- -

Terima Kasih Atas Sokongan Anda Terhadap Nukilan Saya. Saya Akan Cuba Uploadkan Hasil Nukilan Saya Sekerap Yang Saya Mampu. Semoga Ia Memberi Pengajaran Dan Bererti Kepada Anda. Saya Juga Mengalu-alukan Komen Dari Anda Semua Untuk Memperbaiki Kelemahan. Selamat Membaca..

Novel : Misteri Cinta Rafflesia

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 || Bab 10 ||

Novel : Hati Kian Sepi

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 ||

Friday, April 17, 2009

Bab1 : Misteri Cinta Rafflesia (Novel)

BAB 1 : PERMAINYA BUMI TUHAN

“Bunga Rafflesia yang kaku dan keras itu kujadikan lambang keutuhan dan cinta yang sejati. Lambang ketenangan yang sering kudambakan siang dan malam. Sehingga membawaku jauh ke bumi Sabah.”



DANIAL :

Sungguh indah bumi Sabah ini... Patutlah negeri ini digelar Negeri Di bawah Bayu... Baru semalam aku menjejakkan kaki di bumi Sabah nan Permai ini...

Hajat di hati ingin sekali melihat keindahan yang sering diperkatakan... Cemburu rasanya mendengar cerita rakan yang sering ke sini...

Mereka kata, Sabah sungguh Indah..Dengan flora dan fauna yang masih lagi terpelihara.. Paling indah pemandangan Gunung Kinabalu apabila diliputi awan. Puncaknya bagaikan ditelan oleh kepulan asap tebal...

Aku memang cintakan keindahan... Keindahan itu suatu kurniaan.. Kurniaan tuhan kepada mereka yang tahu menilai, berfikir tentang diri sebagai hamba... lalu menginsafi diri dengan kebesaran tuhan yang Maha Kuasa.

Keindahan juga ialah suatu nikmat tuhan yang bisa membawa kepada ketenangan. Dikala jiwa ini berkecamuk, aku mengharapkan agar ketenangan dan keindahan bumi Sabah ini bisa menenangkan perasaanku.

Aku berharap agar aku dapat melupakan kisah percintaan antara aku dan Lin. Percintaan antara kami berdua sungguh mengasyikkan. Sehingga aku terlupa erti kesakitan dan kekecewaan. Perpisahan ini benar-benar melemahkan segala sendi ronggaku.

Arghhh…aku terlalu lemah untuk menghadapi semuanya…

Mengimbas detik perkenalan antara kami berdua, aku terkasima seketika. Perkenalan kami bermula semenjak kami sama-sama menuntut di dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Lin seorang yang ceria dan agak agresif. Perwatakannya itu telah menambat naluri kelelakianku tatkala pertama kali aku menatap wajahnya di hari pendaftaran. Walaupun sifat kewanitaannya agak kurang, namun keserasian yang wujud antara kami berdua menjadikan kami pasangan yang intim dan serasi.

Dunia kami hanya berdua. Segalanya kami lakukan bersama-sama. Dia menjadi teman yang paling akrab sewaktu tempoh pengajianku di universiti. Kami sering menghabiskan masa bersama dengan bermain badminton dan kadangkala Lin menemani aku dan rakan-rakan lelakiku yang lain untuk menonton perlawanan bola sepak. Kadangkala kami sama-sama berkaraoke untuk menghilangkan rasa tekanan setelah selesai menyelesaikan tugasan atau tatkala menjelang musim peperiksaan.

Percintaan antara aku dan Lin begitu akrab dan mendapat restu daripada kedua-dua orang tua kami. Kami mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan selepas tamat tempoh pengajian kami di universiti. Kami bersatu hati merancang untuk hidup bersama sebagai pasangan suami isteri.

Desakan kerja membuatkan aku terpaksa berjauhan seketika dengan wanita yang paling aku cintai. Keadaan pasaran kerja yang menghimpit dan persaingan dalam mendapatkan peluang pekerjaan membuatkan kami terpaksa mengalah. Aku mendapat tawaran sebagai jurutera di salah sebuah syarikat gergasi di ibu kota sementara Lin pula pulang ke kampung halamannya di Pulau Pinang untuk mencari peluang kerja di sana.

Perpisahan yang pada mulanya ku anggap hanya sementara, rupa-rupanya telah mengubah segalanya. Aku tidak pernah menyangka bahawa wanita yang paling aku sayangi dan telah kupilih daripada jutaan wanita untuk menjadi suriku sanggup berlaku curang.

