Tuesday, April 28, 2009
Bab 4: Misteri Cinta Rafflesia (Novel)
“Rafflesia terlalu hebat. Pandangan pertama saja sudah cukup untuk menggegarkan jiwa. Bila dia bersuara ia pasti terus meresap ke dalam sanubari dan bila dia tersenyum, senyuman itu bisa melunturkan kepejalan hati yang keras. Pastinya tiada siapa yang dapat menahan panahan Cinta Rafflesia.”
DANIAL :
Sepanjang malam aku gagal untuk melelapkan mata. Wajah Rafflesia sering saja menjelma di dalam benak ini. Dimana-mana saja Rafflesia muncul. Di balik pintu, di balik cermin malah di sebalik langsir itu juga seolah-olah Rafflesia hadir bersama mengintai aku. Aku menjadi takut, tidak berani untuk melelapkan mata walau seketika.
Memang pertemuan aku dengan Rafflesia tadi suatu pertemuan yang indah. Kalaulah pertemuan itu suatu kenyataan pastinya aku adalah insan yang sungguh bertuah.
Rafflesia sememangnya terlalu ayu, penuh dengan kelembutan, sopan santun, bijak malah sungguh pandai mengambil hati. Ternyata aku insan yang amat hebat sekiranya dapat menakluki dan berjaya bertahta di hati Rafflesia.
Aku masih tidak pasti apa sebenarnya yang aku alami. Antara nyata dan khayalan. Penemuan mayat Rafflesia tadi mengesahkan Rafflesia memang tidak wujud lagi di alam maya ini. Dia telah pergi buat selama-lamanya. Namun persoalannya siapa yang menemani aku sepanjang perjalanan aku dari Rafflesia Information Centre hingga ke kilometer 15.95 Jalan Tambunan – Ranau tadi.
Adakah ini kali terakhir Rafflesia muncul dan mengganggu aku. Bagaimana pula selepas ini?. Mungkin juga Rafflesia boleh muncul lagi. Muncul dalam keadaan yang sungguh misteri, penuh dengan tarikan tetapi kemudiannya sekali lagi meninggalkan aku. Kalaulah begitu cara kehadirannya, rasanya aku tak sanggup menghadapinya lagi.
Rafflesia terlalu hebat. Pandangan pertama saja sudah cukup untuk menggegarkan jiwa. Bila dia bersuara ia pasti terus meresap ke dalam sanubari dan bila dia tersenyum, senyuman itu bisa melunturkan kepejalan hati yang keras. Pastinya tiada siapa yang dapat menahan panahan Cinta Rafflesia. Apalagi insan yang lemah seperti aku.
Aku menyelak langsir bilik Hotel. Kelihatan kabus masih lagi tebal menyelubungi di awal pagi ini. Cahaya mentari yang baru muncul seolah-olah sukar benar menembusi alam ini. Terpaksa berperang dengan tembok kabus yang tebal. Begitu juga rasa dijiwa ini. Ketenangan yang dicari menjadi sebaliknya. Semakin kusam, kusut dan semakin buntu.
Memang kekecewaan terhadap Lin kian luntur tapi jiwa ini benar-benar terganggu dengan kehadiran Rafflesia. Kini aku buntu sama ada aku harus meneruskan cuti aku di bumi Sabah ini atau segera pulang ke semenanjung.
Aku mengalihkan pandangan kepada kotak rokok ‘Sempoarna A’ yang berwarna putih yang terletak saja di atas meja. Memang aku bukanlah seorang penghisap rokok tegar. Tapi sesekali saja aku melayannya sekadar peneman sekiranya aku dalam kerunsingan atau kesunyian.
Aku mencapai kotak rokok dan dengan perlahan aku membuka penutup kotaknya, mujur ada sebatang lagi yang tinggal.
Aku mengambilnya lalu menyumbatkan puntungnya di celah bibir. Kemudian segera saja mencapai pencucur api dan dan menggesekkannya beberapa kali hingga menyala lalu aku cucuhkan pada hujung puntung rokok.
Aku menarik aromanya dalam-dalam. Rasa manis di bibir jelas terasa kemudian meluahkannya kembali dari muncung bibir. Aku menyedut asapnya untuk kali kedua namun aku rasa kini tiada langsung kenikmatan yang aku perolehi. Semuanya serba tidak kena lantas menonyohkan puntung rokok ke dalam astray yang sudah dipenuhi dengan puntung sejak malam tadi.
Aku rasa aku harus segera membuat keputusan. Cuti aku masih ada 3 hari lagi tetapi mood untuk bercuti rasanya sudah berada ditahap sifar. Fikiran aku kosong.
Aku menyelukkan tangan ke poket kocek seluar sebelah kanan lalu menyeluarkan sekeping syiling 50 sen. Mungkin di kala otak aku sukar membuat keputusan takdir lambungan syiling boleh digunakan.
Aku segera membelek syiling itu dan mamasang niat lalu melambung dan menangkapnya semula. Perlahan aku membuka genggaman tangan dan jelas gambar bunga raya dan tulisan 50 sen yang kelihatan. Takdir telah menentukan bahawa aku perlu pulang ke semenanjung dan membatalkan percutian yang diselubungi misteri ini.
Aku terus mencapai beg pakaian di tepi katil. Tak banyak barang yang aku telah keluarkan… hanyalah tuala dan baju panas berwarna hitam. Aku terus menyarungkan baju panas tersebut ke tubuh aku dan menyumbat tuala ke dalam beg.
Lobi Hotel Perkasa, Tambunan…
“Encik Danial…” aku menoleh apabila menyedari namaku dipanggil. Ternyata Sarjan Nazrul yang memanggil aku sambil melangkah masuk dari pintu utama hotel bersama seseorang yang langsung tidak aku kenali.
“Eh nak kemana ni? Kata nak bercuti di Sabah..”
“Saya nak balik KL tuan… saya nak batalkan cuti saya.” Aku berterus terang.
“Tapi kenapa? Kan awak baru sampai sini”
“Entahlah tuan saya dah tak ada mood nak bercuti”
“Sebab Noni ke?”
“Rafflesia…” Aku membetulkan nama yang disebut oleh Sarjan Nazrul. Dia hanya mengangguk dan menepuk-nepuk belakang aku. Mungkin dia paham perasaan aku ketika ini.
“Oh ya kenalkan ini Shah… bekas teman lelaki Noni. Dia lah yang telah melaporkan kehilangan Noni tempoh hari.” Sarjan Nazrul memperkenalkan aku kepada seorang lelaki yang agak kacak yang datang bersamanya. Memang Shah begitu secocok jika dipasangkan dengan Noni.
Shah menghulurkan tangan lalu mengukirkan senyuman. Aku menyambut tangannya dan cuba memaksa untuk membalas senyum Shah tetapi entah apa hasilnya. Mungkin agak tawar.
“Terima kasih Danial. Kalau tidak kerana awak mungkin mayat Noni tidak akan ditemui” Kata Shah.
Aku hanya melebarkan bibir umpama tersenyum. Cukuplah itu kerana itu saja yang mampu aku balas dari pujiannya tadi.
Entahlah atas dasar apa ucapan terima kasihnya itu. Aku bukanlah hero, penemuan Rafflesia bukanlah atas usaha aku. Penemun itu adalah suatu misteri yang aku sendiri sebenarnya tak ingin lalui.
Kalaulah masa boleh diundur mungkin aku lebih rela duduk saja di KL pergi ke Zoo Negara melayan kerenah orang utan yang nakal dari melayani tarikan Rafflesia yang begitu hebat tapi disudahi dengan kekecewaan yang begitu cepat. Sungguh menyeksakan.
“Tuan Nazrul, Shah… saya minta diri dulu, takut nanti tertinggal flight pula.”Aku memberi alasan untuk beredar lalu mengulurkan tangan dan bersalaman dengan mereka berdua.
Aku terus memalingkan muka lalu bergerak keluar melalui pintu hadapan hotel yang kini terbuka luas secara automatik apabila aku menghampiri.
“Encik Danial Afendi kan?” Tiba-tiba aku disapa oleh beberapa orang yang memegang buku nota kecil dan yang sebahagian lagi memegang kamera. Aku hanya mengangguk mengesahkan bahawa akulah Danial Afendi.
“Boleh tak encik ceritakan sedikit bagaimana peristiwa penemuan Noni tengah malam tadi…” Salah seorang dari mereka bertanya dan beberapa orang jurugambar yang lain terus menghalakan muncung kamera lalu aku terus disimbahi dengan nyalaan flash kamera yang bertalu-talu.
Aku tidak menjawab soalan mereka sebaliknya terus berdiam diri dan berlalu walaupun terus diajukan beberapa soalan yang lain secara bertalu-talu. Langsung tiada niat untuk aku menjawabnya. Aku benar-benar buntu ketika ini.
Perjalanan pulang ke Kota Kinabalu…
Perjalanan pulang dari Tambunan ke Kota Kinabalu amat berbeza dengan perjalanan dari Kota Kinabalu Ke Tambunan malam semalam. Semalam aku hanya melayan perbualan Rafflesia dan langsung tidak mengambil kisah tentang keadaan sekeliling yang gelap gelita.
