- -

Terima Kasih Atas Sokongan Anda Terhadap Nukilan Saya. Saya Akan Cuba Uploadkan Hasil Nukilan Saya Sekerap Yang Saya Mampu. Semoga Ia Memberi Pengajaran Dan Bererti Kepada Anda. Saya Juga Mengalu-alukan Komen Dari Anda Semua Untuk Memperbaiki Kelemahan. Selamat Membaca..

Novel : Misteri Cinta Rafflesia

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 || Bab 10 ||

Novel : Hati Kian Sepi

|| Bab 1 || Bab 2 || Bab 3 || Bab 4 || Bab 5 || Bab 6 || Bab 7 || Bab 8 || Bab 9 ||

Thursday, May 28, 2009

Qhaud Yang Benar

Malam makin larut, namun bebola mata Qhaud masih tajam memerhatikan atap zink yang kian usang. Nampak berkarat walaupun dalam kelam. Sukar benar untuknya melelapkan mata atau mungkin dia tidak mampu untuk melakukannya. Sesuatu perbuatan yang begitu mudah bagi manusia biasa tapi begitu sukar bagi Qhaud yang terus mengenangkan nasib dirinya.

Maghrib tadi adalah kemuncak kebiadapan oleh manusia yang bergelar isteri. Seorang isteri yang diwajibkan patuh dengan apa saja suruhan suami selagi suruhan itu tidak melanggar hukum syarak, namun Zila isteri Qhaud yang sah begitu angkuh menghalau Qhaud keluar dari rumah. Masalah rumah tangga yang kian berpanjangan akibat keegoan seorang isteri.

“Aku benci kau… lelaki dayus!!! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Berambus kau dari sini..” Tengking Zila sambil menyentap baju Qhaud hingga koyak. Begitulah sikap Zila yang begitu angkuh dan biadap terhadap suaminya.

Qhaud hanya mendiamkan diri namun airmatanya bercucuran. Sedih yang tidak terhingga. Memang dia sedih dihina sedemikian rupa namun dia lebih sedih melihat kebiadapan seorang wanita yang sentiasa menunaikan solat 5 waktu namun segala amalannya sebenarnya tidak berguna sepanjang hayatnya akibat Nusyus terhadap suami. Dia sedih kerana gagal mendidik insan yang bergelar isteri yang telah diamanahkan tuhan kepadanya.

“Ya Allah maafkankan dosa isteriku dan tunjukkan lah dia jalan yang benar.” Kebiadapan yang Qhaud terima namun doa yang Qhaud balas. Itu saja yang mampu Qhaud ucapkan… Itu pun hanya di dalam hati. Qhaud terus diam memerhatikan satu persatu pakaian dilontar keluar dari dalam bilik. Mak Su ibu kepada Zila yang juga ibu mertua Qhaud tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala memerhatikan tindakan anaknya, Zila.

Mungkin inilah wanita zaman milenium. Punya kerjaya, punya kuasa. Taraf suami dan isteri dirasakan bagaikan tiada beza. Sama saja… Apabila isteri merasakan diri mereka lebih berkuasa suami dicampak seakan tidak berguna. Mungkin itu hanyalah sebahagian kecil namun itu lah yang Zila lakukan.

Segelintir isteri di zaman ini… menduakan suami itu suatu yang biasa dan kadang kala tidak dianggap salah. Bila ada cinta yang lain, yang lebih seronok lebih menarik yang lebih tertarik dengan mudah cerai dipinta. Alasannya mudah saja, sudah tiada hati untuk hidup bersama. Tiada nafsu katanya. Namun bila perpisahan tak mampu dilerai suami pula dianggap dayus, penakut dan tidak bertanggungjawab. Adakah mempertahankan rumah tangga itu bukan suatu tanggungjawab bagi seorang suami ?

Mungkin itulah hikmahnya talak diberi kuasa mutlak kepada suami, jika tidak mungkin terlalu ramai lelaki yang akan menjanda diceraikan oleh si isteri.

Bagi Zila tanggungjawab anak-anak terus dijaga, tanggungjawab terhadap suami tak mengapa boleh ditolak ke tepi kerana anak tetap di hati tetapi suami boleh ditukar ganti. Bukan ajaran agama yang diturut, bukan petunjuk nabi yang diikut tapi prinsip syaitan yang disahut.

“Qhaud… kau pergilah cari wanita yang lebih baik dan lebih sesuai dengan kau. Mak dah tak mampu nak tolong...” Mak Su, ibu mertua Qhaud juga sudah mula mengalah. Tak mampu lagi dia meluruskan anak wanitanya yang kian bengkok.