Kasih sayang yang telah aku curahkan dibalas dengan berita yang sungguh menghiris hati apabila dia didapati bersalah kerana berkhalwat dengan lelaki lain yang juga merupakan rakan sekerjanya.

Entahlah apa kurangnya aku sehingga dia sanggup melakukan itu semua. Sebagai lelaki aku rasa begitu terhina. Adakah selama ini kesetiaan Lin hanya suatu kepuraan? Atau memang begitu sikapnya, yang hanya sukakan kebebasan dan hiburan semata?

Keputusan mahkamah memutuskan bahawa Lin dan pasangannya didapati bersalah apabila berdua-duaan di rumah sewa teman lelakinya. Hatiku terasa seolah-olah ditusuk sembilu tatkala mendengarkan keputusan Hakim yang mengendalikan kes mereka.

Biarpun luka yang kurasai tidak nyata pada pandangan mata, namun ia bisa menjadi nanah yang merebak hingga ke ulu hati. Aku merasa terhina dengan sikap Lin yang sanggup menduakan kasih sayangku biarpun aku merasakan bahawa aku telah berusaha untuk memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepadanya selama ini.

Tatkala keluarga kedua belah pihak sibuk merancang majlis pernikahan kami, bencana yang datang umpama tsunami telah menghancurkan segalanya dengan sekelip mata. Aku tak mampu mempertahankan hubungan kami berdua biarpun ia merupakan kalimah azimat yang pernah aku lafazkan kepada Lin ketika aku melamarnya suatu ketika dahulu.

Mungkin itulah takdirnya Tuhan. Aku sebagai hamba perlu redha dengan segala ketentuanNya. Mungkin bukan jodoh kami untuk ditakdirkan hidup bersama dan mungkin Tuhan mahu memberikan aku bunga yang masih suci. Bunga yang belum disentuh dan masih mekar terpelihara.

Aku teringat kata-kata keramat yang pernah dihantar oleh seorang teman menerusi emailku.

“Kadang-kadang Tuhan hilangkan sekejap matahari, Dia datangkan pula guruh dan petir di langit, puas kita menangis mencari di mana matahari, rupa-rupanya Dia nak hadiahkan kita pelangi yang indah”.

Dulu aku tidak pernah mengambil kisah dan tidak langsung cuba memahami kata-kata tersebut. Namun keadaan yang aku alami tatkala ini menjadikan aku manusia yang lebih banyak berfikir tentang hikmah disebalik rahsia atas segala takdir yang menimpa.

Aku yakin tuhan itu Maha Adil. Pasti ada hikmah di sebalik sesuatu yang berlaku. Aku amat percayakan hakikat itu. Aku sebagai hambaNya hanya mampu berusaha dan kemudian berserah…

Qada’ dan Qadar yang telah tersurat buatku kuterima dengan tangan amanah. “Sesungguhnya tidak ada suatu kesusahan (atau bencana) yang ditimpakan di muka bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pendetahuan kami) sebelum kami menjadikannya.” (Surah Al-Hadid:22)

Ya...kita sering melihat pelangi, selamanya di atas kepala orang lain, tidak di atas kepala kita sendiri. Adakah aku perlu menunggu terlalu lama untuk meratapi kekecewaan sedangkan pastinya akan terbuka pintu kebahagiaan yang lain di hadapanku.

Hari ini kedatanganku ke bumi Sabah juga adalah suatu usaha. Usaha untuk menenangkan dan memujuk hati sendiri. Aku harus segera melupakan kekecewaan lalu dan segera bangkit untuk menghadapi kehidupan yang masih panjang.

Harapan aku adalah apabila sekembalinya aku ke Kuala Lumpur kelak aku akan kembali ceria seperti sediakala. Aku ingin menutup kisah percintaan dan kelukaan ku dengan Lin rapat-rapat. Biarlah kisah itu aku tinggalkan di Sabah ini, tenggelam di Laut Cina Selatan yang memisahkanya dengan Tanah Semenanjung. Membentuk satu lipatan sejarah yang tersimpan kemas dalam arkib hatiku.

Tengah hari tadi kapal terbang MAS Boeing 747 yang membawaku ke bumi permai ini, telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah. Selepas ‘check-in’ di Hyatt Regency Hotel Kota Kinabalu dan melepaskan penat seketika, aku mengambil peluang berjalan-jalan sambil menikmati keindahan bumi Sabah.

Aku selesa mengenakan baju-T berwarna merah berjenama Bonia yang agak ketat bersama jeans lusuh kegemaranku. Lebih selesa dengan gaya yang kasual berbanding memakai seluar slack dan kemeja yang lebih formal.