Kali ini aku bersendirian tetapi aku terpesona dengan keadaan sekeliling. Pemandangannya sungguh indah dihiasi dengan kehijauan hutan dara yang masih belum diusik. Banjaran yang seakan sambung menyambung bergelombang turun dan naik kembali.
Pemandangan menghijaun ini disulami dengan perkampungan yang berkelompok-kelompok. Berbeza dengan perkampungan di semenanjung yang berjajaran sepanjang jalan. Keunikan yang mengalihkan sedikit ingatanku terhadap Rafflesia.
Aku benar-benar tidak dapat menikmati pemandangan indah ini pada malam tadi. Mungkin kerana kegelapan malam atau mungkin pula tumpuan aku hanyalah kepada Rafflesia.
Teringat kembali kepada Shah sebentar tadi. Kalau benar Shah adalah kekasih Rafflesia kenapa Rafflesia tidak memilih Shah untuk melalui misteri ini. Kenapa perlu aku yang langsung tiada kaitan dengannya ini. Yang datang dari jauh di seberang sana. Entah lah…
‘Rafflesia Information Centre’ Papan tanda itu begitu menarik perhatian aku. Di sinilah tempat pertemuan aku dan Rafflesia malam tadi. Jika malam tadi aku gagal untuk melihat keindahan bunga Rafflesia mungkin hari ini tuah aku berbeza.
Aku terus menyalakan lampu isyarat membelok ke sebelah kanan dan terus menuju ke Rafflesia Information Centre. Segera saja aku meletakkan kereta benar-benar tempat aku berhenti semalam. Aku yakin benar tempatnya adalah sama. Aku terus keluar dari kereta dan meninjau keadaan sekeliling.
Teringat kembali kepada pertemuan aku dengan Rafflesia malam tadi.
Aku mengalihkan pemandangan ke arah seberang jalan. Bukit yang agak tinggi kelihatan begitu menghijau. Mungkin di sinilah habitat yang paling sesuai untuk Rafflesia.
Aku terus melangkah masuk ke dalam dan mengabaikan kenangan pertemuan aku dan Rafflesia untuk seketika. Aku mahu melihat sendiri bunga keramat ini. Mungkin ada maklumat yang boleh aku temui yang mengaitkan bunga Rafflesia ini dengan misteri yang telah aku lalui. Siapa tahu…
Keadaan di dalam Rafflesia Information Centre amat tenang sekali, belum ada lagi pengunjung lain yang datang. Mungkin aku datang begitu awal, baru jam 8 pagi. Tetapi 8 pagi di Sabah amat berbeza dengan 8 pagi di Kuala Lumpur. 8 pagi di sini sudah agak terang, matahari sudah mula terik.
“Boleh tak saya nak tengok bunga Rafflesia?” Aku bertanya kepada petugas yag ada di situ.
“Boleh encik, tapi di sini pengunjung tidak dibenarkan berjalan sendirian, mesti berkumpulan mengikut masa yang ditetapkan” Katanya kepadaku membuatkan aku kurang berminat untuk menyusuri hutan melihat bunga Rafflesia. Aku lebih dambakan berjalan bersendirian tanpa gangguan orang lain. Aku mahu menenangkan fikiran yang semakin berkecamuk ini.
Aku terus beredar dan melihat pameran-pameran Rafflesia yang diletakkan di pondok kayu yang ada di situ. Tiba-tiba bebola mata aku tertarik pada sebatang sungai yang mengalir di situ. Deruan airnya begitu deras. Batu-batu besar menghiasi dan mengganggu pergerakkan air di sepanjang sungai.
Aku menuruni tebing sungai untuk ke gigi air yang begitu jernih belum tercemar. Mungkin Rafflesia juga begitu, belum tercemar, asli dan penuh kelembutan.
“Danial… Tolong Rafflesia” Aku tersentak apabila terpandang satu imbasan wajah Rafflesia berlalu bersama air yang mengalir dan disulami bisikan yang amat lemah yang singgah di telinga kiri aku. Serta merta aku menoleh tetapi langsung tiada sesiapa di sisi. Segera aku menarik kaki yang baru saja mencecah air.
Aku terus menyeduk air dengan kedua-dua belah tangan lalu meraupnya ke muka. Nyata aku bukan bermimpi, bukan juga khayalan tapi lintasan wajah dan bisikan itu seakan benar-benar wujud.
Entahlah pertolongan apa lagi yang Rafflesia mahukan dari aku. Semalam dia meminta aku menolongnya untuk menghantarnya pulang ke kilometer 15.95 dan aku hanya menuruti sahaja permintaannya dan akhirnya aku hanya menemui kekecewaan.
Teringat kembali kata-kata aku kepadanya malam tadi “Kalau Rafflesia mahu Danial tolong, walau Danial di semenanjung sekalipun Danial akan datang tolong…” Mungkinkah Rafflesia pegang kata-kata aku itu.
Aku semakin risau, aku seperti rasa terperangkap dengan kata-kata sendiri. Dengan janji yang telah aku kota. Aku berasa takut jika aku terus diburu dengan bisikan Rafflesia sebegini yang menuntut janjiku padanya. Tapi kata-kata itu aku ucapkan kerana aku tidak tahu bahawa Rafflesia sudah tiada. Entahlah siapa yang aku temui sepanjang malam tadi.
“Danial… Tolong Rafflesia…” Sekali lagi suara lembut itu berbisik… Aku terus terduduk menggigil ketakutan.
Sunday, April 26, 2009
Kontrak Kasih
Anuar termenung sendirian merenung Selat Tebrau yang begitu tenang tanpa ombak yang memukul pantai. Suasana sungguh berbeza dengan jiwa Anuar yang begitu berkocak. Dia tidak pasti keputusan yang harus dia buat dengan tawaran yang diberikan oleh Nadia. Perkenalan Anuar dan Nadia yang pada mulanya hanya antara seorang pelajar dan pensyarah berubah menjadi intim. Memang suatu hubungan yang pelik.
Anuar merupakan pelajar separuh masa yang baru berumur 28 tahun. Dia sudah beristeri dan mempunyai 2 orang cahaya mata hasil perkahwinan 4 tahun lalu dengan Hafiza. Perkahwinan yang begitu bahagia, isteri yang begitu setia serta memahami suami yang selalu sibuk dibebani tugasan kerja dan belajar, dihiasi pula dengan sepasang cahaya mata yang comel dan bijak.
Semuanya kelihatan begitu indah. Namun dalam keindahan itu muncul pula insan lain dalam hidup Anuar... Nadia... Pensyarah bujang yang kini telah menjangkau usia 38 tahun. Nadia memang seorang wanita yang dianggap berjaya dalam kerjaya berkelulusan Doktor Falsafah dan kini dia bergelar Profesor. Mungkin kerana terlalu mengejar kerjaya itulah sehingga dia terlupa kepada tugas yang diamanahkan tuhan untuk mencari pasangan hidup.
Anuar memang seorang yang berfikiran terbuka dan peramah.. dan atas sikap itulah, Anuar secara tidak sengaja pernah bertanya soalan peribadi kepada Prof Nadia tentang pasangan hidup. Semenjak dari saat itu mereka sering berbincang tentang perkahwinan, anak dan akhirnya poligami. Nadia yang sebelum ini tidak pernah terfikir tentang itu semua kini semakin risau dengan usia yang semakin meningkat.
Nadia merupakan anak tunggal yang boleh dikatakan kaya. Punya kereta besar dan banglo mewah. Kini Nadia mula berfikir tentang pewaris hartanya, siapa yang akan menjaganya dikala dia tua kelak dan siapa yang sanggup menjaganya dikala dia sakit dan tidak berdaya. Tambahan pula masa semakin suntuk untuknya untuk mendapatkan anak. Perkara yang tidak pernah dia fikirkan dulu, kini sentiasa bermain diminda apabila Anuar mengajukan persoalan itu kepadanya. Nadia semakin risau.
Perkenalan mereka yang semakin rapat akhirnya telah menyebabkan Nadia menawarkan perkahwinan Kontrak kepada Anuar. Perkahwinan kontrak yang sememangnya agak pelik. Tapi itulah cadangan Nadia kepada Anuar. Sebenarnya dalam status Nadia yang sebegini tiada siapa yang berani mendekatinya untuk menjadi pasangan hidup. Tiada siapa yang boleh Nadia ajak berunding tentang hal-hal sebegini melainkan Anuar. Dan akhirnya Nadia terpaksa menjadi 'perigi yang mencari timba' untuk menjadikan Anuar sebagai suami sementara, hanya untuk mendapatkan anak. Dan selepas itu mereka harus berpisah.
Nadia tidak mahu perkahwinan mereka menjadi penghancur kepada keluarga bahagia Anuar dan Hafizah. Biarlah kontrak itu benar-benar difahami oleh Nadia, Anuar dan Hafizah. Kehadiran Nadia bukanlah sebagai api yang membakar sekam tapi hanya sekadar suatu pertolongan untuk menyambung zuriat.
Secara teorinya memang nampak mudah tetapi praktikalnya tiada siapa yang tahu. Anuar sendiri masih tidak mampu untuk membuat keputusan. Dia seakan setuju tetapi masih tidak pasti adakah perkara yang ingin dia lakukan ini benar. Adakah dia benar-benar ikhlas untuk menolong atau sebagai mencuri peluang mengaut kemewahan dari lubuk emas yang terbentang di depan mata.
