- -

Terima Kasih Atas Sokongan Anda Terhadap Nukilan Saya. Saya Akan Cuba Uploadkan Hasil Nukilan Saya Sekerap Yang Saya Mampu. Semoga Ia Memberi Pengajaran Dan Bererti Kepada Anda. Saya Juga Mengalu-alukan Komen Dari Anda Semua Untuk Memperbaiki Kelemahan. Selamat Membaca..

Novel : Misteri Cinta Rafflesia

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 || Bab 10 ||

Novel : Hati Kian Sepi

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 ||

Thursday, June 18, 2009

Sampai Menutup Mata

Minah ni suara power gila...

Wednesday, June 10, 2009

BAB 7 : Misteri Cinta Rafflesia (Novel)

BAB 7 : RACUN UNTUK RAFFLESIA.

“Aku tersentak sejenak mendengar berita itu. Sukar untuk aku mempercayainya. Bukan sehari dua aku mengenali Shah. Kami kenal begitu lama semenjak di Sabah lagi. Tak mungkin Shah akan berlaku curang atau ingin mempermainkan aku kerana paksi cinta kami begitu kukuh dan tak mungkin akan tergugat...”.



RAFFLESIA :

Suasana petang Sabtu di Taman KLCC hari ini tidak seperti biasa. Memang hari ini aku tetap ke sini namun aku langsung tiada nafsu untuk berjoging. Lebih suka membiarkan lemak terus terpendam di dalam tubuh. Bebarapa kali aku cuba mengatur langkah tetapi nyata langkahku longlai. Tidak kencang seperti biasa. Akhirya aku mengambil keputusan untuk duduk bersendirian di kerusi batu menanti Suzy rakan serumahku selesai berjoging.

Jika di Tambunan aku dapat melihat keindahan puncak Gunung Kinabalu tapi di sini aku dapat melihat puncak menara KLCC. Sayup-sayup kelihatan begitu tinggi. Panorama yang sungguh indah walaupun tidak seindah puncak Kinabalu.

Teringat kembali kejadian beberapa minggu lalu semasa aku sedang berjoging di sini kemudian aku disapa oleh pemuda gila yang memanggil dan menyeringai kepada ku. Aku langsung tidak mengendahkan dan akibatnya aku telah dicolek oleh Danial Afendi 2 minggu lalu.

Peristiwa yang awalnya agak misteri tetapi begitu menusuk jiwa bila aku seakan dapat merasakan betapa Danial benar-benar terseksa oleh gangguan Rafflesia. Dan kini aku pula seakan terjebak dengan apa yang telah berlaku terhadap Danial. Aku pula menjadi tidak tenang, tak mampu mengatur langkah untuk berjoging lalu membiarkan Suzy berjoging bersendirian.

Memang sebelum ini aku begitu pelik dengan lelaki gila yang mengenali aku itu. Memanggil nama ‘Rafflesia’ dan berlari mengejar aku… Aku tak sangka lelaki itulah yang bernama Danial Afendi yang begitu misteri yang membantu menyelesaikan penemuan mayat Noni.

Kalaulah aku tahu si gila itu adalah Danial Afendi sudah lama aku melayannya. Sudah lama aku akan cuba memulihkannya. Aku sedar kini Danial menjadi seperti ini kerana Noni. Aku harus bertanggungjawab ke atas Danial Afendi.

Entahkah apa yang telah berlaku ke atas Danial Afendi, tapi aku yakin Danial telah hilang kawalan terhadap dirinya sendiri. Semangat ‘Rafflesia’ begitu kuat mempengaruhinya sehingga menyerap ke dalam mindanya.

Mungkin juga di kala Danial melancong ke Sabah, dia mengalami tekanan perasaan yang amat kuat. Kemudian apabila Misteri Si Rafflesia melanda Danial terus hilang arah, tidak dapat mengawal diri dan perasaan akhirnya dia hilang kawalan diri hingga menjadi gila. Entahlah itu hanyalah teori aku. Kenyataannya tuhan yang Maha Kuasa yang lebih mengetahui.

“Nani.. Termenung sendiri nampak… Ingatkan Shah ke?” Suara Suzy rakan serumah aku segera saja membangkitkan aku dari lamunan. Dia sudah selesai berjoging rupanya, langsung aku tidak perasan.

“Eh!! tak adalah… saja je.. seronok tengok puncak menara tu teringat dengan Gunung Kinabalu pula…” Aku menafikan.

Memang beberapa hari ini aku sudah hilang tumpuan terhadap Shah. Ingatan aku lebih kepada Danial Afendi. Sukar untuk aku melupakan peristiwa penculikkan yang mengerikan tetapi penuh dengan perasaan cinta Danial Afendi terhadap Noni Rafflesia.

“Suzy… apa pendapat kau tentang Danial Afendi…?”

Aku cuba mendapatkan buah fikiran dari Suzy seorang kawan yang paling rapat di Kuala Lumpur ini. Dialah yang membawa aku ke dunia permodelan. Perkenalan kami memang sudah lama semenjak belajar di Australia lagi.

“Danial Afendi… Aku rasa dia mangsa keadaan. Kau kena bantu dia Nani… Dia tangungjawab kau. Kau mesti tahu kan kenapa dia boleh jadi macam tu…” Suzy memberi pendapat.

Memang itulah yang aku fikirkan beberapa hari ini. Aku rasa aku saja insan yang mampu memulihkan Danial. Aku sajalah harapan untuk membolehkan Danial sembuh seperti sedia kala jika diizinkan Tuhan.

“Memang tu yang aku fikirkan… Aku kesian sangat dengan dia… Dia tak bersalah… Dia mangsa keadaan..” Aku memberitahu Suzy. Suzy tersenyum tanda faham.

“Dah tu macam mana… Kalau kau rasa itu tanggungjawab kau… Kau kena berkorban untuknya Nani.. Kesian Danial..” Suzy memberi kekuatan kepada aku. Aku harus berkorban bukan hanya kerana Danial Afendi… tetapi juga kerana Noni Rafflesia.

“Tapi Suzy… tak kan aku nak tinggalkan Shah… Kesian dia kalau aku ke Johor…” Memang aku kesiankan Danial, namun aku perlu juga menjaga hati Shah. Bagaimana hubungan kami nanti jika kami berjauhan, tidak dapat bersama selalu.

“Nani… aku nak cakap sikit. Aku harap kau tak kecil hati… Demi kawan aku rasa aku perlu beritahu kau” Suzy berkata sambil memandang aku dengan wajah yang agak serba salah. Seperti ada suatu rahsia yang aku tidak tahu yang ingin dia pecahkan.

“Kau kan kawan aku… cakap saja Suzy… Aku tak kisahlah..” Aku membalas.

“Sebenarnya aku dah beberapa kali terserempak Shah dengan perempuan lain. Mereka sungguh mesra..” Suzy memberitahu. Nampak begitu bersungguh-sungguh dia dalam menyampaikan berita itu.

Aku tersentak sejenak mendengar berita itu. Sukar untuk aku mempercayainya. Bukan sehari dua aku mengenali Shah. Kami kenal begitu lama semenjak di Sabah lagi. Tak mungkin Shah akan berlaku curang atau ingin mempermainkan aku kerana paksi cinta kami begitu kukuh tidak mungkin akan tergugat.

Hubungan aku dengan Shah bukannya hubungan cinta biasa tetapi lebih kepada meneruskan cinta yang lalu antara Shah dan Noni. Kami begitu rapat semenjak Shah menjadi kekasih Noni lagi.

Selepas kematian Noni, akulah yang menjadi penggantinya. Aku kasihan dengan Shah yang begitu kecewa dengan pemergian Noni yang tidak disangka-sangka. Atas dasar itulah aku sanggup menjadi pengganti Noni walaupun mungkin tidak sehebat kasih dan sayang Noni terhadap Shah. Aku hanya cuba yang terbaik.

“Aku cakap sebab kau kawan aku Nani… kalau kau tak percaya terpulanglah…” Suzy kembali cuba meyakinkan aku apabila dia menyedari aku seakan endah tak endah dengan berita yang disampaikan tadi.

