jari telunjuknya ke arah aku. Langsung saja membuat aku menangis. Sungguh takut dengan herdikkan yang begitu mengerikan.

Aku tak mampu bersuara lagi, hanya tangisan yang mampu aku luahkan. Aku semakin takut kerana dalam keadaannya yang marah sebegini dia mungkin akan mengapa-apakan aku.

"Rafflesia sayang... aku tahu kau lapar... aku ada bawakan makanan untuk mu sayang... mulai hari ini kita akan makan bersama-sama..."

Lelaki itu kembali berlembut. Suaranya seakan terketar-ketar lalu disusuli lagi dengan hilai tawa dengan nada yang sungguh gembira... Aku semakin takut, aku bingung... aku semakin tidak paham apa yang terjadi...

Dalam tangisan, aku hanya memerhatikan lelaki itu yang seakan mahu menghidangkan makanan. Beberapa bungkusan plastik dibuka, entah apa isinya.

Dalam kesamaran cahaya pelita aku terus meninjau keadaan sekeliling. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat lukisan wajah aku yang agak lusuh tertampal di sebelah kiri dinding. Cantik lukisannya. Memang benar itulah wajah aku... siap dengan rantai bersama-sama loket berbentuk hati pemberian ibu yang sentiasa aku pakai.

Keadaan menjadi semakin tidak keruan bersama dengan lelaki seperti pengemis gila yang sungguh misteri... Aku semakin takut......

"Rafflesia.. makanan dah siap.. tapi sebelum makan aku mahu pastikan bahawa kau benar-benar Rafflesia.." Pengemis itu memecah kesunyaian malam dengan nada yang agak keras dan tegas sambil memegang dagu aku..

Aku hanya mendiamkan diri tidak mampu untuk menepis. Apa lagi untuk melawan. Tapi aku tetap mampu melawan renungan matanya yang begitu tajam.

Ingat kembali pesan ibu, “jika kita berani orang akan takut, jika kita takut orang akan berani…” Dan sekarang dalam keadaan tertambat sebegini nyata aku tidak mampu untuk melawannya melainkan melawan renungan matanya.

"Memang aku Rafflesia.. tapi kenapa kau buat aku macam ni??" aku cuba meminta penjelasan.

Dia tidak menjawab tapi hanya ketawa... lantas duduk bersila di hadapan aku seolah-olah mahu mengaji.

"Yassin.... Wal Quran nil hakim... " Tiba-tiba pengemis itu membaca surah Yassin.

Aku bagai tidak percaya apabila seorang pengemis gila sepertinya lancar membaca surah Yassin. Tapi betul atau tidak bacaannya aku memang tidak begitu pasti kerana aku sendiri tidak hafal surah itu. Lagipun aku bukanlah hadir dari keluarga yang kuat agamanya. Iman pun hanya setipis kulit bawang. Langsung tidak setaraf dengan lelaki gila ini yang mampu menghafal surah yang begitu panjang.

Sayu dan garau suaranya separuh menangis. Membaca tanpa sebarang rujukan, hanya dengan hafalan. Hati aku tiba-tiba menjadi sayu apabila mendengarnya ayat demi ayat dilontarkan. Dia terus membaca sambil tangannya menghayunkan satu plastik berisi air masak.

Adakah aku sebenarnya telah mati... atau adakah dia adalah Malaikat Maut yang bersedia untuk menyabut nyawa... Aku terus binggung...


"Rafflesia... Minum ni..." Suruh lelaki itu.

Aku menurut saja, takut untuk melawan. Tapi kini aku pasti dia bukanlah seorang yang jahat tapi yakin sepenuhnya dia memang seorang yang gila. Orang jahat tidak akan membacakan "Yassin" sebelum melakukan kejahatan.

"Ha..Ha.. Ha... Kau memang Rafflesia..." Katanya lagi sambil merenjis-renjiskan sisa air yang aku minum tadi ke muka dan tubuh badan aku. Lagaknya umpama seorang bomoh.

"Sekarang mari kita makan" Sambungnya lagi yang kemudian beredar ke arah makanan yang telah disediakan...

"Tolonglah aku... Apa yang kau mahu dari aku... Tolonglah jangan apa-apakan aku... Aku boleh berikan kau wang kalau kau mahu. Tapi tolonglah lepaskan aku" Aku terus merayu lagi tetapi terus dibalas dengan hilai tawa saja.

"Jangan bergerak!!! Kami Polis!!!." Tiba-tiba empat orang anggota polis menyerbu masuk lalu mengacukan pistol ke arah lelaki itu...

Aku tersentak tapi begitu bersyukur. Aku yakin, aku selamat kini. Dan aku juga yakin aku masih hidup dan masih berada di dunia ini.

Lelaki itu tidak melawan. Dia seolah-olah tidak takut dengan polis yang menyerbu. Dia hanya diam saja apabila tangannya digari seolah-olah tidak mempunyai sebarang perasaan. Reaksinya hanya selamba sambil menyeringai seolah-olah begitu puas.