3 Mac 2005
"Aku terima nikah Nadia Bte Kamil dengan mas kawinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai". Air mata Hafiza terus mengiringi ucapan Akad nikah yang dilafaz oleh suaminya Anuar . Entah mengapa secara tiba-tiba dia terasa begitu bodoh kerana membenarkan poligami itu. Mata Hafizah yang berlinang dengan airmata terus merenung surat kebenaran berpoligami yang di tandatanganinya dua minggu lalu.
Mungkin pada waktu itu dia bagai terpukau dengan niat yang disampaikan oleh Anuar untuk membantu Nadia. Anuar memang suami yang baik dan dia yakin suaminya bukan lah seorang yang gatal atau sengaja untuk menduakannya. Tapi kini dia sedar hatinya seakan tidak boleh terima dengan kehadiran Nadia dalam rumah tangga mereka. Tiba-tiba dia terasa bagai ada satu ancaman dari Nadia. Nadia punya kerjaya yang kukuh, punyai kewangan yang kukuh dan mungkin itu mampu untuk memisahkan dirinya dan Anuar.
Memang Hafizah tidak setanding dengan Nadia. Hafizah hanya seorang Pembantu Am yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia. Tetapi semuanya telah terlambat. Akad nikah telah pun dilafaz. Kini sudah sah perkahwinan antara Anuar dan Nadia. Secara tidak langsung telah sah jugalah Hafizah kini bermadu dengan Nadia. Suatu status yang tidak pernah diingini oleh insan yang bergelar wanita.
"Fiza.... Nadia..." Hafizah dan Nadia seakan bersahut lemah sesama sendiri... bersalaman kemudian berpelukan... Airmata mereka terus membasahi pipi mereka berdua... Pastinya suatu dugaan hidup yang begitu sukar perlu mereka tempuh selepas ini. Mereka harus buang segala perasaan iri hati, syak wasangka dan perlu saling memahami.
Anuar mendekati Hafizah dan Nadia kemudian dia memegang kedua-dua tangan isterinya lalu mengucupnya. Suatu peristiwa yang bagaikan mimpi yang dialami oleh mereka bertiga. Semuanya nampak begitu bahagia sekali. Namun dalam hati setiap mereka, tuhan saja yang mengetahui. Andaikata ada diantara mereka bertiga tidak berdiri dilandasan yang betul maka padah yang amat dahsyat pastinya akan berlaku.
Afizul Nizam dan Afizi Laili hanya memerhatikan gelagat mereka bertiga dengan penuh persoalan. Mereka langsung tidak paham dengan apa yang berlaku. "Nizam... Laili.. come here dear..." Anuar memanggil anaknya dengan penuh kasih sayang. Nizam dan Laili datang mendekati... Mereka berlima duduk berpandangan seakan satu bulatan.
Tidak ramai hadirin yang datang pada majlis akad nikah itu. Ibu bapa Anuar dan ibu bapa Hafizah langsung tidak kelihatan. Mereka memang menghalang keras perkahwinan itu. Mereka semua tidak sangka Anuar yang selama ini dianggap suami mithali sanggup menduakan Hafizah demi kepentingan diri sendiri. Mereka juga menganggap Hafizah terlalu bodoh kerana memberi kebenaran kepada Anuar untuk dimadukan. Tetapi itulah hakikat hidup. Orang lain hanya boleh melihat dan menilai dari segi luaran sahaja dan sering berfikiran negatif. Mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku dan tidak tahu kontrak antara Anuar, Hafizah dan Nadia.
7 Januari 2007
"Nizam... Laili.. mari sini tukar baju. Kita nak pergi tengok Baby." Hafizah memanggil anak-anaknya. "Baby siapa mama?" Tanya Nizam anak kecil yang begitu petah berkata-kata.
"Baby ibu lah sayang... Ibu dah dapat baby..." Hafizah memberitahu lembut. Semenjak bermadu, Nizam dan Laili akan memanggil Hafizah, Mama manakala memanggil Nadia, ibu. "Yeye.. ibu ada baby baru..." teriak Laili keriangan.
Mereka memang manja dengan Nadia. Hampir setiap minggu Nadia akan bersama-sama Hafizah membawa Nizam dan Laili berjalan. Anuar jarang sekali bersama mereka dikala itu. Suatu kehidupan yang begitu asing bagi mereka. Sebelum bermadu hampir setiap minggu Hafizah akan pulang ke rumah ibu bapa atau mertuanya. Namun kini aktiviti itu dikurangkan sedikit. Kadang kala dia rimas kerana sering diperli oleh mereka yang beranggapan dirinya begitu bodoh kerana membenarkan dirinya dimadu. Hafizah hanya berkata "Dah jodoh mereka...". Itu saja jawapan selamat yang mampu diberikan yang sering membuatkan ibubapa serta mertuanya geram dengan kesabaran yang langsung tidak difahami.
"Kau tau Nadia... tak pernah terjadi tau keturunan kita dimadu. Agaknya.. engkaulah orang yang paling bodoh dalam keturunan kita ni" Itulah kata-kata yang paling mengguris perasaan Hafizah dari insan yang bergelar ibu. Namun Hafizah tenang menerimanya. Dia sedar kesabaran saja lah yang akan membawa dirinya berjaya di dunia dan di akhirat. Payung Emas pastinya menantinya diakhirat kelak.
"Ayah!!!!..." Nizam dan Laili berteriak serentak sambil berlari menuju ke arah Anuar yang duduk menemani Nadia yang masih terlantar di katil hospital. Hafizah hanya tersenyum melihat gelagat mereka.
"Ayah.. ayah.. mana baby ibu ayah..."Tanya Nizam seakan tidak sabar.
"Tu... kat sana.. sekejap ayah ambil..." Anuar memberitahu sambil jari telunjuknya menuding pada bayi yang masih kemerahan.
"Macam mana kak... sakit tak?" tanya Hafizah kepada Nadia seakan mengejek...
"Tak sakit pun... Sodap..." Jawab Nadia bersahaja. Hafizah terkejut dengan wajah nadia yang hanya tersenyum seolah-olah bukan baru melahirkan anak.
"Tak sakit??" Hafizah seperti tidak percaya. Pengalamannya melahirkan Nizam dan Laili amat menyakitkan.
"Macam mana nak sakit... dia operation... maklumlah enjin lama..." sampuk Anuar berseloroh yang membuatkan mereka tertawa. Tapi kelihatan Nadia sedikit menahan sakit dari ketawa yang cuba diluahkan.
"Abang ni tak baik tau cakap macam tu" Tegur Hafizah... dia takut andai Nadia kecil hati dengan perkataan 'enjin lama' itu..
"Bukan lama Fiza... tapi tua..." Sampuk Nadia pula sambil tersenyum. Hafiza hanya tersenyum melihat Anuar mengangkat-angkat kening dengan jawapan itu.
"Abang lepas ni bawalah akak duduk rumah kita sementara waktu... biar saya jaga akak sementara ni." Hafiza memberi cadangan pada Anuar. Anuar hanya diam saja sambil menudingkan kening ke arah Nadia.
"Takpe lah Fiza. Susah kan Fiza pulak. Lagi pun Fiza kan kerja." Nadia memberitau seakan menolak.
"Erm.. tak sudi lah tu.. mentang-mentanglah rumah kita buruk. Saya kan dah berhenti kerja.." Hafiza menjawab lagi membuatkan Nadia serba salah untuk menolak. Dia perlu menjaga hati madunya. Bukanlah dia tidak sudi tinggal di rumah madunya yang sememangnya tidak sehebat rumahnya, tetapi dia malu dengan Hafiza yang begitu baik. Selama ini kehidupan Nadia begitu Korporat. Tiada rakan untuk bergurau apalagi berbincang tentang hal peribadi. Namun Hafizah mampu memusnahkan sempadan itu dan menjadi rakan dan adik yang begitu akrab.
"Camana kak? ok ker?" Tiba-tiba Hafizah bertanya sambil menepuk lengan Nadia yang sekan termengelamun. Nadia hanya mengangguk lemah tanda setuju... kemudian disusuli dengan airmata yang tiba-tiba berlinang lalu mengalir membasahi pipi... Hafizah diam saja. Mungkin dia dapat menyelami hati Nadia lantas mengesat air mata itu dengan tapak tangannya.
7 Julai 2007
Percutian keluarga Anuar ke Pulau Tioman kali ini amat menyeronokkan . Ditambah pula dengan kehadiran insan baru Afizul Fikri yang berusia 6 bulan membuatkan semuanya amat ceria.
Bagi Hafizah inilah kali pertama dia pergi bercuti ke Pulau sebegini. Di hotel yang serba mewah, sajian yang begitu lazat dan suasana yang amat menenangkan. Dan pada malam itu suasana nampak begitu tenang dengan kilauan bintang yang menghiasi langit biru bersama bulan berbentuk sabit. Anuar, Hafizah dan Nadia menikmati suasana itu bertiga di tepi pantai meninggalkan anak-anak mereka bersama pembantu rumah yang di bawa bersama.
"Anuar u ingat tak pada kontrak yang pernah kita buat dulu... i rasa sudah sampai masa untuk kita berpisah..." Tiba-tiba Nadia membuka kata membuatkan Anuar dan Hafizah seakan tersentak diam seribu bahasa...