“Bukan aku tak percaya… tapi… tak kan lah… Shah….” Aku tak mampu meneruskan kata-kata. Amat berat untuk aku percaya. Aku rasa aku sangat mengenali Shah.. Dia seorang yang baik dan sungguh menyayangi aku sebagaimana dia pernah menyayangi Noni suatu ketika dulu.

Namun dalam aku mempercayai Shah sukar untuk menolak kata-kata rakan paling karib aku… Suzy. Bukan sehari dua juga aku mengenali Suzy... begitu lama semenjak kami sama-sama belajar dulu di Australia dulu.

“Terpulanglah pada kau Nani… Aku rasa sebagai kawan, aku bertanggung jawab untuk memberitahu apa yang aku tahu…” Suzy memberitahu dengan muka seakan rasa bersalah.

“Aku faham Suzy… Terima kasihlah beritahu aku. Malam ni aku akan jumpa Shah. Pandailah aku selesaikannya…” Aku memberitahu. Mungkin maklumat itu akan melegakan hati Suzy yang seakan bersalah membocorkan rahsia kecurangan Shah.

“Baguslah Nani… ibarat menarik rambut di dalam tepung… Rambut tidak putus, tepung tidak berselerak..” Suzy memberi sedikit nasihat. Aku hanya diam saja dan sedikit mengangguk tanda paham apa yang diperkatakannya.

Memang Suzy seorang kawan yang baik…. Mungkin dia tidak mahu aku berpisah dengan Shah kerana kami bertiga kini semakin rapat. Shah adalah kekasih aku, Suzy pula adalah teman karib aku. Kami bertiga sememangnya mesra dan selalu bersama. Atas dasar itu aku akan cuba menyelesaikan konflik dalaman ini dengan cara yang terbaik agar penyelesaiannya tidak merugikan sesiapa.

Tuesday, June 2, 2009

Hati Danial

Danial duduk bersila sambil menongkah daku di tepi kolam memerhatikan ikan Kap yang bermain girang. Cuaca panas yang mencecah 38 Darjah Celsius langsung tidak dihiraukannya. Bebola matanya begitu fokus pada setiap gerak geri ikan-ikan kap yang berenang berkejaran. Lagak ikan-ikan itu begitu girang sekali namun sedikit pun tidak mampu membuat Danial tersenyum walau sedikit.

Seperti biasa jam 2.00 petang Danial akan pulang dari sekolah. Usianya baru 7 tahun dan baru berada pada tahun 1 sekolah kebangsaan. Dia seperti kanak-kanak lain yang pastinya akan berlari menuju ke pintu pagar rumah setiap kali pulang dari sekolah.

Entahlah apa seronoknya pulang ke rumah. Mungkin berada di sekolah itu suatu yang amat membosankan atau itu memang sifat semula jadi kanak-kanak yang mungkin tidak sabar mahu mengkhabarkan keceriaan dan keseronokan di sekolah kepada ibu bapanya.

Namun kali ini sifat Danial begitu berbeza. Dia menuruni anak tangga bas dengan lemah kemudian melangkah dengan begitu longlai. Perlahan dia membuka selak pintu pagar yang tidak berkunci lalu memesongkan langkah ke kolam ikan dan terus saja dia duduk di tepinya sambil memerhatikan ikan Kap yang bermain.

Rautnya sedikit monyok dan langsung tiada keceriaan tidak seperti hari-hari yang biasa. Seperti ada kerungsingan yang cuba disembunyikan dari raut wajah anak kecil ini. Perlahan dia melonggarkan kasut lalu meletakkannya di sebelah. Kemudian ditanggalkan kedua-dua belah stokin lalu disumbatkannya ke dalam kasut setiap satunya.

“Danial… buat apa kat panas tu.. masuk sini..” Herdikan Rini, ibu Danial segera menyentap lamunan anak kecil itu.

Danial tersentak lalu segera bangkit sambil mencapai kedua-dua belah kasut yang telah ditanggalkan tadi. Dia menghayun langkah yang agak deras dan cuba mengukir senyuman semata-mata mahu menyembunyikan sesuatu kepada ibunya.

“Macam mana kat sekolah tadi?”

“Tak ada apa-apa…” Jawab Danial Ringkas terhadap soalan yang ibunya ajukan.

“Cuci tangan lepas tu pegi makan…” Perintah Rini.

Danial tidak banyak cakap dan menurut saja. Setelah mencuci tangan dia terus duduk di kerusi sambil menghadap makanan yang telah dihidang oleh Rini. Kemudian dia menadahkan kedua belah tangan untuk membaca doa…

“Allah huma barik lana fima rozaktana wakina azabannar… Amin Ya rabbal alami. Minna waminkum taqabal ya karim..”

“Hai Danial… Perlahan je baca doa hari ni… selalu kuat..” Rini menegur

“Ye lah…” Jawab Danial lalu mengulangi bacaan doa dengan suara yang lebih kuat seperti biasa.

Rini hanya tersenyum melihat gelagat anaknya. Kadang kala sikap kanak-kanak memang sukar diramal. Namun setiap yang dilakukan pasti ada sebabnya kerana jiwa kanak-kanak itu luhur, murni dan masih belum tercemar. Mereka tidak pandai menipu, tidak pandai berpura dan jujur dalam setiap perbuatan.

“Kenapa makan tak habis ni?” Tanya Rini.

“Tak selera” Jawab Danial lagi.

Rini menerima saja jawapan Danial. Namun dalam hatinya terdetik ada sesuatu yang tidak kena pada anaknya. Dia mendekati Danial lalu meletakkan belakang telapak tangan pada dahi Danial. Ternyata ada sedikit kenaikan suhu pada anaknya. “Mungkin Danial tidak sedap badan lantas dia kurang selera makan.” Rini membuat andaian.



Malam Hari….

Hasrul pulang kerja agak lewat hari ini. Selalunya sebelum maghrib dia pasti sudah sampai di rumah untuk mengimamkan solat. Namun hari ini dia pulang lewat sekitar jam 11 malam atas urusan kerja.

“Danial dah tidur ?” Soal Hasrul kepada Rini.

“Dah kot…” Jawab Rini ringkas.

Hasrul segera masuk ke bilik air untuk membersihkan diri setelah seharian bekerja. Tidak lama kemudian dia keluar semula dengan kain pelikat yang bergulung di bahagian pinggan dan tuala yang disangkutkan di bahu sebelah kanan. Kemudian dia mengenakan T-Shirt putih yang telah disediakan oleh Rini dan diletakkan di atas katil.

Setelah itu Hasrul terus mencapai sejadah lalu membentangkannya di bahagian tengah rumah yang bertentangan antara bilik tidurnya dan bilik Danial lantas dia segera menunaikan rukun Islam yang ke 2.

Selesai saja solat Hasrul bingkas bangun lalu menolah ke belakang. Di saat itu dia seaka terpandang kelibat Danial yang sedang mengintainya dari celah pintu bilik. Dia hanya tersenyum dan terus melangkah ke bilik tidur Danial.

Pintu bilik dibuka luas tetapi jelas Danial sudah pun tidur. Hasrul datang mendekati lalu mengucup dahi anaknya itu seperti biasa. Rutin yang dilakukannya setiap malam sebelum melelapkan mata. Di waktu itu dia terlihat mata Danial berkelip-kelip sedikit.

“Ah.. Dia belum tidur..” Bisik hati Hasrul lalu melabuhkan punggung di sisi tubuh Danial.

“Kenapa Danial tak tidur lagi ?” Tanya Hasrul sambil mengusap anak rambut Danial.

Danial tersentak. Dia tidak tahu bagaimana ayahnya boleh tahu dia sebenarnya berpura-pura melelapkan mata. Dia membuka Mata lalu mengukir senyuman.

Hasrul merenung mata Danial. Sayu saja mata anak kecil itu seakan ada masalah yang dipendam.

“Mama marah Danial ke?” Tanya Hasrul cuba mengorek rahsia.

“Tak…”

“Dah tu kenapa?” Tanya Hasrul lagi yang memang masak dengan setiap perlakuan anaknya,.