Tidaklah begitu janggal bagi aku berada di bandar ini kerana aku memang anak kota. Dilahirkan dan dibesarkan di ibu kota yang penuh dengan kesesakan kadangkala begitu menyesakkan. Tiada bezanya di sini. Beza yang ketara hanyalah bahasa pertuturan.

Adakalanya aku merasa begitu terasing kerana sukar memahami loghat mereka. Namun sifat ramah masyarakat dan para peniaga di sini membuatkan aku berasa selesa. Masih jelas budaya ketimuran dalam kalangan masyarakat di sini yang jarang aku temui tatkala aku berada di Kota Metropolitan Kuala Lumpur. Penuh dengan kesombongan. Ibarat “enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”, tidak pernah mempedulikan perihal orang lain.

Kadang aku terfikir, bagaimana adat melayu boleh tercicir seiring dengan kepesatan era globalisasi. Kesian anak cucu dan generasi akan datang kerana tidak dapat merasai budaya melayu yang sebenar. Entahlah… Biarlah masa yang akan menentukan.

Keseronokan yang aku rasai membantu aku melupakan kesedihan dan kekecewaanku buat seketika. Suatu nikmat yang membawa aku ke daerah yang bahagia meskipun aku belum pilih sepenuhnya daripada kelukaan akibat perbuatan Lin.

Sesungguhnya bersedih hati itu tidak perlu dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat. Justeru Rasulullah s.a.w selalu berdoa memohon perlindungan daripada Allah supaya dijauhkan dari kesedihan. “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kesedihan dan dukacita”.

Aku terus menyusuri deretan kedai cenderahati di sepanjang jalan. Rambang juga mataku melihat pelbagai cenderamata. Aku mengambil peluang membeli beberapa cenderamata yang menarik perhatianku untuk kuhadiahkan kepada keluarga dan teman-teman sekerja yang aku tinggalkan di Kuala Lumpur.

Sedang asik memerhati cenderamata yang dipamerkan, tiba-tiba aku terpandang suatu replika sekuntum bunga yang agak besar dan menarik perhatianku. Jelas bunga itu belum pernah aku lihat sebelum ini.

Bunga yang mempunyai lima kelopak berwarna merah dan bertompok-tompok putih di atas kelopaknya. Aku mendekatkan batang hidungku untuk menghidu. Tiba-tiba seakan ada suara yang mentertawakanku. Aku menoleh dan melihat seorang makcik berusia lingkungan 50-an yang tersenyum ke arahku sambil menutup mulut dengan tangannya. Namun aku masih mampu melihat giginya yang agak hitam dan hanya tinggal beberapa batang.

“Anak.. bunga itu hanya replika.. mana bisa dihidu bah…” katanya dengan loghat Sabah yang agak pekat. Aku hanya membalas dengan senyuman.

“Kalau anak nak tengok bunga Rafflesia yang sebenar…baik anak ke Pusat Maklumat Rafflesia” katanya dengan ramah.

“Betul ke makcik…Jauh ke dari sini?” aku bertanya.

“Tak jauh sangat…anak pergi ke arah Tambunan.. Nanti anak akan jumpa..” Makcik itu terus memberi maklumat. Itulah seronoknya di Sabah. Orang-orangnya begitu lemah lembut dan peramah.

Tiba-tiba aku berasa tidak sabar untuk ke tempat itu. Kalaulah replikanya saja sudah bisa memikat hati ini, sudah tentu bunga yang sebenar pasti jauh lebih istimewa. Mungkin ada sesuatu yang menarik tentang bunga ini yang masih belum aku ketahui.

Bunga mawar adalah bunga permainanku. Warna kuning, merah, putih, biru atau merah jambu semuanya aku tau maksudnya. Itulah permainan Mat bunga sepertiku. Namun bunga Rafflesia belum pernah aku ketemui. Apa agaknya keistimewaan bunga ini sehingga merasa begitu teruja untuk melihatnya.

Mungkin juga bunga Rafflesia yang kaku dan keras itu merupakan lambang kekentalan atau lambang cinta yang setia. Mungkin juga ia merupakan lambang suatu ketenangan yang abadi. Ketenangan yang aku cari untuk mengubat hati ini walaupun hingga ke Sabah. Entahlah…segalanya mungkin…

1 comment:

  1. Sallam. Ermmm...nice to read u back. Sekurang2nya, senang hati org Sabah bila baca ur story about them. Tq soooo much. Teruskan menulis dan semoga anda diberkahi Allah selalu -RAFFLESIA NO HANA.

    ReplyDelete