Air mata Mak Su sebenarnya sudah lama kering. 9 bulan dia mengandungkan Zila. Bartahun-tahun dia membesarkan dalam kesakitan, kepayahan dan serba kekurangan. Setiap hari dia membaja dengan didikan ilmu, nasihat dan cucuran doa. Namun nasihat ibu kini langsung tidak diguna. Airmata ibu langsung tidak dipeduli, maruah keluarga ditolak saja ke tepi. Kini bagi Zila tak kisah apa orang nak kata, tak kisah saudara dan jiran berbicara asalkan hatinya puas, berjaya dalam cinta ciptaan syaitan durjana.

Azan subuh sayup berkumandang. Qhaud tersentak dari lamuman, jelas dia gagal dalam usaha melelapkan matanya sendiri. Mungkin juga kerana suasana yang tidak selesa. Tiada tilam, tiada bantal. Baring di atas lantai papan beralas tikar buruk yang dibekalkan Mak Su. Pondok buruk tempat menunggu durian ini sajalah destinasi singgahan selepas dihalau Zila Maghrib tadi.

Perlahan dia bangit lalu mencapai pelita yang tergantung di tiang lalu bergerak terhoyong hayang menuju ke tali air yang sejajar dengan jalan. Diletaknya pelita itu di tepi tebing tali air lalu dia terus saja mengambil wuduk dengan pernuh tertib.

Dikumurnya mulut dengan gigi-gigi yang kian rapuh, diikuti dengan muka yang kian kusam, tangan yang kian longlai, anak rambut yang kian beruban dan kaki yang kian retak tumitnya. Setelah selesai Qhaud kembali semula ke pondok buruknya lalu menunaikan fardu Subuh dalam suasana dinihari yang sungguh tenang.

“Ya Allah.. Engkau Maha mengetahui lagi Maha berkuasa.... Kau Kembalikan kan kebahagiaan lalu kepada insan kerdil ini. Sesungguhnya tiada daya dan upaya selain dari kudrat Mu wahai Tuhan ku....”

Qhaud terus merintih meminta belas jika ada sisa-sisa harapan untuk dia mengembalikan kebahagian keluarganya. Memang tiada formula lagi yang mampu Qhaud jelmakan. Segala-galanya telah dilakukan namun masih tidak berjaya untuk menyedarkan Zila dari terus sesat dalam cinta terlarang. Kini senjata bagi Qhaud hanyalah kesabaran dan kewarasan .

Qhaud bangkit dari sujudnya lalu duduk di hadapan tangga pondok buruk itu. Dari jauh kelihatan cahaya matahari mula muncul seolah-olah menyelinap masuk dari celah-celah pohon durian dan semak samun di sekeliling pondok. Sinaran matahari terbit kembali hari ini tetapi apa akan jadi pada rumah tangga Qhaud dan Zila esok yang seumpama retak menanti belah.

“Aku terima nikah Azila Bte Jamin dengan mas kawinnya 22 ringgit setengah tunai”

Teringat kembali Qhaud pada hari bahagia pernikahannya dulu. Akad yang dilakukan sekali itu terus menjadi batu tanda hubungan cinta mereka berdua. Percintaan yang begitu sukar dengan halangan keluarga akhirnya disudahi dengan pernikahan yang terpaksa diterima walaupun berat oleh ibu bapa Zila yang kurang bersetuju pada mulanya. Namun sebagai seorang ibu yang mahu melihat anaknya bahagia Mak Su akur dengan kedegilan Zila walaupun Qhaud bukanlah pilihan hatinya. Dicampaknya ego jauh-jauh lalu Qhaud diterima sebagai anak sendiri dan tiada langsung perbezaan antara menantu dan anak sendiri. Itulah kelembutan hati seorang wanita yang bergelar ibu yang juga seorang wanita. Tapi sayang kelembutan hati Mak Su tidak diwarisi oleh Zila yang begitu degil untuk terus mengikut nafsu syaitan.

“Qhaud!!!....” Jeritan Mak Su tiba-tiba mengganggu lamunan Qhaud membuatkannya sedikit tersentak. Dia tidak sedar kehadiran Maksu yang bergegas menghampiri dengan motorsikal buruknya.

“Kenapa Mak?”
“Zila...”
“Kenapa dengan Zila?”
“Dia kemalangan sewaktu hendak pergi kerja tadi pagi....”
“Astagfirullah halazim.....”


Sebulan kemudian....