“Danial tak jadi ketua kelas lagi… Cikgu tersalah anggap…” Jawab Danial yang membuka satu lembaran cerita baru.

Hasrul terdiam sejenak. Ternyata anaknya itu mengalami masalah tersendiri. Benaknya terfikir sesuatu kemungkinan anaknya telah melakukan kesalahan semasa di sekolah.

“Kenapa macam tu? Apa yang cikgu salah anggap?” Tanya Hasrul cuba mengambil perhatian Danial.

“Tadi Maisara tak ambil penyapu… sebenarnya Danial bukan penat nak ambil penyapu tapi Danial nak ambil bergilir-gilir. Sepatutnya Maisara yang ambil. Tak kan Ketua kelas saja yang ambil penyapu setiap hari.” Danial memberi penjelasan.

Hasrul tenang mendengarnya. Mahu saja dia mengukir senyuman namun dia menahan saja demi menjaga hati anak kecilnya itu. Mungkin bagi seseorang dewasa itu bukan lah suatu masalah tetapi bagi anak kecil seperti Danial perkara seperti ini bisa membuatkannya sukar melelapkan mata.

“Danial dah terangkan pada teacher?” Soal Hasrul lagi.

“Tak sempat. Teacher terus marah Danial dan tukar ketua kelas yang baru.” Rintis Danial lagi.

Hasrul semakin faham. Dia sedar anaknya memang petah berkata-kata namun mungkin kali ini Danial tidak diberi ruang untuk mempertahankan diri.

“Jadi apa Danial nak buat sekarang?” Tanya Hasrul. Sengaja dia mahu melihat sendiri apa idea yang bakal dijelmakan oleh Danial

“Papa tolong Danial buat surat. Danial nak beri pada teacher.” Danial menyatakan cadangannya. Hasrul tersenyum takda setuju.

“Ok… Kejap Papa ambil kertas nanti Danial tulis…” Hasrul menyatakan persetujuan dan Danial mula tersenyum sedikit puas.


Kepada Teacher Aini

Assalamualaikum

Sebenarnya teacher salah faham.

1. Saya bukan penat nak ambil penyapu, tapi saya telah sediakan jadual untuk ambil penyapu setiap hari. Hari ini giliran Maisara tapi dia terlupa nak mengambil penyapu.

2. Saya ketua kelas jadi saya tak mahu saya saja yang ambil penyapu. Semua pelajar juga harus bekerjasama. Tak kan ketua kelas saja yang kena ambil penyapu.

3. Saya mahu jadi pelajar yang baik. Saya mahu jadi ketua kelas bukan tukang pengambil penyapu. Saya harap teacher faham dan jangan salah faham.

Daripada Danial.


Hasrul melayan saja apa saja yang ditulis oleh anaknya. Dia hanya membetulkan beberapa ejaan yang salah dieja oleh Danial. Baginya urusan mendidik di sekolah harus diberi kepercayaan sepenuhnya kepada guru. Tapi kadang kala guru juga gagal memahami jiwa anak-anak kecil yang sepatutnya diberi hak untuk membela diri seperti Danial. Bagi Hasrul dia tidak berniat mencampuri urusan anaknya di sekolah. Dia sekadar mendidik anak untuk berani mempertahankan apa yang difikirkan benar bagi dirinya.

“Surat dah siap, Danial tidur dulu esok beri pada teacher…” Hasrul memujuk. Danial hanya membalas dengan senyuman. Jelas tergambar satu kepuasan dari raut wajah anak kecil itu.


Di Sekolah…

Masa ke empat dalam jadual hari Rabu adalah mata pelajar Bahasa Melayu yang akan diajar oleh Cikgu Aini. Danial seakan tidak sabar menantikan saat itu. Dia begitu ghairah untuk menghulurkan surat yang ditulisnya malam tadi kepada Cikgu Aini.

“Bangun… Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatu…”

Kuat suara Ikmal memberi arahan dan kemudiannya memberi salam. Tugas yang baru dipikulnya semenjak semalam apabila menggantikan Danial sebagai ketua Kelas 1 Cendana. Danial menurut bersama rakan-rakan yang lain menurut saja namun hatinya sedikit terkilan. Mungkin dia berasa segan apabila kehilangan jawatan dan diherdik oleh guru di hadapan rakan-rakan berikutan tidak mengambil penyapu semalam.

Sepanjang 30 minit kelas berlangsung Danial kurang dapat menumpukan sepenuhnya terhadap pelajaran yang diajar. Benaknya diusik dengan peristiwa semalam. Dia juga terlalu memikirkan cara dan masa yang sesuai untuk menghulurkan surat membela diri.

Loceng berbunyi, Semua pelajar di kelas 1 Cendana seakan tersentak lalu dengan sekelip mata tergambar wajah ceria pada air muka masing-masing. Kanak-kanak ini semua seakan begitu gembira apabila tibanya waktu rehat.

“Terima Kasih Cikgu….” Suara Ikmal bergema lagi lalu disambut oleh seluruh murid dalam kelas 1 Cendana.

“Teacher… Saya nak bagi surat pada teacher…” Cikgu Aini yang sedang mengemaskan buku-buku yang bersepah di atas mejanya tersentak apabila disapa oleh Danial. Lantas saja di merenung wajah Danial yang sedikit muram lalu mencapai sekeping kertas A4 berwarna putih yang dihulurkan oleh Danial tanpa sebarang bicara.

Cikgu Aini terus membaca surat yang begitu ringkas itu dengan tulisan Danial yang sedikit bercelaru sekejap besar dan sekejap kecil. Langsung dia tidak mengendahkan pelajar-pelajar lain yang kegirangan berlari keluar dari kelas untuk ke kantin.

“Danial ada buat jadual untuk mengambil penyapu ?” Tanya Cikgu Aini

“Ada… ni..” Jawab Danial ringkas sambil mengeluarkan satu kertas yang begitu lusuh dari poket sebelah kanan uniform baju sekolahnya. Dia sudah bersedia untuk menunjukkan bukti itu kepada Cikgu Aini.

Cikgu Aini mencapainya lalu membelek jadual yang disediakan oleh Danial. Hatinya sedikit terusik. Mungkin kesal dengan tindakan mengherdik Danial semalam yang dilakukan tanpa usul periksa. Mungkin pada dirinya dia merasakan Danial hanya seorang kanak-kanak yang telah melakukan kesalahan dan wajar dihukum tanpa membenarkan sebarang pembelaan diri. Menjawab kata-kata guru kadang kala dianggap biadap.

Mungkin hati kanak-kanak ini begitu terusik kerana setiap kanak-kanak diawal persekolahan mempunyai sifat yang jauh berbeza diantara satu dengan lain bergantung acuan yang disediakan oleh ibubapa mereka. Mungkin juga cara didikan yang diterima Danial berbeza dan agak terbuka. Sememangnya Danial diajar untuk lebih berkomunikasi, mengutarakan pendapat dan sentiasa berani menegakkan kebenaran. Itulah yang Hasrul terapkan terhadap anak kesayangannya Danial.

“Ok Danial... Teacher salah anggap patut semalam Maisara yang perlu ambil penyapu. Tugas ketua kelas bukan tugas pengambil penyapu…” Cikgu Aini menerangkan seakan memujuk. Sepantas kilat Danial tersenyum puas mendengar ucapan Cikgu Aini. Baginya dia telah berjaya membela dirinya dalam kes semalam.

“Mari ikut teacher…” Sambung Cikgu Aini lagi sambil menepuk dan mengusap belakang Danial dengan perlahan.


Jam 2 Petang.

Bas sekolah berwarna jingga meluncur perlahan dan kemudiannya berhenti benar-benar di hadapan rumah Hasrul. Seketika kemudian kelihatan Danial yang turun dari bas dengan wajah yang begitu ceria. Langkahnya terlompat-lompat seakan menari kecil.