"Terima kasih encik.."

Aku dilepaskan oleh salah seorang anggota polis. Aku terus saja mengibaskan tangan dan kaki yang terasa begitu lenguh. Entah berapa lama aku berada dalam keadaan tertambat sebegitu, aku sendiri pun tidak pasti.

"Apa yang sebenarnya berlaku encik?. Kenapa orang gila ni culik saya ?" Aku cuba bertanya kepada salah seorang anggota yang aku rasakan ketua dalam operasi ini.

"Bertenang cik… Nanti kami akan siasat.." Jawabnya ringkas... aku hanya mengangguk tanda paham...

Lelaki itu diam dan terus tunduk saja apabila pihak polis mengeledah barang-barangnya. Sesekali dia berpaling ke arah aku lalu tersengih. Tajam renungan matanya begitu menakutkan tapi aku tetap akan melawan sinaran matanya itu.

"Tuan.. Saya jumpa ini.." beritahu salah seorang anggota polis lalu menyerahkan satu beg duit yang agak lusuh kepada ketua mereka.

Polis itu terus saja membuka apabila menerimanya lalu mengeluarkan sekeping kad pengenalan yang masih tersimpan rapi.

"Danial Afendi Bin Azman" Kata Polis itu sambil menepuk-nepukkan tapak tangannya ke tengkuk lelaki pengemis itu...

"Danial Afendi!!!!!" Nama itu membuatkan aku mengangkat kepala lantas memandang tepat ke arah lelaki pengemis itu. Aku rasa aku kenal dia.

"Nanti dulu Encik..."Aku cuba menghalang pihak polis yang mula bergerak membawa Danial Afendi keluar meninggalkan lokasi ini.

"Kenapa... Cik kenal dia...???" Tanye polis itu...

"Saya rasa saya kenal dia encik..." aku memberitahu sambil mengangguk lemah.

Air mata ini tidak mampu dibendung lagi... Perasaan sedih juga tidak dapat aku tahan lantas tanpa dipaksa aku terus berlari lalu mendakap Danial Afendi.

Bau Danial yang busuk tidak bisa menghalang aku dari terus mendakap insan yang begitu istimewa ini. Akhirnya aku bertemu juga dengan insan misteri yang menyelesaikan kes kehilangan kakak kembar aku Noni.... Noni Rafflesia... Aku begitu bersyukur…

"Sapa nama cik ?" Polis itu bertanya apabila aku melepaskan dakapan terhadap Danial Afendi.

"Nani... Nani Rafflesia..." Jawabku yang membuatkan Danial Afendi mengangkat kepala lalu merenung dengan sinaran cahaya mata yang sungguh tajam. Tembus hingga ke dasar hati ini. Sayu dan sungguh sedih hati ini.

Tiba-tiba teringat kembali kakak kembar aku Noni yang dulunya sentiasa bersama, namun terpisah seketika kerana mengejar cita-cita, kemudian terpisah buat selama-lamanya.

Tapi aku tetap bersyukur kerana dengan kehadiran insan misteri bernama Danial Afendi, Noni telah ditemui walaupun dalam keadaan yang tidak bernyawa. Sekurang-kurangnya kematiannya meninggalkan bukti nisan bukan hilang ditelan masa.

Tapi mengapa Danial Afendi boleh jadi sebegini? Apa telah berlaku kepadanya? Persoalan yang tidak mampu aku jawab.

Aku memang tidak pernah mengenali Danial Afendi melainkan membaca dari akhbar online kerana pada peristiwa pembunuhan dan penemuan Noni aku masih di Australia. Peperiksaan semester akhir langsung tidak memungkinkan untuk aku pulang ke tanah air walaupun dalam keadaan yang begitu menyedihkan. Aku hanya pulang seminggu selepas penemuan Noni dan hanya dapat melihat bukti nisan yang ditinggalkan.

Kepulangan ke tanah air dengan kejayaan. Aku berjaya dalam pelajaran tapi gagal untuk terus menjalani hidup bersama Noni yang sungguh aku rindui.

Memang benar kisah pembunuhan Noni sungguh misteri malah lebih misteri dari yang dilaporkan di dada akhbar. Hari ini aku sendiri dapat merasai misteri itu apabila diculik oleh insan misteri bernama Danial Afendi.

Namun hakikat yang aku dapat rasakan kini adalah perasaan Danial Afendi terhadap Noni Rafflesia. Satu perasaan cinta yang begitu mendalam. Entahlah apa istimewanya Noni sehingga Danial boleh jadi sebegini. Kasihan Danial terperangkap dengan keadaan.

"Terima kasih Danial Afendi...." bisik hatiku menahan sedih sambil memerhatikan Danial Afendi di bawa masuk ke dalam kereta polis.

No comments:

Post a Comment