"Ni cek RM 20,000. bukan lah i bermaksud untuk membeli u.. tapi sebagai ucapan terima kasih i kerana sudi membantu i. I pegang pada janji dulu. I tak mahu dituduh sebagai perampas kebahagiaan orang lain..." Nadia bersuara lagi dengan nada yang agak sedih namun dia tenang.
Anuar hanya mendiamkan diri, kaku sahaja. Hafizah pula tiba-tiba menangis kesedihan dengan kata-kata Nadia. Dia tidak sangka Nadia telah mengaturkan semua ini dalam keadaan mereka semua bergembira menikmati percutian bersama. Dia merasakan kontrak yang mereka persetujui suatu masa lalu begitu cepat untuk ditamatkan. Kemesraan antara dirinya dan Nadia sudah sampai di penghujungnya.
"Abang boleh tak abang tinggal kan kami berdua... Fiza nak berbincang dengan Kak Nadia kejap...." Pinta Hafizah kepada Anuar. Anuar hanya mengangguk lalu bergerak meninggalkan mereka menuju kerusi kayu yang diletakkan di bawah pepohon kayu menghadap ke Lautan Cina Selatan.
"Mengapa kita harus berpisah kak?... Kami bukan mahukan harta kakak... Selama ni abang tak pernah ambil kesempatan atas semua itu..." Tanya Hafizah.
"Bukan gitu Fiza... Anuar terlalu baik... Fiza pun terlalu baik bagi kakak... Tiada insan lain yang sebaik u all di dunia ni. Tapi ini perjanjian Fiza. Akak langsung tidak ada niat untuk rampas suami Fiza... Akak hanya minta tolong...".
"Bukan suami Fiza kak... tapi suami kita... Anuar jodoh kita kak" Fiza memperbetulkan kata-kata Nadia.
"Semenjak akak ada... Fiza rasa gembira kak... sebelum ni Fiza tak ada kawan... Abang Anuar selalu sibuk. Tapi akak dah jadi kawan Fiza... Fiza langsung tak heran harta akak... Fiza hanya mahu hubungan kita kak."Fiza memberitahu sambil menahan sedih...
"Akak faham Fiza... Tapi kita bukan lah berpisah terus... berpisah dari segi hubungan suami isteri antara akak dan Anuar. Kita masih boleh terus berkawankan... " Nadia menerangkan sambil menggenggam erat tangan Fiza.
Anuar terus merenung jauh memerhatikan lampu-lampu bot nelayan di tengah lautan. Dia tidak pasti apa perbincangan kedua-dua isterinya, apa lagi keputusan yang bakal diperolehi. Sebagai lelaki dan suami dia sememangnya mempunyai kuasa mutlak namun dia lebih sukakan demokrasi terpimpin.
"Abang..." Jerit Hafiza sambil melambaikan tangan kepada Anuar. Anuar lantas bangun menghayun langkah yang longlai menuju ke arah kedua-dua isterinya.
Anuar masih ingat lagi kontrak yang pernah mereka setujui dan masih berpegang pada kontrak itu. Dia amat sayangkan Hafizah, seorang isteri yang sanggup berkorban di dunia demi insan lain. Dalam masa yang sama dia juga menyayangi Nadia, isteri manja yang hampir 10 tahun lebih tua darinya. Namun lembu ditambat pada talinya, manusia harus berpegang pada janjinya.
"Abang... Kami dah buat keputusan. Kami ingin terus bersama. Abang tak perlu lepaskan akak Nadia. Kontrak tu dah batal..." Hafizah memberitahu riang sambil mengoyakkan cek bertulis RM 20,000 atas Nama Anuar Bin Ibrahim.
"Syukurlah..." Anuar menadah tangan tanda kesyukuran. Isteri-isteri yang baginya anugerah tuhan yang tidak ternilai. Sambil menadah tangan Anuar menggerakkan jari jemarinya tanda menyuruh Nadia dan Hafizah datang mendekati... lalu mereka berpelukan bersama.
"Nanti dulu... saya ada satu syarat lagi." tiba-tiba Nadia bersuara dan melepaskan rangkulan itu.
"Mulai sekarang harta-harta saya bukan lagi harta saya." Nadia memberitahu lalu membuatkan Hafizah dan Anuar tersentak berpandangan sesama sendiri... "tapi harta kita bersama..." Nadia meneruskan kata-kata dan terus merangkul Anuar dan Hafizah kembali.
Kini Nadia mula sedar, kerjaya dan harta yang dikejar selama ini bukanlah segalanya. Kebahagiaan yang dialami kini tidak mampu dibeli dengan wang ringgit. Ia begitu berharga dan tidak ternilai. Atas dasar itulah dia menolak segala keegoan untuk menjadi isteri kedua kepada insan biasa seperti Anuar lalu menyerap segala tohmahan.
Sememangnya madu itu sememangnya amat manis jika dinikmati dengan cara yang betul. Jangan dimasamkan sesuatu yang manis. Tiada salahnya berkongsi kasih andainya kita saling memahami tanggungjawab hidup sebagai manusia dibumi tuhan ini. 'Kebenaran' yang tuhan berikan itu pasti ada hikmahnya bagi orang yang benar-benar berfikir....
Friday, April 24, 2009
Bab 3 : Misteri Cinta Rafflesia (Novel)
“Tidak semena-mena air mataku mengalir. Aku hanya mampu mengeluh pasrah. Buntu dengan apa yang aku alami. Pertemuan singkat yang telah membibitkan perasaan indah dalam diriku, sayangnya hanya seketika. Ianya bagaikan sebuah mimpi yang sering menganggu lenaku”
DANIAL :
Alhamdulillah…aku menarik nafaz lega apabila kereta yang kupandu melalui kawasan yang agak terang di simbahani lampu jalan yang menghiasi kiri dan kanan jalan. Perasaanku sedikit lega. Aku juga merasa sangat bersyukur kerana Tuhan masih menyayangi diriku dan menyelamatkanku dari segala bencana.
Aku hampir-hampir melanggar tembok pembahagi jalan ketika melalui selekoh yang tajam akibat tidak dapat mengawal kelajuan keretaku. Mujur aku selamat dan masih diberi peluang untuk menyaksikan terbitnya matahari di hari esok.
Aku tahu aku kini sudah hampir benar dengan Bandar Tambunan. Aku berhenti seketika di bahu jalan sambil berfikir perkara yang harus aku lakukan. Aku berkira-kira ingin melaporkan kejadian tersebut di balai polis yang berhampiran.
Aku akhirnya mengambil keputusan untuk singgah di Balai Polis Tambunan yang masih kelihatan terang benderang. Aku terus memberhentikan kereta benar-benar di hadapan pintu masuk balai. Membrek secara mengejut sehingga menghasilkan bunyi geseran tayar yang agak kuat dan menarik perhatian beberapa orang pegawai polis yang bertugas malam itu.
Aku membatukan diri seketika ditempat dudukku sambil tanganku erat memeluk stereng kereta. Sesekali mataku menjeling ke arah cermin pandang belakang, khuatir kalau-kalau ada makhluk lain yang mengekoriku.
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari rasa takut, kami bersandar dan berserah hanya kepada-Mu. Kami tidak meminta kecuali kepada-Mu, kami tidak meminta tolong malainkan kepada-Mu. Engkaulah pemelihara kami, sebaik-baik pelindung dan penolong.”
Aku mengalihkan pemandanganku ke arah seorang pegawai polis yang berdiri di muka pintu. Pegawai polis tersebut memerhatikanku dengan wajah yang agak pelik. Bunyi geseran yang kuat tadi mungkin telah menarik perhatiannya untuk melihat apa yang berlaku.
Aku terus turun keluar dari kereta dan menuju ke arahnya.
“Kenapa encik… kena kejar hantu ker?” Tanya pegawai polis itu. Aku hanya mendiamkan diri sambil memeluk tubuhku yang masih menggeletar. Kakiku seolah-olah merasa berat untuk melangkah. Semangatku masih belum pulih sepenuhnya.
Hatiku tidak putus-putis berdoa, “Ya Allah, gantikanlah tempat ketakutan dengan keamanan dan tolaklah tipu daya syaitan dengan tentera bantuan-Mu dalam keadaan yang terhina.”
Pegawai polis tersebut menepuk bahuku dan mengarahkanku masuk ke dalam balai. Aku menurut tanpa sebarang bantahan.
“Kenapa budak ni?” Salah seorang pegawai polis yang memakai tanda nama Nazrul terus bertanya apabila melihat aku dipimpin masuk ke dalam balai dengan keadaan yang menggeletar.
“Entah…dikejar hantu agaknya…” Jawab polis yang memimpin aku tadi dengan nada separuh bergurau. Segera sahaja disahut dengan hilai tawa oleh beberapa pegawai polis yang lain. Aku hanya mampu mendiamkan diri dengan gurauan itu.
“Kenapa?” Tanya Pegawai polis bernama Nazrul itu.
“Rafflesia...” Itu saja jawapan yang mampu aku ucapkan…
“Bertenang encik.. tarik nafas panjang-panjang… Beri saya IC awak..” Nazrul memberi arahan. Dia seakan faham dengan keadaanku. Kutarik nafas perlahan sambil mengeluarkan kad pengenalan dari dalam dompet dan menyerahkannya kepada Encik Nazrul.