Tiba-tiba langkah Danial terhenti. Dia sedikit tersentak apabila melihat motokar ayahnya berada di dalam kawasan pagar rumahnya. Seribu satu persoalan bermain di mindanya kerana biasanya setiap kali dia pulang ayahnya pasti tiada. Hanya ibunya, Rini saja yang akan menyambutnya. Hasrul biasanya hanya akan pulang ke rumah menjelang waktu Maghrib.

“Mama… mana ayah?” Tanya Danial tidak Sabar. Jelas hari ini Danial pulang dengan begitu ceria dan sungguh berbeza dengan semalam.

“Ayah di atas sedang tidur. Jangan kacau ayah sayang… ayah demam.” Rini memberitahu.

Danial mengangguk tanda faham kemudian dia melondehkan beg galas dan meletakkannya di sisi tangga. Dia terus saja melangkah terjengket-jengket perlahan mendaki anak tangga satu persatu secara perlahan agar tidak mengganggu Hasrul. Sampai saja di pintu bilik Danial segera menjenggah dan mendapati ayahnya sedang nyenyak tidur.

Perlahan Danial datang menghampiri lalu berbaring di sisi Hasrul. Kemudian perlahan dia menjulurkan tangan dan memeluk Hasrul yang masih lena.

“Ayah... Tadi teacher Aini kata Danial tak bersalah… Dia kata Danial budak baik. Waktu rehat tadi Teacher Aini belanja Danial makan di tempat makan guru…” Danial menyampaikan perkhabaran gembira pada ayahnya. Hasrul diam saja dan terus lena.

Seketika kemudian Danial mula geram apabila Hasrul hanya mendiamkan diri. Pendapatnya, Hasrul berpura-pura tidur seperti biasa lalu dia menghulurkan telunjuk dan menonjolkan pada ketiak ayahnya agar Hasrul berasa geli. Namun tindakan Danial gagal mendatangkan sebarang reaksi kepada Hasrul.

Danial segera melompat lalu menjerit… “Mama… Kenapa ayah…?”

Rini tersentak dengan pekikan Danial lantas dia berlari ke tingkat atas rumah teres itu. Di pandang wajah Hasrul yang jelas begitu pucat dan lesu. Jantung Rini berdegup kencang sambil merapati tubuh Hasrul yang nampak terkulai. Rini meletakkan tangan di dada Hasrul. Jelas tiada lagi degupan. Dicapainya pula tangan hasrul yang terkulai dan memeriksa nadinya. Jelas tiada lagi nadi yang berdetik. Dalam keadaan yang tidak terkawal Rini terus menangis sambil mengoyang-goyangkan badan Hasrul dengan harapan Hasrul akan sedar. Namun usaha itu hanya sia-sia.

“Kenapa ayah Ma….?” Tanya Danial menuntut jawapan.

Rini membiarkan pertanyaan Danial tanpa sebarang jawapan. Dia tidak tahu bagaimana mahu menerangkan kepada anaknya tentang pemergian Hasrul buat selama-lamanya. Perlahan dia membongkokkan diri lalu merangkul Danial sekuatnya.

Danial hanya membatu tetapi airmatanya menitis. Mungkin dia sudah faham apa yang telah berlaku terhadap ayah kesayangannya, Hasrul.

Thursday, May 28, 2009

Qhaud Yang Benar

Malam makin larut, namun bebola mata Qhaud masih tajam memerhatikan atap zink yang kian usang. Nampak berkarat walaupun dalam kelam. Sukar benar untuknya melelapkan mata atau mungkin dia tidak mampu untuk melakukannya. Sesuatu perbuatan yang begitu mudah bagi manusia biasa tapi begitu sukar bagi Qhaud yang terus mengenangkan nasib dirinya.

Maghrib tadi adalah kemuncak kebiadapan oleh manusia yang bergelar isteri. Seorang isteri yang diwajibkan patuh dengan apa saja suruhan suami selagi suruhan itu tidak melanggar hukum syarak, namun Zila isteri Qhaud yang sah begitu angkuh menghalau Qhaud keluar dari rumah. Masalah rumah tangga yang kian berpanjangan akibat keegoan seorang isteri.

“Aku benci kau… lelaki dayus!!! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Berambus kau dari sini..” Tengking Zila sambil menyentap baju Qhaud hingga koyak. Begitulah sikap Zila yang begitu angkuh dan biadap terhadap suaminya.

Qhaud hanya mendiamkan diri namun airmatanya bercucuran. Sedih yang tidak terhingga. Memang dia sedih dihina sedemikian rupa namun dia lebih sedih melihat kebiadapan seorang wanita yang sentiasa menunaikan solat 5 waktu namun segala amalannya sebenarnya tidak berguna sepanjang hayatnya akibat Nusyus terhadap suami. Dia sedih kerana gagal mendidik insan yang bergelar isteri yang telah diamanahkan tuhan kepadanya.

“Ya Allah maafkankan dosa isteriku dan tunjukkan lah dia jalan yang benar.” Kebiadapan yang Qhaud terima namun doa yang Qhaud balas. Itu saja yang mampu Qhaud ucapkan… Itu pun hanya di dalam hati. Qhaud terus diam memerhatikan satu persatu pakaian dilontar keluar dari dalam bilik. Mak Su ibu kepada Zila yang juga ibu mertua Qhaud tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala memerhatikan tindakan anaknya, Zila.

Mungkin inilah wanita zaman milenium. Punya kerjaya, punya kuasa. Taraf suami dan isteri dirasakan bagaikan tiada beza. Sama saja… Apabila isteri merasakan diri mereka lebih berkuasa suami dicampak seakan tidak berguna. Mungkin itu hanyalah sebahagian kecil namun itu lah yang Zila lakukan.

Segelintir isteri di zaman ini… menduakan suami itu suatu yang biasa dan kadang kala tidak dianggap salah. Bila ada cinta yang lain, yang lebih seronok lebih menarik yang lebih tertarik dengan mudah cerai dipinta. Alasannya mudah saja, sudah tiada hati untuk hidup bersama. Tiada nafsu katanya. Namun bila perpisahan tak mampu dilerai suami pula dianggap dayus, penakut dan tidak bertanggungjawab. Adakah mempertahankan rumah tangga itu bukan suatu tanggungjawab bagi seorang suami ?

Mungkin itulah hikmahnya talak diberi kuasa mutlak kepada suami, jika tidak mungkin terlalu ramai lelaki yang akan menjanda diceraikan oleh si isteri.

Bagi Zila tanggungjawab anak-anak terus dijaga, tanggungjawab terhadap suami tak mengapa boleh ditolak ke tepi kerana anak tetap di hati tetapi suami boleh ditukar ganti. Bukan ajaran agama yang diturut, bukan petunjuk nabi yang diikut tapi prinsip syaitan yang disahut.

“Qhaud… kau pergilah cari wanita yang lebih baik dan lebih sesuai dengan kau. Mak dah tak mampu nak tolong...” Mak Su, ibu mertua Qhaud juga sudah mula mengalah. Tak mampu lagi dia meluruskan anak wanitanya yang kian bengkok.

Air mata Mak Su sebenarnya sudah lama kering. 9 bulan dia mengandungkan Zila. Bartahun-tahun dia membesarkan dalam kesakitan, kepayahan dan serba kekurangan. Setiap hari dia membaja dengan didikan ilmu, nasihat dan cucuran doa. Namun nasihat ibu kini langsung tidak diguna. Airmata ibu langsung tidak dipeduli, maruah keluarga ditolak saja ke tepi. Kini bagi Zila tak kisah apa orang nak kata, tak kisah saudara dan jiran berbicara asalkan hatinya puas, berjaya dalam cinta ciptaan syaitan durjana.

Azan subuh sayup berkumandang. Qhaud tersentak dari lamuman, jelas dia gagal dalam usaha melelapkan matanya sendiri. Mungkin juga kerana suasana yang tidak selesa. Tiada tilam, tiada bantal. Baring di atas lantai papan beralas tikar buruk yang dibekalkan Mak Su. Pondok buruk tempat menunggu durian ini sajalah destinasi singgahan selepas dihalau Zila Maghrib tadi.