Zila termenung di kamar usang. Terasa dirinya kini terlalu sepi hidup sendirian. Sebelum ini dia begitu bebas untuk bergerak. Pergi kemana saja yang dimahukan. Baginya izin dari suami tidak perlu kerana dia punya wang sendiri, punya motokar sendiri dan punya kekuatan sendiri. Tanpa Qhaud di sisi pun dia mampu hidup selesa.

Tapi keadaan itu telah jauh berbeza. Kemalangan bulan lalu terus menyentap segala kekuatannya. Kakinya terpaksa dipotong kerana hancur tersepit dalam kemalangan ngeri yang telah melanda dirinya. Motokar yang selama ini membawanya meluncur bebas bagaikan burung kini mula tersadai, telefon bimbit yang selama ini menjadi penghubung antara dia dan kekasih gelapnya juga kian sepi. Entah kemana pergi kekasih yang sebelum ini katanya mahu sehidup semati sehingga Zila sanggup untuk berlaku nusyus terhadap suaminya sendiri.

Keegoannya Zila kini memakan diri. Dia begitu lemah dan kini lumpuh dalam pergerakan. Hatta menambah kredit untuk talian prabayar telefon sendiri pun tidak mampu. Tiada seorang pun ahli keluarga yang mahu membantu pergi mendapatkan akibat marahkan sikap ego Zila selama ini.

Selama ini Zila merasakan tiada siapa yang dapat menghalang kekebasan hubungan cinta terlarang mereka. Namun dia terlupa akan kuasa tuhan. Zila tertipu dengan tunggang-tonggek dan tadahan tangan memohon agar dia berjaya dalam cinta nafsu penipu. Niat yang salah tidak akan jadi benar walaupun dengan perlakuan yang betul. Sia-sia laksana seseorang yang bersolat hajat untuk memenangi nombor ekor.

Tuhan bukan bodoh untuk menerima apa saja permintaan hambanya apalagi yang berpaksikan nafsu semata. Walaupun kadangkala dimakbulkan namun itu sebenarnya satu ujian duniawi dariNya yang begitu berbahaya kerana jika disalah erti ia boleh menyesatkan.

Ketentuan tuhan sebenarnya begitu mudah. “Kun Faya Kun” saja sudah mampu untuk merubah segalanya. Menyentap segala keegoan dan kedegilan Zila agar dia sedar bahawa dia hanyalah seorang hamba yang tidak mempunya apa-apa hadirnya di dunia ini bukanlah untuk memenuhi nafsu sendiri tetapi adalah sebagai tanggungjawab sesama insan.

“Zila makan dulu ye..”

Suara Qhaud memecah kesunyian kamar usang. Seorang lelaki yang mempunyai ketabahan yang begitu menebal. Kecurangan isteri yang berlaku di depan mata dihadapi dengan penuh keinsafan sebagai suatu ujian dari tuhan yang maha Esa. Mungkin juga kamalangan Zila adalah satu cara yang tuhan lakukan untuk mengembalikan kebahagian yang Qhaud pohon selama ini.

Zila diam saja. Mahu ditolaknya tapi apakan daya perutnya memang terasa lapar. Mahu bergerak, tapi langsung tiada kemampuan. Ego yang terus diturutkan tapi entah sampai bila. Baginya sekali dia menolak Qhaud seribu tahun dia tidak akan menerima.

“Abang letak di sini saja, nanti kalau Zila lapar Zila makan ya...” Qhaud meletakkan sedulang hidangan tengah hari di atas meja sisi katil tempat Zila berbaring lalu terus berpaling berlalu dari situ. Zila hanya memerhatikan tanpa sebarang reaksi.

“Abang....” Tiba-tiba Zila bersuara. Panggilan yang setelah sekian lama tidak diucapkannya. Langkah Qhaud terhenti seketika namun dia masih tidak berpaling sambil menantikan ayat seterusnya.

“Abang sanggup maafkan Zila?, Abang sanggup terima Zila kembali?”

Zila menyambung kata. Qhaud terus membatu tanpa sebarang bicara. Seketika kemudian Qhaud terus berlalu meninggalkan Zila yang termanggu sendirian. Selama ini Qhaud begitu sabar melayan karenah kedegilannya, tapi mengapa kali ini Qhaud langsung tidak mengendahkan permintaan maaf darinya.

Zila gagal mengawal emosinya lalu bercucuran airmatanya membasahi pipi. Dia tidak tahu siapa lagi yang akan menjaganya dikala keluarga sendiri langsung tidak mengambil endah. Nasib baik Qhaud masih sudi memberi khidmat membantu dalam segala urusan kehidupan yang kini begitu sukar. Namun sifat Qhaud yang tiba-tiba berubah sebentar tadi membuatkan Zila terasa begitu gusar. Tiada lagi hidup yang bebas bagi dirinya, tiada lagi kekasih hati, tiada lagi keceriaan keluarga dan kini mungkin dia akan kehilangan Qhaud yang sanggup berkongsi susah dan senang.