"Ok…sekarang encik ceritakan apa yang berlaku" Pinta pegawai polis itu lagi...
Aku memulakan cerita dengan satu helaan nafas yang agak panjang. Aku menceritakan apa yang aku alami bermula dengan ketibaanku di Bandar Kota Kinabalu pagi tadi.
Aku menceritakan satu persatu peristiwa yang telah aku alami sehingga membawaku ke balai polis kini. Aku tidak pasti tentang penerimaan mereka ke atas cerita yang cuba aku sampaikan. Hatiku bimbang sekiranya mereka menyangka bahawa aku sengaja mereka-reka cerita yang seperti tidak masuk dek akal.
Beberapa orang pegawai polis yang berada di situ menoleh ke arahku, seolah-olah tertarik dengan cerita yang aku sampaikan. Mungkin inilah julung kalinya mereka mendengarkan kes yang agak pelik dan luar biasa.
"Boleh tak encik beri gambaran bagaimana rupa gadis itu..." pinta pegawai itu lagi.
Aku terus membayangkan wajah Rafflesia. Wajah ayu yang masih jelas terbayang di kotak fikiranku. Wajah yang berjaya mencuri tumpuanku. Senyuman manis yang telah membawaku ke lembah bahagia, sayu lalu terus hilang meninggalkan aku.
"Itu Noni…" Tiba-tiba seorang pegawai polis memberitahu dengan kata-katanya yang begitu yakin.
"Tidak...Nama dia Rafflesia...bukan Noni" Aku cuba membantah nama yang disebut oleh pegawai itu...
"Betulkah ini wajahnya…?" Tiba-tiba Encik Nazrul menunjukkan sekeping gambar Rafflesia kepadaku yang diambilnya dari sebuah fail di atas meja yang tertulis “Noni Rafflesia”.
Aku membeleknya. Memang serupa benar dengan wajah Rafflesia cuma Rafflesia yang aku temui tadi rasanya lebih asli tanpa sebarang solekan dan sedikit pucat. Rantai emas yang tersemat di dada gadis yang berada dalam gambar itu juga sama benar dengan rantai yang dipakai oleh Rafflesia.
Aku terdiam. Aku semakin bingung dengan apa yang terjadi. Apa sebenarnya yang berlaku sehingga anggota polis pun sudah mengenalinya. Adakah Rafflesia ada membuat salah besar?. Aku terkedu dan akhirnya aku hanya mengangguk lemah mengesahkan bahawa wanita itulah yang bersama aku tadi.
"Kalau begitu boleh encik tunjukkan kepada kami tempat di mana encik hantar Noni tadi..." Tanya pegawai polis itu lagi.. Aku terdiam seketika… Rasanya tak sanggup aku ke tempat yang begitu mengerikan itu.
"Saya tak hantar.. tayar kereta saya pancit di situ tadi... Dia Rafflesia bukan Noni." Aku membetulkan ayat yang aku rasa salah disebut oleh pegawai itu.
"Apa-apalah..." Jawab begawai polis itu ringkas.
“Ok kita pergi sekarang?” Nazrul membuat keputusan dan beberapa pegawai polis yang lain terus saja bersiap.
Aku terdiam tak mampu membantah. Rasanya air mata ini bagaikan mahu mengalir untuk merayu agar aku dikecualikan ke tempat itu lagi. Serik sungguh rasanya. Namun aku tak berdaya berbuat apa-apa. Keputusan muktamad telah mereka buat. Aku hanya mampu berserah menerima apa saja risiko yang mungkin akan menjelma.
“Tunggu apa lagi… marilah..” Panggil Nazrul apabila melihat aku terus duduk membatu tidak bergerak.
Aku bingkas perlahan mengekori pegawai polis itu menuju ke kereta bersama 3 pegawai yang lain.
“Apa awak takut, bukannya awak sorang, kan kita berempat ni” Kata seorang pegawai polis cuba menenangkan aku lalu kami terus bergerak menuju ke kilometer 15.95.
Sepanjang perjalanan jiwa aku sungguh tidak tenteram. Fikiran aku bercampur baur antara takut, ngeri, keliru dan bermacam-macam begitu berkecamuk.
Laju kereta polis itu dipandu menyebabkan jantung aku terus merdegup begitu
kencang. Seiring dengan kelajuan pergerakkan kereta. Mungkin mereka sudah biasa dengan jalan di sini.
Aku terus membaca ayat Kursi berulang kali. Aku sedar itulah senjata yang paling ampuh untuk melawan syaitan atau jin sekiranya mahu mengganggu manusia.
“Encik depan tu sikit lagi selepas jambatan..” Aku memberitahu kepada pegawai polis itu apabila aku terpandang batu penanda jalan menunjukkan kilometer 15. Keresahan aku bertambah begitu mendadak. Aku sendiri tidak pasti apa sebenarnya status Rafflesia sama ada dia manusia, jin atau pun hantu. Aku hanya mampu berserah dan berdoa setelah sedar kereta polis itu berhenti benar-benar tempat dimana aku mengganti tayar tadi.
Aku menoleh ke belakang kereta dan melihat jambatan yang agak usang. Memang benar inilah tempatnya.
Kilometer 15.95 memang agak gelap. walaupun kami berempat namun aku rasa begitu seram. Aku sedikit menggigil berbeza di saat aku ditemani Rafflesia tadi. 3 orang pegawai polis itu terus meninjau-ninjau keadaan dengan lampu suluh yang dibawa.
Dalam keresahan aku sempat juga memandang keadaan sekeliling. Aku lihat dahan pepohon hutan terus bergerak-gerak umpama melambai-lambai. Tak pasti sama ada lambaian itu gembira dengan kedatangan kami atau sebagai tanda marah menyelinap di sekitar hutan tebal yang mungkin tempat permainan makhluk halus.
"Sarjan... saya jumpa ini.." Jerit seorang pegawai polis sambil menunjukkan seutas rantai berloket berbentuk hati yang dijumpai di tebing sungai kepada pegawai Polis bernama Nazrul, lantas membuatkan kesemua pegawai polis berlari ke arahnya termasuk aku.
Aku terperanjat kerana rantai itulah yang tadi dipakai oleh Rafflesia. Rantai berloket berbentuk hati yang tadinya begitu menarik perhatian aku. Entahlah apa terjadi kepada Rafflesia.
"Adakah dia membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai. Tapi mengapa... Apa yang telah berlaku kepadanya sedangkan tadi dia begitu ceria bersama aku." Aku terus tertanya-tanya. Berbagai-bagai teori tiba-tiba melintasi minda ini. Namun semuanya tidak terjawab.
"Ha!! itu dia..." jerit seorang pegawai polis sambil menghunuskan cahaya lampu suluh ke arah satu tubuh separuh bogel yang terkulai layu.
Aku hampir pitam melihat keadaan itu... Baju putih yang sama dipakai oleh Rafflesia tadi kini koyak dan berlumur darah yang telah kering. Kakinya terjuntai menghala ke atas tebing sungai dan terdedah tanpa sebarang urat benang sekali pun.
Kami semua mendekati tubuh itu.. ternyata baunya amat busuk sekali. Aku segera menutup hidung kerana tidak tahan dengan bau sebegini tetapi pegawai polis yang lain hanya bersahaja. Mungkin mereka sudah biasa dengan keadaan dan bau sebegini.
Aku hanya memerhatikan pegawai-pegawai polis memacakkan kayu berbentuk empat segi di tempat Rafflesia ditemui. Kemudian mereka memasang tali plastik berwarna kuning yang dipenuhi tulisan perkataan “Polis” sebagai pagar kawasan berkenaan.
Setelah mengambil gambar mereka terus mengangkat tubuh Rafflesia yang tersadai di tebing sungai naik ke atas. Aku terus menghampiri tubuh itu. Ternyata wajah itu memang wajah Rafflesia... wajah yang begitu sayu sama seperti wajah semasa menemani aku menukar tayar tadi.
Tidak semena-mena air mata aku mengalir. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala, tidak percaya dengan apa yang terjadi... Pertemuan seketika yang sebegitu indah tetapi sekelip mata saja hilang bagaikan suatu mimpi ngeri yang mengganggu tidurku.
Apalah yang berlaku sebenarnya. Tadi Rafflesia masih hidup, masih bermaya, wangi dan begitu ceria menemani aku. Tapi kini tubuh Rafflesia sudah busuk dan kaku terkulai layu.
"Encik Danial.." Tiba-tiba Sarjan Nazrul menepuk bahu aku.
"Saya tak bunuh dia sarjan.." Spontan aku mengaku dengan nada separuh menangis. Memang bukan aku yang membunuh Rafflesia. Malah aku langsung tak kenal Rafflesia sebelum ini. Pertemuan kami begitu singkat.
"Saya tahu... Sebenarnya Noni dilaporkan hilang semenjak 5 hari lalu. Daripada kesan dan keadaan mayat kami percaya ia telah berlaku 4 atau 5 hari lalu. Kami juga percaya dia telah dibunuh sebelum dibuang ke dalam sungai ini...." Sarjan Nazrul menerangkan kepada aku. Pegawai polis lain hanya diam sahaja.