Perlahan dia bangit lalu mencapai pelita yang tergantung di tiang lalu bergerak terhoyong hayang menuju ke tali air yang sejajar dengan jalan. Diletaknya pelita itu di tepi tebing tali air lalu dia terus saja mengambil wuduk dengan pernuh tertib.

Dikumurnya mulut dengan gigi-gigi yang kian rapuh, diikuti dengan muka yang kian kusam, tangan yang kian longlai, anak rambut yang kian beruban dan kaki yang kian retak tumitnya. Setelah selesai Qhaud kembali semula ke pondok buruknya lalu menunaikan fardu Subuh dalam suasana dinihari yang sungguh tenang.

“Ya Allah.. Engkau Maha mengetahui lagi Maha berkuasa.... Kau Kembalikan kan kebahagiaan lalu kepada insan kerdil ini. Sesungguhnya tiada daya dan upaya selain dari kudrat Mu wahai Tuhan ku....”

Qhaud terus merintih meminta belas jika ada sisa-sisa harapan untuk dia mengembalikan kebahagian keluarganya. Memang tiada formula lagi yang mampu Qhaud jelmakan. Segala-galanya telah dilakukan namun masih tidak berjaya untuk menyedarkan Zila dari terus sesat dalam cinta terlarang. Kini senjata bagi Qhaud hanyalah kesabaran dan kewarasan .

Qhaud bangkit dari sujudnya lalu duduk di hadapan tangga pondok buruk itu. Dari jauh kelihatan cahaya matahari mula muncul seolah-olah menyelinap masuk dari celah-celah pohon durian dan semak samun di sekeliling pondok. Sinaran matahari terbit kembali hari ini tetapi apa akan jadi pada rumah tangga Qhaud dan Zila esok yang seumpama retak menanti belah.

“Aku terima nikah Azila Bte Jamin dengan mas kawinnya 22 ringgit setengah tunai”

Teringat kembali Qhaud pada hari bahagia pernikahannya dulu. Akad yang dilakukan sekali itu terus menjadi batu tanda hubungan cinta mereka berdua. Percintaan yang begitu sukar dengan halangan keluarga akhirnya disudahi dengan pernikahan yang terpaksa diterima walaupun berat oleh ibu bapa Zila yang kurang bersetuju pada mulanya. Namun sebagai seorang ibu yang mahu melihat anaknya bahagia Mak Su akur dengan kedegilan Zila walaupun Qhaud bukanlah pilihan hatinya. Dicampaknya ego jauh-jauh lalu Qhaud diterima sebagai anak sendiri dan tiada langsung perbezaan antara menantu dan anak sendiri. Itulah kelembutan hati seorang wanita yang bergelar ibu yang juga seorang wanita. Tapi sayang kelembutan hati Mak Su tidak diwarisi oleh Zila yang begitu degil untuk terus mengikut nafsu syaitan.

“Qhaud!!!....” Jeritan Mak Su tiba-tiba mengganggu lamunan Qhaud membuatkannya sedikit tersentak. Dia tidak sedar kehadiran Maksu yang bergegas menghampiri dengan motorsikal buruknya.

“Kenapa Mak?”
“Zila...”
“Kenapa dengan Zila?”
“Dia kemalangan sewaktu hendak pergi kerja tadi pagi....”
“Astagfirullah halazim.....”


Sebulan kemudian....


Zila termenung di kamar usang. Terasa dirinya kini terlalu sepi hidup sendirian. Sebelum ini dia begitu bebas untuk bergerak. Pergi kemana saja yang dimahukan. Baginya izin dari suami tidak perlu kerana dia punya wang sendiri, punya motokar sendiri dan punya kekuatan sendiri. Tanpa Qhaud di sisi pun dia mampu hidup selesa.

Tapi keadaan itu telah jauh berbeza. Kemalangan bulan lalu terus menyentap segala kekuatannya. Kakinya terpaksa dipotong kerana hancur tersepit dalam kemalangan ngeri yang telah melanda dirinya. Motokar yang selama ini membawanya meluncur bebas bagaikan burung kini mula tersadai, telefon bimbit yang selama ini menjadi penghubung antara dia dan kekasih gelapnya juga kian sepi. Entah kemana pergi kekasih yang sebelum ini katanya mahu sehidup semati sehingga Zila sanggup untuk berlaku nusyus terhadap suaminya sendiri.

Keegoannya Zila kini memakan diri. Dia begitu lemah dan kini lumpuh dalam pergerakan. Hatta menambah kredit untuk talian prabayar telefon sendiri pun tidak mampu. Tiada seorang pun ahli keluarga yang mahu membantu pergi mendapatkan akibat marahkan sikap ego Zila selama ini.

Selama ini Zila merasakan tiada siapa yang dapat menghalang kekebasan hubungan cinta terlarang mereka. Namun dia terlupa akan kuasa tuhan. Zila tertipu dengan tunggang-tonggek dan tadahan tangan memohon agar dia berjaya dalam cinta nafsu penipu. Niat yang salah tidak akan jadi benar walaupun dengan perlakuan yang betul. Sia-sia laksana seseorang yang bersolat hajat untuk memenangi nombor ekor.

Tuhan bukan bodoh untuk menerima apa saja permintaan hambanya apalagi yang berpaksikan nafsu semata. Walaupun kadangkala dimakbulkan namun itu sebenarnya satu ujian duniawi dariNya yang begitu berbahaya kerana jika disalah erti ia boleh menyesatkan.

Ketentuan tuhan sebenarnya begitu mudah. “Kun Faya Kun” saja sudah mampu untuk merubah segalanya. Menyentap segala keegoan dan kedegilan Zila agar dia sedar bahawa dia hanyalah seorang hamba yang tidak mempunya apa-apa hadirnya di dunia ini bukanlah untuk memenuhi nafsu sendiri tetapi adalah sebagai tanggungjawab sesama insan.

“Zila makan dulu ye..”

Suara Qhaud memecah kesunyian kamar usang. Seorang lelaki yang mempunyai ketabahan yang begitu menebal. Kecurangan isteri yang berlaku di depan mata dihadapi dengan penuh keinsafan sebagai suatu ujian dari tuhan yang maha Esa. Mungkin juga kamalangan Zila adalah satu cara yang tuhan lakukan untuk mengembalikan kebahagian yang Qhaud pohon selama ini.

Zila diam saja. Mahu ditolaknya tapi apakan daya perutnya memang terasa lapar. Mahu bergerak, tapi langsung tiada kemampuan. Ego yang terus diturutkan tapi entah sampai bila. Baginya sekali dia menolak Qhaud seribu tahun dia tidak akan menerima.

“Abang letak di sini saja, nanti kalau Zila lapar Zila makan ya...” Qhaud meletakkan sedulang hidangan tengah hari di atas meja sisi katil tempat Zila berbaring lalu terus berpaling berlalu dari situ. Zila hanya memerhatikan tanpa sebarang reaksi.

“Abang....” Tiba-tiba Zila bersuara. Panggilan yang setelah sekian lama tidak diucapkannya. Langkah Qhaud terhenti seketika namun dia masih tidak berpaling sambil menantikan ayat seterusnya.

“Abang sanggup maafkan Zila?, Abang sanggup terima Zila kembali?”

Zila menyambung kata. Qhaud terus membatu tanpa sebarang bicara. Seketika kemudian Qhaud terus berlalu meninggalkan Zila yang termanggu sendirian. Selama ini Qhaud begitu sabar melayan karenah kedegilannya, tapi mengapa kali ini Qhaud langsung tidak mengendahkan permintaan maaf darinya.

Zila gagal mengawal emosinya lalu bercucuran airmatanya membasahi pipi. Dia tidak tahu siapa lagi yang akan menjaganya dikala keluarga sendiri langsung tidak mengambil endah. Nasib baik Qhaud masih sudi memberi khidmat membantu dalam segala urusan kehidupan yang kini begitu sukar. Namun sifat Qhaud yang tiba-tiba berubah sebentar tadi membuatkan Zila terasa begitu gusar. Tiada lagi hidup yang bebas bagi dirinya, tiada lagi kekasih hati, tiada lagi keceriaan keluarga dan kini mungkin dia akan kehilangan Qhaud yang sanggup berkongsi susah dan senang.