Tiba-tiba telefon bimbit Zila bergetar menandakan ada sms yang masuk. Langsung saja Zila membacanya...

“Diari dalam laci sisi katil... 31 Ogos 1997...”

Satu mesej yang sungguh kabur ertinya. Namun tarikh itu begitu terpahat di dalam benaknya kerana itulah tarikh pernikahan mereka. Perlahan Zila membuka laci yang dimaksudkan lantas mengambil sebuah diari yang kian lusuh milik Qhaud. Diselaknya satu persatu sehingga berjumpa pada tarikh 31 Ogos 1997.

Janji Kau dan Aku di hari pernikahan...

“ADALAH saya, Qhaud Bin Qasar, suami kepada Azila Bte Jamin yang telah menerima tanggungjawab, dengan ini menyerahkan kepada isteriku dengan mas kahwin sebanyak RM 22.50 tunai. Oleh itu, hendaklah kamu, isteriku, menunjukkan taat setia kepadaku sebagai suami dengan mengikut segala perintah dan nasihatku selagi mana ianya tidak bercanggah dengan hukum Islam dan Undang-Undang Negara,”

“Adalah saya Azila Bte Jamin, isteri kepada kekanda dengan penuh kesyukuran menerima mas kahwin ini sebagai tanda ikatan murni dan suci dan akan menumpukan sepenuh perhatian terhadapmu dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kekanda, dan adinda mengharapkan kepada kekanda agar sentiasa memberi bimbingan dan nasihat serta tunjuk ajar demi kepentingn dan kebahagiaan bersama. Semoga Allah merestui perkahwinan kita,”

Zila... Kau lah bidadariku semalanya dunia dan akhirat…

Zila terdiam sejenak menahan sebak apabila membaca butiran dalam diari yang bertarikh 31 Ogos 1997. Janji yang dulunya dimateri bersama jelas telah dimungkiri namun Qhaud tidak pernah begitu. Tanggungjawab yang tuhan amanahkan dipikulnya walaupun badai ganas menimpa. Airmata Zila bercucuran kembali tidak mampu dikawal. Dia teringkat kembali saat indah mereka disatukan. Ianya sungguh bahagia, kemudian mereka berjanji setia untuk kekal selamaya. Zila gagal mempertahankan janjinya namun Qhaud tetap benar-benar kukuh menggenggamnya.

Tiba-tiba wajah Qhaud terpacul di pintu bilik. Wajah yang cukup tenang sambil mengukir sedikit senyuman sambil memerhatikan saja aliran air mata Zila yang berjurai. Mereka berpandangan sesama sendiri menanti siapa yang dulu untuk menuturkan kata-kata.

“Walaupun bidadari ini kudung kakinya?.” Zila mengatur kata merendah diri.

“Walau sehelai rambut mu yang tinggal ia tetap tanggungjawab ku Zila….” Jawab Qhaud dengan penuh yakin.

Sememangnya dunia ini hanya suatu pinjaman. Hadirnya kita adalah sebagai memenuhi tanggungjawab sesama manusia dan segala makhluk yang dicipta selain mengabdikan diri pada yang Kuasa. Nafsu itu adalah ujian yang selalu membuatkan kita lupa akan hakikat sebenar hidup di dunia. Mungkin kesedaran atas hakikat dan kebenaran itu membuatkan Qhaud begitu utuh dalam memperjuangkan tanggungjawabnya terhadap keluarga. Qhaud Yang Benar...

8 comments:

  1. Betul2 tersentuh degann kesetian seorang suami walaupun telah dikhianati. (",). The Best of the best story.

    ReplyDelete
  2. What the story... menitis air mata ku

    ReplyDelete
  3. menyampah ngan zila...tapi tidak dinafikan berlaku...Allah maha adil

    ReplyDelete
  4. Ada ke org macam Zila? Macam tak logic la. Apa pun cerita ni best.

    ReplyDelete
  5. Tukar jer tajuk....'Bagong yang benar'
    wakakakakakakakakkakak

    ReplyDelete
  6. orang macam zila banyak... cuma.. ada ke orang macam qhaud sekarang ni? hehehhe

    ReplyDelete
  7. apa pun,cerita mcm nie memang ader pun...cuma realiti nya kita ajer yang x bape nk amek iktibar kot...tp,insan mcm qhaud ader ker??payah kot nk cari....

    ReplyDelete