"Tapi saya bersama Rafflesia dari Rafflesia Information Center tadi." Aku memberitahu. Itulah hakikat yang aku alami semenjak awal malam tadi.
"Itu lah kebesaran tuhan encik Danial... Kamu yang baru datang dari semenanjung dipilih tuhan untuk membantu menyelesaikan kes ini..." Beritahu Sarjan Nazrul..
Aku hanya diam... Selalunya aku suka untuk melihat keindahan alam sebagai tanda kebesaran tuhan, tapi kali ini misteri Rafflesia ini jelas menunjukkan kebesaran tuhan kepada aku.
Tapi kenapa aku? Kenapa aku yang datang dari jauh beribu batu merentasi Laut Cina Selatan. Itu semua tak mampu aku jawab kerana yang pasti itulah ketentuanNya.
Memang pertemuan aku bersama Rafflesia walaupun seketika tapi memberi kesan yang sungguh mendalam. Ketenangan yang aku idamkan gagal aku temui. Keindahan yang aku inginkan tidak sempat aku temui. Jiwa ku semakin berkecamuk. Semakin keliru dan kecewa.
Bermulanya dengan kekecewaan aku dengan Lin, lantas disuburi dengan tarikan Rafflesia yang sememangnya palsu dan disudahi dengan tragedi yang sungguh mengerikan.
Sememangnya Rafflesia memang begitu misteri. Sukar dan tak mampu aku rungkaikan. Entahlah kenapa aku harus terlibat dalam misteri ini. Mungkin tuhan saja yang tahu apa hikmah disebaliknya.
Sesungguhnya kelahiran itu misteri, segala kehidupan itu misteri dan kematian itu juga misteri, namun selagi kita percaya dan yakin dengan sepenuh hati tentang kekuasaan yang Maha Esa, semuanya bukanlah misteri kerana bagiNya semuanya amat mudah. Hanya 'Kun Fayakun...'
Thursday, April 23, 2009
Kekasih Gelapku....
Benar kata orang 'Hidup umpama roda', tidak sentiasa gembira, tidak selalu ceria. Sekali ombak memukul pantai pastinya pasir akan terus berubah. Begitulah lumrah kehidupan. Dulu aku memang seorang yang bebas tapi terkawal. Hidupku umpama burung yang bisa terbang bebas kemana saja yang kumahu. Mendaki gunung, membeli belah, menonton wayang, melepak di pusat membeli belah malah kadang kala pergi melalak menyanyi karaoke dengan rakan-rakan sekolej. Tapi bukan bermakna aku liar. Aku masih punya pegangan yang kuat. Kebebasan dan kepercayaan yang keluarga berikan tidak pernah aku persiakan. Aku tetap ingat pada rukun Islam yang
Kini sudah lebih 3 tahun aku hidup bersama Imran. Suami yang aku anggap sungguh mithali, sungguh baik dan sentiasa mengambil berat terhadap aku dan anak kami Fakhrul Ilmi. Memang dia sentiasa menjaga kami dengan baik. Tiada kekurangan yang jelas dalam keluarga. Kami tidak pernah bertengkar. Merajuk sedikit, itu kira lumrah. Sesungguhnya tuhan telah memakbulkan doaku untuk memperlakikan seorang yang baik dan mengambil berat.
Sebenarnya itulah matlamat setiap wanita, sentiasa inginkan pasangan yang baik, yang lengkap dan boleh membimbing diri ke jalan yang diredhai. Mungkin atas dasar mencari yang terbaik itulah masih ramai rakan-rakan seangkatanku yang masih membujang dan terus mencari dan menanti sesuatu yang dipanggil Mr. Right.
Hari ini genap sebulan aku bekerja sebagai juru tol. Biasanya orang gelarkan ku ‘Minah Tol’. Sebenarnya dulu aku pernah bekerja. Namun semasa aku mengandungkan Fakhrul Ilmi aku mengalami masalah kesihatan yang menyebabkan aku terpaksa berhenti bekerja. Namun akibat terlalu bosan terkurung di dalam rumah yang kurasakan seperti sangkar akhirnya aku merayu kepada Imran untuk membenarkan aku bekerja. Tak kiralah kerja apa sekalipun asalkan aku dapat keluar dari kurungan itu.
Walaupun kerja ini tidak setaraf dengan kelulusan aku sebagai pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, namun aku tetap bersyukur kerana bukan wang ringgit yang dicari tapi pengubat kesunyian dan kebosanan.
"Selamat Pagi.." Aku terjaga dari lamunan bila saja ada suara orang menegur dari kereta Honda Civic bewarna hitam yang berhenti di sisi pondok tol. "Selamat pagi.." Aku membalas sambil melemparkan sedikit senyuman kepada seorang pemuda yang setiap hari lalu di sini sewal jam 6.30 pagi. Seperti biasa juga dia sudah bersedia dengan wang genap RM 1.80 dan seperti biasa aku akan membalas dengan menyerahkan tiket bayaran. Serentak dengan itu palang dihadapan kereta akan dibuka dan kenderaan akan terus meluncur meninggalkan aku.
"
Petang ini aku pulang seperti biasa jam 4 petang. Aku tidak keseorangan kerana Fakhrul Ilmi akan menemani. Imran pula biasanya hanya akan pulang jam 7 atau 8 malam. Begitulah rutin hidupku setiap hari yang sungguh membosankan. Aktiviti remaja aku yang bebas, terhenti serta merta semenjak aku berkahwin. Imran bagiku sungguh baik, memang langsung tidak sekepala dengan aku yang nakal ini. Pernah juga sesekali aku mengajaknya menonton wayang untuk menghilangkan rasa bosan, namun ada saja alasan yang diberi. Dia sentiasa sibuk dengan kerja serta aktiviti politik dan kemasyarakatan.
Entahlah.. Adakah ini dinamakan perkahwinan, suatu perkongsian hidup... tapi tiada insan untuk berbicara... tiada insan untuk bermanja... Jiwa terasa kosong tak berpenghuni. Sepi dan sungguh sepi sekali. Jiwa ku sering mengeluh tetapi sesekali ketawa sendiri mengingatkan zaman remaja yang penuh dengan keseronokan dan kenakalan.
"Abang balik lewat. Kena ikut datuk.." Itulah bunyi sms yang biasa aku terima. Dan malam ini aku menerimanya lagi. Tiada kata-kata yang mampu aku berikan lantas menyimpan kembali hidangan yang telah aku hidangkan. Langsung tiada nafsu untuk aku menjamahnya sendirian. Aku memandang ke arah Fakhrul. Nyenyak dia tidur, separuh berdengkur. Terus saja aku capai remote Astro lantas mencari kalau-kalau ada rancangan yang boleh menarik perhatian. Ternyata semuanya tidak mampu menarik minat aku.
"Ah!! kenapa ni..." bisik hatiku seakan kecewa dengan keadaan bosan yang mencengkam. "Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi buat masa ini..." Aku terus saja memadamkan panggilan yang
"Hello boleh saya tahu siapa ni.." Tiba-tiba aku menerima panggilan telefon dari seseorang. "Awak telefon saya tapi tanya siapa saya..." Aku membalas dengan sedikit marah. "Maaf... tadi saya lihat ada miss call pada telefon saya... Siapa ni?" Dia bertanya kembali... Baru aku teringat, akibat terlalu bosan aku tertelefon pemuda yang memberikan aku kad perniagaannya awal pagi tadi... tapi tiada jawapan lantas aku terlelap di atas sofa.
"Encik Arman ye... Saya yang kerja dekat tol tu. Minta maaf saya tersalah tekan tadi." aku menjawab memberi alasan yang sungguh tidak logik sambil memandang ke arah kad perniagaan yang masih terlekat ditanganku. "Eh tak apa... Kalau sengaja lagi bagus..." Dia menjawab dan membuatkan aku tergelak kecil. Entah lah seperti tidak sengaja aku melayan Arman ditelefon. Aktiviti bergayut yang memang biasa aku lakukan bersama bekas kekasih aku dulu. Dan tanpa aku sedari sudah 2 jam aku berborak dengan Arman. Semacam ada tarikan yang menyebabkan aku sukar untuk memberhentikan perbualan ini. Mungkin antara kami ada satu persamaan jiwa yang kuat yang membuatkan aku terasa begitu serasi bersama.
Pagi ini aku tidak mengelamun lagi... Hatiku berdebar menantikan kereta Honda Civic yang akan melintasi tol ini. Terasa segan juga kerana tidak semena-mena aku boleh melayan Arman begitu lama sekali. Tiba-tiba jantungku berdegup kencang apabila melihat kereta Arman mendekati... Aku begitu kenal kereta itu, malah nombor pendaftarannya pun sudah kuhafal. "Selamat pagi Farah.." Arman membuka cermin kereta sambil menghulurkan wang kertas RM100 kepada ku... "Kenapa tak sediakan RM 1.80 macam biasa?" Tanyaku yang begitu pelik dengan tindakan Arman hari ini. "Saja nak lama sikit.. Nak borak dengan Farah..." Arman membalas yang membuatkan aku hanya tersenyum tersipu-sipu. "Ah.. nakal juga dia ni.. macam aku dulu-dulu.." bisik hatiku sedikit kecewa... tetapi seakan ceria.