Tiba-tiba telefon bimbit Zila bergetar menandakan ada sms yang masuk. Langsung saja Zila membacanya...

“Diari dalam laci sisi katil... 31 Ogos 1997...”

Satu mesej yang sungguh kabur ertinya. Namun tarikh itu begitu terpahat di dalam benaknya kerana itulah tarikh pernikahan mereka. Perlahan Zila membuka laci yang dimaksudkan lantas mengambil sebuah diari yang kian lusuh milik Qhaud. Diselaknya satu persatu sehingga berjumpa pada tarikh 31 Ogos 1997.

Janji Kau dan Aku di hari pernikahan...

“ADALAH saya, Qhaud Bin Qasar, suami kepada Azila Bte Jamin yang telah menerima tanggungjawab, dengan ini menyerahkan kepada isteriku dengan mas kahwin sebanyak RM 22.50 tunai. Oleh itu, hendaklah kamu, isteriku, menunjukkan taat setia kepadaku sebagai suami dengan mengikut segala perintah dan nasihatku selagi mana ianya tidak bercanggah dengan hukum Islam dan Undang-Undang Negara,”

“Adalah saya Azila Bte Jamin, isteri kepada kekanda dengan penuh kesyukuran menerima mas kahwin ini sebagai tanda ikatan murni dan suci dan akan menumpukan sepenuh perhatian terhadapmu dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kekanda, dan adinda mengharapkan kepada kekanda agar sentiasa memberi bimbingan dan nasihat serta tunjuk ajar demi kepentingn dan kebahagiaan bersama. Semoga Allah merestui perkahwinan kita,”

Zila... Kau lah bidadariku semalanya dunia dan akhirat…

Zila terdiam sejenak menahan sebak apabila membaca butiran dalam diari yang bertarikh 31 Ogos 1997. Janji yang dulunya dimateri bersama jelas telah dimungkiri namun Qhaud tidak pernah begitu. Tanggungjawab yang tuhan amanahkan dipikulnya walaupun badai ganas menimpa. Airmata Zila bercucuran kembali tidak mampu dikawal. Dia teringkat kembali saat indah mereka disatukan. Ianya sungguh bahagia, kemudian mereka berjanji setia untuk kekal selamaya. Zila gagal mempertahankan janjinya namun Qhaud tetap benar-benar kukuh menggenggamnya.

Tiba-tiba wajah Qhaud terpacul di pintu bilik. Wajah yang cukup tenang sambil mengukir sedikit senyuman sambil memerhatikan saja aliran air mata Zila yang berjurai. Mereka berpandangan sesama sendiri menanti siapa yang dulu untuk menuturkan kata-kata.

“Walaupun bidadari ini kudung kakinya?.” Zila mengatur kata merendah diri.

“Walau sehelai rambut mu yang tinggal ia tetap tanggungjawab ku Zila….” Jawab Qhaud dengan penuh yakin.

Sememangnya dunia ini hanya suatu pinjaman. Hadirnya kita adalah sebagai memenuhi tanggungjawab sesama manusia dan segala makhluk yang dicipta selain mengabdikan diri pada yang Kuasa. Nafsu itu adalah ujian yang selalu membuatkan kita lupa akan hakikat sebenar hidup di dunia. Mungkin kesedaran atas hakikat dan kebenaran itu membuatkan Qhaud begitu utuh dalam memperjuangkan tanggungjawabnya terhadap keluarga. Qhaud Yang Benar...

Friday, May 8, 2009

Bab 6 : Misteri Cinta Rafflesia (Novel)

BAB 6 : BAYANGAN RAFFLESIA

“Hari ini niat aku adalah untuk mendapatkan Rafflesia. Apa pun terjadi aku akan pastikan niat aku tercapai. Rafflesia akan benar-benar hadir dalam hidup aku. Hadir dalam keadaan yang nyata. Aku tak suka diganggu oleh bayangan Rafflesia lagi”



DANIAL :

Masa terus berlalu meninggalkan aku. Meninggalkan kisah Rafflesia yang dulunya begitu hangat... sentiasa menghiasi muka depan tabloid yang menjadi tumpuan masyarakat yang simpati akan kematian Rafflesia yang sungguh mengharukan.

Secara tiba-tiba nama aku juga turut popular. Mereka anggap aku insan misteri yang hadir membantu menemukan mayat Rafflesia dengan cara yang agak mistik. Mereka anggap aku sebagai hero, tapi hakikatnya aku tidak pernah mahukan semua itu. Misteri Rafflesia bukanlah suatu yang seronok untuk dilalui seballiknya suatu keperitan yang nyata.

Berbulan kisah Rafflesia telah berlalu. Namun aku masih tidak dapat melupakan misteri Rafflesia. Bayangan Rafflesia seolah-olah sentiasa mengekori. Bisikannya juga setiap hari menusuk lembut ke gegendang ini.

Tidur malamku juga sering diganggu mimpi Rafflesia, datang memanggil-manggil seolah-olah mengajak aku pergi bersama-samanya. Namun setiap kali aku ingin menghampiri, bayang itu akan hilang… ghaib begitu saja.

Sesekali apabila aku keseorangan terasa Rafflesia bagaikan hadir menemani aku. Memang jasadnya tidak nampak tapi aku dapat merasakan kehadirannya. Terasa bagai ada sesuatu yang sentiasa memerhatikan aku... kemudian berbisik lembut memanggil namaku melalui tiupan angin yang berhembus.

Aku sendiri tidak pasti sudah berapa lama aku tidak bekerja. Pergaduhan aku dan Zali juga telah lama aku lupakan. Kereta Proton Waja yang aku beli juga sudah ditarik balik oleh pihak bank. Sewa rumah pun aku tak mampu langsaikan.

Entah sampai bila aku harus berterusan sebegini. Duduk di rumah terbengkalai. Siang aku merayau, malam pula aku hanya bertemankan sinaran pelita yang samar, tidur beralaskan kotak buruk, ditemani nyanyian nyamuk yang membingitkan telinga. Suatu kehidupan yang terlalu asing bagi aku. Dulu memang begitu asing, tapi semakin lama aku rasa ia semakin selesa.

Kehidupan lalu semakin jauh aku tinggalkan. Kehidupan baru yang aku lalui ini semakin menarik. Aku tak kisah apa orang nak kata. Bebas lakukan apa yang aku mahu. Aku boleh menjerit, menyanyi, menangis malah tertawa sesuka hati.

Ada yang kata aku gila padahal aku memang tidak gila, aku masih siuman. Mungkin mereka yang mengatakan aku gila itu sebenarnya dengki dengan apa yang aku kecapi kini, sama seperti zali. Hati busuk… Pendengki…

Peduli apa orang nak kata. Hakikatnya kehidupan usang ini membuatkan aku lebih gembira. Setiap malamku pasti akan ditemani Rafflesia yang sentiasa memerhatikan aku dari sudut sana. Itu sudah cukup membuatkan jiwa ini gembira dan mampu untuk membuatkan aku sentiasa tersenyum. Ah!… Itu hanyalah potret Rafflesia yang aku lukis.

Hari ini aku pasti akan dapatkan Rafflesia yang sebenar. Orang kata Rafflesia sudah mati. Sudah disembahyangkan, sudah dikapankan dan telah dikebumikan, tapi aku langsung tidak percaya itu semua malah aku tetap yakin bahawa Rafflesia masih hidup. Masih bernyawa dan masih segar menyusuri kehidupan di muka bumi ini.

Sudah tiga minggu aku perhatikan dia berjoging setiap petang Sabtu di Taman KLCC. Aku benar-benar yakin dialah Rafflesia. Susuk tubuhnya, ikal rambutnya yang mengerbang, lirik senyumannya memang sama dan saling tak tumpah dengan Rafflesia yang pernah aku temui suatu ketika dahulu, malah rantai emas berloket berbentuk hati juga masih lagi tersemat di dada Rafflesia. Bergoyang ke kiri dan ke kanan apabila dia berlari.

Tapi aku begitu pelik. Rafflesia seolah-olah tidak mengenali aku lagi. Setiap kali aku cuba menegurnya pasti dia akan terus berlari meninggalkan aku.

Mungkin dia sudah lupa kepada aku yang pernah bertemu di Tambunan dulu, Tak apalah kalau begitu kerana aku tetap akan merinduinya. Atau adakah dia sudah ada kekasih baru? Atau dia telah kembali dengan Shah. Ah! aku tak kisah dengan semua itu… Aku rela bertarung dengan sesiapa saja demi mendapatkan Rafflesia.

Lagipun aku langsung tidak percaya jika Rafflesia punya kekasih lain kerana jika dia ada kekasih lain tak mungkin dia terus berbisik mengharapkan aku menolongnya, menagih janji yang pernah aku ucapkan dulu. Aku pasti Rafflesia adalah untuk aku dan hari ini aku akan buktikan hakikat itu.

Hari ini niat aku adalah untuk mendapatkan Rafflesia. Apa pun terjadi aku akan pastikan niat aku tercapai. Rafflesia akan benar-benar hadir dalam hidup aku. Hadir dalam keadaan yang nyata. Aku tak suka diganggu oleh bayangan Rafflesia lagi.

Mentari senja mula terbenam meninggalkan cahaya kemerahan di ufuk timur. Wajah Rafflesia jelas keletihan tapi senyumannya tetap ayu. Tetap memikat hati siapa saja yang memandang. Lima pusingan dia berlari hari ini. Jenuh juga aku menunggunya tapi aku rasa berbaloi. Masanya semakin hampir untuk aku mendapatkan Rafflesia.

Aku terus mengekori Rafflesia menuju ke tempat letak kereta bersebelahan Masjid KLCC. Perlahan saja dia melangkah sambil kedua-dua belah tangannya memegang tuala kecil yang tersangkut di leher.

Ya... Hari ini aku mesti dapatkan dia... Rafflesia akan jadi milik aku selamanya. Tiada lagi bayang-bayang... tiada lagi igauan. Kenyataan akan hadir buat selama-lamanya. Dia akan hidup bahagia bersama aku hingga keakhirnya.

Tapi adakah Rafflesia kali ini adalah suatu yang nyata... atau suatu mistik yang akan menjerat aku buat kali kedua. Aku tak kisah semua itu. Rafflesia tetap akan menjadi milik aku!!!



RAFFLESIA:

Ahhh!!! di mana aku ini...?? Adakah ini yang dinamakan neraka?. Gelap gelita... Panas dan rimas. Tangan terikat dan dibiarkan nyamuk meratah seluruh tubuh. Adakah ini suatu penganiyaan atau pun satu hukuman. Mata langsung tidak dapat melihat. Gelap... hitam... dan gelita... Entahlah di mana aku kini.

Aku langsung tidak dapat mengingati apa yang berlaku. Rasanya tadi aku pergi berjoging... Selepas itu??? entah..... apa yang terjadi. Tiba-tiba aku sudah di sini. Mungkin aku sudah mati tapi kalau aku mati... bila masa pula malaikat maut menyabut nyawa aku?.

Aku binggung dengan situasi ini, tak terjangkau akalku untuk mendapatkan jawapan dari semua persoalan tadi. Entah di mana aku berada kini, apa yang telah terjadi. Langsung aku tiada jawapan. Yang pasti semuanya gelap gelita sahaja.

Apalah semua ini... Tidak ada apa yang mampu aku lakukan dalam keadaan tangan dan kaki yang terikat sebegini. Keadaan yang gelap langsung tidak dapat membantu... sesekali terdengar bunyi libasan kelawar yang terbang di ke kiri dan ke kanan, sungguh mengerikan…

Jeritan meminta tolong yang aku lolongkan juga hanya hampa. Tidak mendatangkan kesan melainkan gema suara sendiri yang seolah-olah mengejek aku kembali. Aku hanya mampu menangis. Takut yang amat sangat.

"Kenapa aku boleh jadi begini?" Bisik hati ini yang terus menggeletar ketakutan.

Tiba-tiba aku terpandang seperti ada cahaya yang bergerak mendekati. Cahaya yang agak samar. Bergerak sambil berhayun. Dekat dan semakin dekat membuatkan hati ini terus berdebar dan semakin berdebar.

Air mata terus bercucuran kerana ketakutan. Ingin sekali aku lari sekuat hati, tapi apakan daya di kala kaki dan tanganku masih tertambat. Aku hanya mampu menanti apa saja yang datang.

"Engkau..!!!" Mulut ku bersuara tanpa disengajakan...

Aku begitu terkejut dengan wajah yang tiba-tiba terpacul dari balik tembok sambil memegang lampu pelita. Aku masih ingat dengan wajah ini. Pengemis gila inilah yang mengganggu semasa aku berjoging di Taman KLCC minggu lalu. Memanggil aku dengan nama Rafflesia, membuatkan aku takut dan terus lari meninggalkannya.

"Kau masih kenal aku Rafflesia???" jawab lelaki itu sambil cuba memeluk kaki aku yang berselunjur lantas terus saja aku menarik kaki ku ini.

Dia tahu nama aku ‘Rafflesia’... tapi apa kaitan aku dengan pengemis ini.

"Tolonglah.. lepas kan saya... Apa salah saya?? tolong lah lepaskan saya..."

Aku cuba merayu kepada lelaki pengemis yang ada di depanku. Namun hanya disambut dengan senyuman yang menyeringai.

Bau badannya sungguh busuk membuatkan aku terasa nak muntah. Rambutnya yang berserabut amat menjijikkan, amat menakutkan.

"Tidak Rafflesia... aku tidak akan lepaskan kau.. kau tak boleh tinggalkan aku lagi.. Kita akan hidup bersama Rafflesia..." pengemis itu berkata dan kemudiannya disusuli dengan hilai tawa yang kuat.

Aku terus binggung. Entah bila masa pula aku pernah hidup bersamanya. Dan bila masa pula aku pernah meninggalkannya. Memang sah dia ini seorang yang gila. Kata-katanya langsung tidak masuk akal.

Lagipun aku bukan orang semenanjung... Aku orang Tambunan... baru lima bulan aku berpindah ke Kuala Lumpur. Mana pernah aku bersamanya.

“Hei!!! orang gila... apa kau cakap ni… lepaskan akulah!!!”

“Kau kata aku gila Rafflesia… Kau kata aku gila… Kalau aku gila pun, aku gila kerana kau Rafflesia.. Kerana kau!!!”

Marah lelaki itu sambil menghunuskan jari telunjuknya ke arah aku. Langsung saja membuat aku menangis. Sungguh takut dengan herdikkan yang begitu mengerikan.

Aku tak mampu bersuara lagi, hanya tangisan yang mampu aku luahkan. Aku semakin takut kerana dalam keadaannya yang marah sebegini dia mungkin akan mengapa-apakan aku.

"Rafflesia sayang... aku tahu kau lapar... aku ada bawakan makanan untuk mu sayang... mulai hari ini kita akan makan bersama-sama..."

Lelaki itu kembali berlembut. Suaranya seakan terketar-ketar lalu disusuli lagi dengan hilai tawa dengan nada yang sungguh gembira... Aku semakin takut, aku bingung... aku semakin tidak paham apa yang terjadi...

Dalam tangisan, aku hanya memerhatikan lelaki itu yang seakan mahu menghidangkan makanan. Beberapa bungkusan plastik dibuka, entah apa isinya.

Dalam kesamaran cahaya pelita aku terus meninjau keadaan sekeliling. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat lukisan wajah aku yang agak lusuh tertampal di sebelah kiri dinding. Cantik lukisannya. Memang benar itulah wajah aku... siap dengan rantai bersama-sama loket berbentuk hati pemberian ibu yang sentiasa aku pakai.

Keadaan menjadi semakin tidak keruan bersama dengan lelaki seperti pengemis gila yang sungguh misteri... Aku semakin takut......

"Rafflesia.. makanan dah siap.. tapi sebelum makan aku mahu pastikan bahawa kau benar-benar Rafflesia.." Pengemis itu memecah kesunyaian malam dengan nada yang agak keras dan tegas sambil memegang dagu aku..