"Boleh tak saya call Farah malam ni?" Arman kembali bersuara... "Tak boleh..." Jawap ku ringkas... Arman seakan terkejut dengan jawapan aku. Mungkin kecewa agaknya... "Kenapa?" Arman bertanya kembali seperti tidak puas hati. "Malam tak boleh.. petang boleh..." Aku menjawab nakal sambil memulangkan wang RM 98.20 beserta tiket tol kepadanya. Arman hanya tersenyum. Tiba-tiba dia menghulurkan sekuntum Mawar Merah kepadaku dan terus berlalu meninggalkan aku. Aku terdiam. "Entah bunga mana yang dipetiknya pagi-pagi buta ni" bisik hatiku sambil mengucup wangian Mawar merah pemberian Arman. Sungguh romantis... sesuatu yang tidak pernah wujud pada diri Imran.
Semenjak saat itu aku begitu terasa akan kehadiran Arman. Aku tak mampu menolak kehadirannya dalam hati ini. Aku terasa bahagia sekali dengan layanannya. Setiap petang dia pasti akan menghubungi aku. Dia lah peneman aku dikala aku benar-benar sunyi. Dia bijak mengambil hati, pandai bergurau, malah sering memberi kata-kata semangat dan perangsang kepada aku. Kekosongan yang selama ini kurasakan, kini terasa sudah terisi. Penuh dan subur dijiwa ini. Arman.. Walaupun kau tiada disisi, namun kasih mu dapat ku rasa begitu dekat hingga menusuk kesanubari ini.
Entahlah adakah salah aku bersikap sebegini. Sebenarnya tiada apa yang aku inginkan, sekadar peneman hati ini yang begitu sunyi dan aku rasa Arman dapat merasakan kesunyian itu lalu berjaya menusup masuk begitu dalam kelubuk hati ini. Cinta Arman umpama lampu suluh... Fokusnya begitu jelas dikala kegelapan malam. Terima kasih Arman kerana sudi menjadi kekasih gelapku. Mungkin atas dasar terima kasih itulah aku bersetuju untuk keluar dengan Arman yang bagiku pertama dan terakhir. Entahlah kenapa sifat nakal yang telah lama aku tinggalkan tiba-tiba datang kembali. Mungkin tarikan cinta Arman begitu kuat dan tak mampu untuk aku menolaknya.
Seperti dijanjikan malam ini aku berjumpa Arman di hotel bertaraf 5 bintang. Sungguh romantis suasana dikala itu. Aku duduk bertentang mata dengan Arman dihiasi lampu yang sedikit samar. Di tengah-tengah meja terhias sekuntum mawar merah yang baru ingin berkembang. Kemudian kami dialunkan dengan alunan muzik yang mengasyikan. Suasana romantik yang memang tidak pernah aku alami. Aku dan Arman hanya bertentang mata tanpa kata-kata. Entahlah mungkin terlalu banyak telah aku luahkan dalam perbualan ditelefon setiap petang. Bagiku hari ini aku hanya ingin bertemu dengannya dan selepas itu aku ingin lari dari cinta terlarang ini. Aku tak mahu terus menipu diri sendiri. Memang aku mengaku aku sangat sukakan Arman. Tapi apalah erti perasaan itu bagi aku sebagai seorang isteri. Aku tidak boleh mementingkan diri sendiri walau dalam apa keadaan sekali pun.
Aku dan Arman terus diam... Aku ingin sekali bersuara tetapi setiap kali aku
"Farah..." Tiba-tiba terasa ada suatu tangan yang menepuk bahu aku dari arah belakang lantas membuatkan aku tersentak. Aku sungguh kenal suara itu lalu membuatkan aku terus saja memejamkan mata sekuat yang mungkin. Aku tak sanggup dan tak berani membuka mata apa lagi menoleh kerana aku pasti itulah suara Imran.
Aku terus saja menekup muka dengan kedua-dua belah tangan lalu terus berlari meninggalkan Arman dan Imran. Fikiran ku terasa kosong dan aku terus berlari sambil mengalirkan airmata yang tak mampu aku bendung lagi...
Malam itu aku tidak berani untuk pulang ke rumah... Aku takut pada Imran. Apalah hukuman yang aku akan terima kali ini. Aku akan malu dengan keluarga. Entah lah... Dimana hendak aku letakkan air muka ku ini. Aku terus saja berdiri di penghujung jeti tempat orang menunggu feri yang pernah aku kunjungi semasa aku putus cinta dulu.
Deruan ombak yang ganas membuatkan aku begitu gerun. Takut sekali aku dimarahi Imran kali ini. Apalah akan jadi pada rumah tangga kami. "Fakhrul Ilmi... Maaf
"Farah..." sekali lagi aku aku terdengar suara Imran yang terus saja membuatkan lulut aku terus longlai tak mampu untuk berdiri. Aku terus duduk menangis sambil memeluk tiang jeti sambil menanti Imran datang menghampiri. Aku pasrah dengan hukuman yang bakal Imran berikan.
"Farah... Abang minta maaf Farah...." Tanpa aku duga Imran datang dengan penuh kelembutan, meminta maaf lalu memapah aku untuk berdiri. Air mata terus mengalir dan terus mengalir. Imran terus merangkul aku dari sisi lalu kami bergerak bersama menuju ke kereta tanpa kata-kata. Entah lah aku tak tahu apa yang ada dalam benak Imran... Memang Imran seorang yang hebat kerana bagi ku orang yang hebat bukan lah orang yang boleh mengalahkan orang lain, tapi orang yang boleh menahan diri daripada marah.
Imran memang hebat.. begitu hebat dan semenjak itu Imran berubah bukan saja sebagai suami, malah sebagi kawan yang sungguh ceria, setia dan sentiasa di sisi... Kini aku sungguh ceria di sisi Imran.
Tuesday, April 21, 2009
Bab 1: Hati Kian Sepi (Novel)
Mungkin jika 11 bulan yang lain kita begitu lalai dengan kehidupan duniawi, Ramadhan adalah kurniaan tuhan untuk manusia kembali kelandasan mencari erti kehidupan yang sebenar. Hidup sebagai hamba yang hanya menumpang nikmat dunia yang hanya sementara. Begitu singkat jika dibandingkan dengan akhirat yang kekal abadi.
Namun manusia seperti aku begitu lemah dan selalu lalai dengan semua itu. Kadang terlupa kepada tujuan hidup sebagai khalifah di muka bumi ini lalu begitu ego mencari kebahagiaan dunia semata sedangkan apa yang tuhan perintahkan adalah mencari kebahagiaan duniawi untuk bekalan di akhirat. Aku selalu tertipu. Mungkin itulah yang dinamakan nafsu. Nafsu yang mengawal diri melebihi akal fikiran yang waras.
“Wani… Mak tak larat nak pergi ke surau malam ni. Wani pergilah sendiri” Suara ibu begitu lemah malam itu.
Jauh di sudut hati aku beranggapan ibu terlalu lemah kerana gagal melawan sedikit ujian tuhan demi menunaikan solat terawih secara berjemaah di surau yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari teratak kami. Nyata perasaan itu begitu zalim. Mungkin perasaan sebegitu merupakan suatu kesalahan yang amat besar bagi seorang anak seperti aku. Aku begitu zalim menganggap ibu sebegitu.
Aku pergi ke surau bersendirian malam itu. Memang aku menyedari Solat Teraweh merupakan sunat Muakat bagi ummat Islam. Aku juga sedar aku sebenarnya tidak perlu pergi ke surau untuk menjalani ibadah ini kerana tempat paling afdal bagi seorang wanita mengerjakan solat adalah tempat di mana dia tidur. Namun surau itu begitu sebati dengan hidup aku setiap kali Ramadhan menjelma.
Semenjak kecil lagi ayah sudah membiasakan aku dan ibu mengerjakan terawih di Surau itu. Setiap Ramadhan ayah akan memimpin penduduk setempat menunaikan ibadah terawih ini secara berjemaah agar ia dapat ditunaikan dengan lebih tersusun, muafakat dan berkat. Aku begitu bangga dengan ayah yang merupakan seorang pemimpin, seorang imam, seorang ketua yang membawa jemaah sujud mengadap Ilahi, Tuhan yang maha Berkuasa. Ayah adalah sumber inspirasi yang sentiasa menunjukkan jalan kebenaran yang begitu lurus.
Namun langit tidak selalunya cerah. Air di kali tidak selalunya tenang. Kadangkala seketul batu yang sungguh kecil saja bisa menghasilkan gelombang apabila dicampak ke dalamnya. Begitu juga keluarga kami. Entah kenapa, Ayah seorang yang penuh dengan tanggungjawab dan kasih sayang semakin hilang pertimbangan. Pernikahannya buat kali kedua terus menyentap kebahagiaan keluarga kami.
Memang ibu sendiri yang merestui pernikahan itu. Namun madu yang diberi dibalas dengan racun yang sungguh berbisa. Ayah bagai dirampas dari keluarga kami. Kebahagiaan semakin pudar. Semakin lama ayah semakin menjauhi keluarga kami dan akhirnya ayah langsung membiarkan keluarga begitu saja. Aku dibiarkan tanpa kasih sayang. Ibu pula dibiarkan tergantung tanpa bertali. Entah apa status perkahwinan antara ayah dan ibu.