Aku hanya mendiamkan diri tidak mampu untuk menepis. Apa lagi untuk melawan. Tapi aku tetap mampu melawan renungan matanya yang begitu tajam.

Ingat kembali pesan ibu, “jika kita berani orang akan takut, jika kita takut orang akan berani…” Dan sekarang dalam keadaan tertambat sebegini nyata aku tidak mampu untuk melawannya melainkan melawan renungan matanya.

"Memang aku Rafflesia.. tapi kenapa kau buat aku macam ni??" aku cuba meminta penjelasan.

Dia tidak menjawab tapi hanya ketawa... lantas duduk bersila di hadapan aku seolah-olah mahu mengaji.

"Yassin.... Wal Quran nil hakim... " Tiba-tiba pengemis itu membaca surah Yassin.

Aku bagai tidak percaya apabila seorang pengemis gila sepertinya lancar membaca surah Yassin. Tapi betul atau tidak bacaannya aku memang tidak begitu pasti kerana aku sendiri tidak hafal surah itu. Lagipun aku bukanlah hadir dari keluarga yang kuat agamanya. Iman pun hanya setipis kulit bawang. Langsung tidak setaraf dengan lelaki gila ini yang mampu menghafal surah yang begitu panjang.

Sayu dan garau suaranya separuh menangis. Membaca tanpa sebarang rujukan, hanya dengan hafalan. Hati aku tiba-tiba menjadi sayu apabila mendengarnya ayat demi ayat dilontarkan. Dia terus membaca sambil tangannya menghayunkan satu plastik berisi air masak.

Adakah aku sebenarnya telah mati... atau adakah dia adalah Malaikat Maut yang bersedia untuk menyabut nyawa... Aku terus binggung...


"Rafflesia... Minum ni..." Suruh lelaki itu.

Aku menurut saja, takut untuk melawan. Tapi kini aku pasti dia bukanlah seorang yang jahat tapi yakin sepenuhnya dia memang seorang yang gila. Orang jahat tidak akan membacakan "Yassin" sebelum melakukan kejahatan.

"Ha..Ha.. Ha... Kau memang Rafflesia..." Katanya lagi sambil merenjis-renjiskan sisa air yang aku minum tadi ke muka dan tubuh badan aku. Lagaknya umpama seorang bomoh.

"Sekarang mari kita makan" Sambungnya lagi yang kemudian beredar ke arah makanan yang telah disediakan...

"Tolonglah aku... Apa yang kau mahu dari aku... Tolonglah jangan apa-apakan aku... Aku boleh berikan kau wang kalau kau mahu. Tapi tolonglah lepaskan aku" Aku terus merayu lagi tetapi terus dibalas dengan hilai tawa saja.

"Jangan bergerak!!! Kami Polis!!!." Tiba-tiba empat orang anggota polis menyerbu masuk lalu mengacukan pistol ke arah lelaki itu...

Aku tersentak tapi begitu bersyukur. Aku yakin, aku selamat kini. Dan aku juga yakin aku masih hidup dan masih berada di dunia ini.

Lelaki itu tidak melawan. Dia seolah-olah tidak takut dengan polis yang menyerbu. Dia hanya diam saja apabila tangannya digari seolah-olah tidak mempunyai sebarang perasaan. Reaksinya hanya selamba sambil menyeringai seolah-olah begitu puas.

"Terima kasih encik.."

Aku dilepaskan oleh salah seorang anggota polis. Aku terus saja mengibaskan tangan dan kaki yang terasa begitu lenguh. Entah berapa lama aku berada dalam keadaan tertambat sebegitu, aku sendiri pun tidak pasti.

"Apa yang sebenarnya berlaku encik?. Kenapa orang gila ni culik saya ?" Aku cuba bertanya kepada salah seorang anggota yang aku rasakan ketua dalam operasi ini.

"Bertenang cik… Nanti kami akan siasat.." Jawabnya ringkas... aku hanya mengangguk tanda paham...

Lelaki itu diam dan terus tunduk saja apabila pihak polis mengeledah barang-barangnya. Sesekali dia berpaling ke arah aku lalu tersengih. Tajam renungan matanya begitu menakutkan tapi aku tetap akan melawan sinaran matanya itu.

"Tuan.. Saya jumpa ini.." beritahu salah seorang anggota polis lalu menyerahkan satu beg duit yang agak lusuh kepada ketua mereka.

Polis itu terus saja membuka apabila menerimanya lalu mengeluarkan sekeping kad pengenalan yang masih tersimpan rapi.

"Danial Afendi Bin Azman" Kata Polis itu sambil menepuk-nepukkan tapak tangannya ke tengkuk lelaki pengemis itu...

"Danial Afendi!!!!!" Nama itu membuatkan aku mengangkat kepala lantas memandang tepat ke arah lelaki pengemis itu. Aku rasa aku kenal dia.

"Nanti dulu Encik..."Aku cuba menghalang pihak polis yang mula bergerak membawa Danial Afendi keluar meninggalkan lokasi ini.

"Kenapa... Cik kenal dia...???" Tanye polis itu...

"Saya rasa saya kenal dia encik..." aku memberitahu sambil mengangguk lemah.

Air mata ini tidak mampu dibendung lagi... Perasaan sedih juga tidak dapat aku tahan lantas tanpa dipaksa aku terus berlari lalu mendakap Danial Afendi.

Bau Danial yang busuk tidak bisa menghalang aku dari terus mendakap insan yang begitu istimewa ini. Akhirnya aku bertemu juga dengan insan misteri yang menyelesaikan kes kehilangan kakak kembar aku Noni.... Noni Rafflesia... Aku begitu bersyukur…

"Sapa nama cik ?" Polis itu bertanya apabila aku melepaskan dakapan terhadap Danial Afendi.

"Nani... Nani Rafflesia..." Jawabku yang membuatkan Danial Afendi mengangkat kepala lalu merenung dengan sinaran cahaya mata yang sungguh tajam. Tembus hingga ke dasar hati ini. Sayu dan sungguh sedih hati ini.

Tiba-tiba teringat kembali kakak kembar aku Noni yang dulunya sentiasa bersama, namun terpisah seketika kerana mengejar cita-cita, kemudian terpisah buat selama-lamanya.

Tapi aku tetap bersyukur kerana dengan kehadiran insan misteri bernama Danial Afendi, Noni telah ditemui walaupun dalam keadaan yang tidak bernyawa. Sekurang-kurangnya kematiannya meninggalkan bukti nisan bukan hilang ditelan masa.

Tapi mengapa Danial Afendi boleh jadi sebegini? Apa telah berlaku kepadanya? Persoalan yang tidak mampu aku jawab.

Aku memang tidak pernah mengenali Danial Afendi melainkan membaca dari akhbar online kerana pada peristiwa pembunuhan dan penemuan Noni aku masih di Australia. Peperiksaan semester akhir langsung tidak memungkinkan untuk aku pulang ke tanah air walaupun dalam keadaan yang begitu menyedihkan. Aku hanya pulang seminggu selepas penemuan Noni dan hanya dapat melihat bukti nisan yang ditinggalkan.

Kepulangan ke tanah air dengan kejayaan. Aku berjaya dalam pelajaran tapi gagal untuk terus menjalani hidup bersama Noni yang sungguh aku rindui.

Memang benar kisah pembunuhan Noni sungguh misteri malah lebih misteri dari yang dilaporkan di dada akhbar. Hari ini aku sendiri dapat merasai misteri itu apabila diculik oleh insan misteri bernama Danial Afendi.

Namun hakikat yang aku dapat rasakan kini adalah perasaan Danial Afendi terhadap Noni Rafflesia. Satu perasaan cinta yang begitu mendalam. Entahlah apa istimewanya Noni sehingga Danial boleh jadi sebegini. Kasihan Danial terperangkap dengan keadaan.

"Terima kasih Danial Afendi...." bisik hatiku menahan sedih sambil memerhatikan Danial Afendi di bawa masuk ke dalam kereta polis.