Ibu redha saja dengan apa yang berlaku. Raut wajahnya tetap tenang namun luka di hatinya tiada siapa yang tahu. Kesabaran ibu memang tiada tandingannya. Cintanya terhadap ayah begitu kental. Tidak sekalipun dia menuntut untuk berpisah walaupun mereka sudah tidak bersama sejak sekian lama. Tidak seperti wanita lain yang begitu mudah terpesong oleh sedikit saja usikan nafsu syaitan durjana. Sedikit ujian saja sudah sanggup berlaku curang dan menderhaka kepada seorang suami yang baik, yang bertanggungjawab kepada keluarga. Sungguh menyedihkan.
Penderitaan yang ibu tanggung begitu lama. Penderitaan yang seolah-olah memakan diri sendiri. Mungkin aku sebagai anak juga sebenarnya begitu zalim kerana gagal memberi keceriaan kepada ibu. Malah aku sendiri yang selalu menyakitkan hatinya. “Oh tuhan, sempena Ramadhan ini kau ampunilah dosaku kerana selalu melukakan hati ibu”
20 rakaat Terawih aku laksanakan malam ini ditambah 3 Rakaat solat Witir sebagai solat penutup malam. Bunyi surah yang dibaca di setiap rakaat oleh imam yang menggantikan ayah begitu mengusik hati. Begitu sayu. Teringat kembali ayah yang dulu mengaturkan suaranya yang lunak melagukan Ayat-Ayat Suci tuhan. Teringat kembali kebahagian lalu yang kini semakin hilang. Tinggallah aku dan ibu berdua kececeran…
Semenjak ayah tiada ibu adalah segala-galanya bagiku. Dia tempat aku bermanja, bermesra dan mengadu segala susah dan senang. Jika aku kecewa dia akan menangis, jika aku ceria dia akan tersenyum, bila aku gembira dia pasti akan tertawa. Dua tubuh yang berbeza tapi punyai hati dan jiwa yang bersatu.
Aku begitu bersyukur kerana tuhan mengurniakan aku ibu yang sebegitu baik. Sentiasa mengajar aku ke arah kebaikan tidak seperti ibu yang lain yang sering mengajar anaknya ke arah kelalaian. Kelaian yang semakin menjajah kehidupan manusia hari ini dalam keadaan yang langsung tidak disedari. Itulah permainan Yahudi…
Aku melangkah longlai pulang bersendirian. Tidak berteman seperti selalu. Dulu kami bertiga, selepas itu kami berdua dan hari ini aku sendiri. Mungkin hari esok dengan takdir tuhan kami akan bersatu semula. Jika itu tidak berlaku di dunia yang fana ini aku harapkan ianya akan berlaku di akhirat kelak. Insya Allah.
“Ibu… buka pintu… Wani dah balik…” Suara aku langsung tidak bersahut. Berkali-kali aku memanggil ibu namun ibu terus diam. Aku memutarkan tombol pintu namun ia berkunci. Aku mengalihkan pasu bunga dan mengambil kunci pendua yang sentiasa disimpan di situ. Aku terus menerjah masuk namun keadaan terus sunyi sahaja. Langsung tiada kelibat suara ibu.
Aku meluru ke bilik. Ku lihat ibu begitu lena tidur. Lega hati aku seketika. Wajahnya begitu manis penuh dengan senyuman walaupun pigmennya sudah agak lusuh dengan usia mencecah 55 tahun. Wajah seorang isteri yang sentiasa mendoakan kesejahteraan suaminya walaupun telah ditinggalkan. Mungkin itulah wajah orang yang diberkati tuhan. Di dunia lagi sudah jelas ‘Nur’ yang terpancar, moga nur itu bisa kekal hingga membawanya ke pintu Syurga.
“Bangun ibu… Wani dah balik… Mari kita makan.” Aku cuba membangkitkan ibu. Memang rutin itu yang kami lakukan selepas menunaikan ibadah terawih. Tapi hari ini ibu terus kaku, membisu tidak bersuara. Aku melekatkan telingga pada dada ibu. Nadiku berdetap kencang. Jantungku berdengut laju. Namun ia berlawanan dengan ibu. Jelas sudah tiada lagi degupan jantung ibu. Senyap dan sunyi saja…
Air mataku terus mengalir. Lemah dan kaku seluruh tubuh ini. Bagai ada suatu kuasa yang menyentap semangat ini membuatkan aku terus layu. Aku tak mampu mengangkat kembali kepala sendiri. Aaku sedar ibu telah pergi tetapi aku begitu sukar untuk aku menerima hakikat itu. Jika ayah tinggalkan aku dengan cara yang begitu perlahan tapi ibu tinggalkan aku dengan begitu drastik. Begitu cepat secara tiba-tiba. Langsung tiada pesanan. Aku terus longlai.
“Ibu.. maafkan Wani ibu…Maafkan Wani” aku begitu bersalah. Tadi aku tinggalkan ibu bersendirian demi mencari pahala yang lebih. Aku lebih pentingkan diri sendiri. Padahal bukanlah suatu keutamaan bagi wanita seperti aku menunaikan Terawih di surau. Apalagi meninggalkan ibu yang sedang dalam keadaan begitu.
Mungkin ibu begitu nazak menuju akhir nafasnya. Aku tiada di sisinya di saat itu. Tak mampu aku berikannya kekuatan. Tak mampu aku mengajarnya mengucapkan kalimah-kalimah Allah di hujung hayatnya. Tak mampu aku melindunginya dengan Ayat Allah bagi menepis gangguan syaitan yang begitu kuat di kala sebegitu. Aku begitu hampa…
“Ya Allah… Ampunilah hambamu yang zalim ini…” Memang aku berasa begitu zalim terhadap ibu. Ibu yang telah mengumpulkan seluruh kudrat meneran untuk melahirkan aku. Ibu yang telah menyalurkan susu demi menyambung nafas aku hari demi hari. Ibu yang begitu sabar melayan kerenah kedegilan aku demi membesarkan insan ini. Tapi hari ini aku zalim apabila merasakan ibu terlalu lemah kerana tidak mampu melawan dugaan untuk menunaikan solat terawih. Aku zalim kerana meninggalkannya dia sendirian. Tak sempat aku memohon ampun kepada ibu kerana kezaliman aku itu. Moga tuhan akan memberi keampunan kepada aku dari kesalahan yang begitu besar terhadap ibu. Aku hanya berserah padaNya.
Aku menguatkan diri untuk mengangkat kepala. Ku pandang wajah ibu. Pucat lesu namun tetap tersenyum. Masih manis seperti biasa. Wajah yang pasti akan aku rindukan selamanya selepas ini. Inilah peluang terakhir aku menatap wajah ibu. Tiada lagi selepas ini. Esok Ibu akan dimandikan, akan dikapankan dan kemudian akan disemadikan. Selepas itu aku pasti akan bersendirian. Dulu aku sepi tanpa kasih sayang ayah, kini kesepian itu pasti lebih mencengkam tanpa belaian ibu.
Aku bangkit menguatkan semangat. Aku terus menuju ke almari baju mengambil kain batik yang terlipat rapi di susunan rak. Aku koyakkan kain batik itu kepada beberapa bahagian. Satu bahagian aku jadikannya sebagai tali untuk mengikat dagu dengan ubun-ubunnya agar mulut ibu sentiasa terkatup. Perlahan aku mengelak kain batik ibu yang masih tersimpul di bahagian pinggang. Kemudian aku menarik seluar dalamnya yang masih terletak dan mencuci kemaluan serta duburnya kalau-kalau ada najis yang terkeluar di saat nyawanya disentap oleh malaikat maut sebentar tadi.
Kemudian lebihan kain batik tadi aku lipat-lipat dan aku sarungkan sebagai cawat. Aku terus menyalinkan pakaian ibu satu persatu. Di bahagian yang agak tersembunyi aku leretkan bebola pewangi. Kemudian aku sapukan sedikit bedak di bahagian dada, tangan, leher dan mukanya. Mungkin inilah kali pertama dan terakhir aku melakukannya terhadap ibu. Itupun setelah ibu hanya tinggal jasadnya saja, kaku tidak bernyawa. Rasanya tak terbalas jasa ibu yang telah melakukannya beribu-ribu kali terhadap aku. Akhir sekali aku ambil kain batik lepas lalu aku selimutkan keseluruhan tubuh ibu hingga menutupi permukaan mukanya menandakan ibu telah pergi buat selama-lamanya. Hati ini semakin sayu...
Aku terus ke bilik air untuk mengambil wuduk yang tadinya telah terbatal. Kemudian aku ambil senaskah Kitab suci Al-Quran dan aku terus duduk bersimpuh di sisi jasad ibu yang terbaring kaku di atas katil. Aku terus membacakan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai sedekah untuk ibu sebelum dibawa pergi esok. Biarlah aku sendiri saja menemankan ibu buat kali terakhir malam ini kerana sebelum ini sekian lama ibu telah menemankan setiap malamku…
Itulah hakikatnya hati. Bila masih bersama kita jarang merasakan kehadirannya di sisi tetapi bila ia pergi meninggalkan kita, barulah kita sedar, barulah kita akan benar-benar merasa kehilangan. Hari ini aku begitu merasai kehilangan ibu. “Ibu… Hati ini semakin sepi….”